Ibadah

Muhasabah Dan Manfaatnya

Oleh Natirah Azira  •  7 Jan 2019  •  3 min baca

Kita sering mendengar perkataan muhasabah dalam majlis-majlis ilmu atau ceramah di kaca TV. Atau kita juga pernah menasihati sesiapa supaya muhasabah diri. Apakah sebenarnya maksud perkataan muhasabah ini dan apa manfaatnya kepada kita sebagai seorang Islam?

Muhasabah berasal daripada perkataan Arab, ‘hisab’ yang bermakna menghitung atau mengira. Kamus Dewan Bahasa Dan Pustaka mendefinisikan perkataan muhasabah dengan maksud perbuatan menilai diri sendiri supaya pembaikan boleh dilakukan (berfikir tentang keadaan diri).

Islam sentiasa menganjurkan umatnya supaya sentiasa berfikir dan merenung diri- menilai diri dan apa sahaja aspek kehidupan yang bersangkut paut dengan amal perbuatan, terutamanya dalam hal-hal yang memberi kesan kepada hisab sebenar di akhirat kelak.

Daripada Syaddad bin Aus R.A, bahawa Rasulullah SAW pernah bersabda:

الْكَيِّسُ مَنْ دَانَ نَفْسَهُ وَعَمِلَ لِمَا بَعْدَ الْمَوْتِ وَالْعَاجِزُ مَنْ أَتْبَعَ نَفْسَهُ هَوَاهَا وَتَمَنَّى عَلَى اللَّهِ

Maksudnya: Orang yang cerdik, siapa yang merendahkan dirinya dan beramal untuk bekalan selepas mati. Sedangkan orang yang lemah, siapa yang mengikut hawa nafsunya dan hanya bercita-cita kepada Allah Riwayat al-Tirmizi (2459) dan Ibn Majah (4260)

Syeikh al-Mubarakfuri dalam menjelaskan hadis di atas berkata: “(Orang yang cerdik) iaitu orang yang sentiasa memuhasabah dirinya di dunia sebelum dia dihisab di akhirat. Hal ini berbetulan (selari) dengan nasihat Saidina Umar al-Khattab R.A yang berkata:

حَاسِبُوا أَنْفُسَكُمْ قَبْلَ أَنْ تُحَاسَبُوا وَتَزَيّنُوا لِلْعَرْضِ الأَكْبَرِ وَإِنّمَا يَخِفّ الْحَسَابُ يَوْمَ القِيَامَةِ عَلَى مَنْ حَاسَبَ نَفْسَهُ في الدّنْيَا

Maksudnya: Hisablah diri kamu sebelum kamu dihisab. Dan berhiaslah untuk hari pembentangan yang agung. Sesungguhnya ringanlah penghisaban di hari Akhirat bagi sesiapa yang telah menghisab dirinya di dunia.” (Lihat Tuhfah al-Ahwazi, 7/156)

Apakah Manfaat Yang Diperoleh Dari Muhasabah?

#1- Meringankan Hisab Pada Hari Kiamat

‘Umar bin Al-Khattab RA pernah mengatakan, “Hisablah diri kalian sebelum kalian dihisab, itu akan memudahkan hisab kalian kelak. Timbanglah amal kalian sebelum ditimbang kelak. Ingatlah keadaan yang genting pada hari kiamat,

يَوْمَئِذٍ تُعْرَضُونَ لَا تَخْفَى مِنْكُمْ خَافِيَةٌ

“Pada hari itu kamu dihadapkan (kepada Rabbmu), tiada sesuatupun dari keadaanmu yang tersembunyi (bagi Allah).” (Surah Al-Haqqah 69: 18).” (Az-Zuhud li Ibnil Mubarak, hlm. 306. Lihat A’mal Al-Qulub, hlm. 371.)

Al-Fudhail bin ‘Iyadh rahimahullah mengatakan, “Mukmin itu yang rajin menghisab dirinya dan ia mengetahui bahwa ia akan berada di hadapan Allah kelak. Sedangkan orang munafik adalah orang yang lalai terhadap dirinya sendiri (enggan memperbaiki kesilapan diri). Semoga Allah merahmati seorang hamba yang terus memperbaiki dirinya sebelum datang malaikat maut menjemputnya.” (Tarikh Baghdad, 4:148. Lihat A’mal Al-Qulub, hlm. 372.)

#2- Terus Berada Dalam Petunjuk

Imam Al-Baidawi pernah menyebutkan dalam tafsirnya bahawa seseorang yang sentiasa memperbaiki amalan dirinya akan terus berada dalam petunjuk (Tafsir Al-Baidhawi, 1:131-132. Lihat A’mal Al-Qulub, hlm. 372.)

#3- Mengubati Hati

Sakit di badan boleh dilihat namun sakit dihati perlu diperiksa dengan proses muhasabah yang mendalam. Muhasabah akan menjernihkan semula hati dan fikiran kerana secara tidak langsung muhasabah akan mengalihkan perhatian kita dari hal-hal dunia kepada Allah SWT.

#4- Menjadikan Diri Tidak Takabbur Dan Sombong

Muhammad bin Wasi’ rahimahullah pernah berkata,

لَوْ كَانَ لِلذُّنُوْبِ رِيْحٌ مَا قَدَرَ أَحَدٌ أَنْ يَجْلِسَ إِلَيَّ

“Andaikan dosa itu memiliki bau, tentu tidak ada dari seorang pun yang ingin duduk dekat-dekat denganku.” (Muhasabah An-Nafs, hlm. 37. Lihat A’mal Al-Qulub, hlm. 373.

Kata-kata di atas menunjukkan bahawa sungguhpun seorang mukmin itu sentiasa melakukan ibadah dan perkara-perkara kebaikan, dia masih tidak dapat melarikan diri daripada melakukan kesalahan dan dosa. Maka muhasabah akan menjadikan kita sentiasa sedar keadaan diri. Muhasabah mengingatkan bahawa kita sentiasa perlu memperbaiki diri sendiri.

#5- Waktu Akan Dimanfaatkan Dengan Baik

Ibnu ‘Asakir pernah menceritakan tentang Al-Faqih Salim bin Ayyub Ar-Razi rahimahullah bahawa beliau terbiasa memperbaiki dirinya dalam setiap nafasnya. Beliau tidak pernah membiarkan waktu tanpa faedah (Kitab Tabyin Kadzbi Al-Muftari – hlm. 263).

Proses muhasabah perlu dilakukan setiap masa, sama ada sebelum atau setelah kita melakukan sesuatu perkara. Dengannya kita tidak akan cepat terbabas dari tujuan sebenar dalam hidup.

Sumber:
Rumaysho.com
Muftiwp.gov.my


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Natirah Azira

Natirah Azira

Beliau merupakan graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Al-Quran dan Sunnah. Sekarang sedang menyambung pengajian peringkat Ijazah Sarjana dalam bidang Psikologi di universiti yang sama. Seorang yang suka membaca pelbagai genre bahan bacaan terutama sejarah, sastera, motivasi dan psikologi.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami