Ibadah

Muhasabah Dan Sudut Yang Perlu Diberi Perhatian

Oleh Natirah Azira  •  8 Jan 2019  •  3 min baca

Dalam perkongsian yang lalu telah diterangkan tentang apa itu muhasabah dan manfaat yang diperoleh dengan mengamalkannya. Sekarang akan diterangkan pula tentang sudut-sudut yang perlu diberi perhatian dalam melakukan muhasabah.

#1- Muhasabah Diri Dalam Hal Wajib

Perkara pertama yang perlu diberi perhatian dalam proses muhasabah diri ialah dalam hal wajib. Periksalah sama ada amalan kita punya kekurangan atau tidak. Sesungguhnya ibadah wajib merupakan keutamaan dalam Islam. Allah sangat menyukai orang yang cuba mendekatkan diri kepada Allah dengan menyempurnakan amalan wajib yang diperintahkan.

#2- Menilai Diri Dalam Perkara Haram

Perkara kedua yang menjadi keutamaan ialah memeriksa diri adakah ada melakukan perkara-perkara yang diharamkan. Jika ada terlibat dengan riba dan maksiat contohnya, maka berusahalah untuk melepaskan diri darinya. Jika ada mengambil hak orang lain, maka perlulah ianya dipulangkan. Jika kita pernah menyakiti orang, maka mintalah maaf dan leraikanlah sengketa.

#3- Menilai Diri Dalam Perkara Yang Melalaikan

Antara banyak-banyak kesalahan, perkara yang melalaikan adalah yang paling banyak kita lakukan. Biasanya perkara halal dan haram itu jelas, namun hal-hal yang melalaikan ini kadang tidak dapat kita pastikan secara jelas. Ia selalunya bersangkut paut dengan tujuan dan pengurusan masa.

Contohnya menonton cerita dan bermain ‘video game’seperti yang kerap dilakukan oleh anak muda pada zaman milineal ini. Jika ia sudah mencapai tahap berlebih-lebihan sehingga mengabaikan tanggungjawab kita kepada perkara lain contohnya ibadah, urusan pengajian, atau kerja, maka sudah pasti ianya perlu dicegah.

#4- Muhasabah Diri Dan Anggota Badan

Allah menegaskan dalam firmanNya bahawa penglihatan, pendengaran dan mata hati kita akan diminta pertanggungjawaban di akhirat kelak. Maka dari sekarang, kita perlu menilai ke mana kita gunakan setiap anggota badan yang dipinjamkan Tuhan ini- adakah dalam perkara maksiat atau perkara ketaatan.

Allah berkata bahawa apabila Dia telah mencintai seorang hamba, maka Allah akan menjadi pendengarannya yang dengannya dia mendengar, Allah akan menjadi penglihatannya yang dengannya dia melihat dan kakinya yang dengannya dia berjalan. Maksudnya, Allah akan memandu setiap perbuatannya. Semoga kita tergolong dalam salah seorang hamba yang Allah cinta.

#5- Muhasabah Diri Dalam Perkara Niat

Muhasabah diri dalam perkara niat bermakna kita menilai semula apakah tujuan hati kita semasa melakukan sesuatu perkara. Adakah kerana Allah sahaja atau kerana orang lain yang berada di sekeliling kita. Berkembangnya kemudahan media sosial meningkatkan lagi cabaran dalam memelihara niat sebenarnya.

Kebanyakan orang cenderung untuk mendapatkan perhatian seperti ‘like’, komen dan respon daripada orang lain, kerana sedar bahawa satu status yang dimuat naik mampu dibaca oleh beribu orang dalam satu masa. Maka, saat inilah kita perlu muhasabah semula niat kita dalam melakukan perkara tersebut.

Saya akhiri perkongsian kali ini dengan satu firman Allah yang benar-benar mampu mengetuk hati dan fikiran kita dalam menilai semula amalan seharian yang dilakukan.

“Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kepada Allah (dengan mengerjakan suruhanNya dan meninggalkan laranganNya); dan hendaklah tiap-tiap diri melihat dan memerhatikan apa yang ia telah sediakan (dari amal-amalnya) untuk hari esok (hari akhirat). Dan (sekali lagi diingatkan): Bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Amat Meliputi PengetahuanNya akan segala yang kamu kerjakan (Surah Al-Hasyr 59:18)

Baca juga:
Muhasabah Dan Manfaatnya


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Natirah Azira

Beliau merupakan graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Al-Quran dan Sunnah. Pernah mendalami bidang Psikologi selama dua tahun dan sekarang sedang menyambung pengajian peringkat Ijazah Sarjana dalam bidang Kaunseling di Universiti Sains Malaysia.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami