Ibadah

3 Sebab Kenapa Disunatkan Puasa Isnin Dan Khamis

Oleh Fizah Lee  •  13 Aug 2020  •  3 min baca

Antara puasa sunat yang sering menjadi pilihan untuk dilakukan ialah puasa sunat pada Isnin dan Khamis. Walaupun ada juga puasa-puasa sunat lain yang boleh dilakukan pada setiap bulan seperti puasa sunat Hari Putih atau puasa sunat lain yang disebabkan oleh tarikh-tarikh tertentu, namun yang paling mudah untuk dipilih adalah pada hari Isnin dan Khamis.

Ia bukanlah bermaksud jika berpuasa pada hari Isnin, maka diwajibkan juga untuk berpuasa pada hari Khamis. Kedua-duanya adalah sunat. Maka, boleh sahaja untuk memilih melakukan kedua-dua hari atau pada salah satu hari sahaja.

Seperti mana kita mengetahui banyaknya kelebihan untuk orang yang berpuasa, maka samalah juga dengan puasa sunat ini.

Walaupun hukumnya adalah sunat sahaja, namun banyak kelebihannya buat mereka yang mengamalkannya. Ia juga merupakan salah satu latihan untuk tidak kekok dalam berpuasa terutamanya bagi menempuh puasa Ramadan.

Dalam masa yang sama, ia juga boleh membantu agar momentum puasa itu sentiasa dikekalkan agar kenikmatan untuk melakukan ibadah-ibadah lain juga dapat dirasai.

Namun, mungkin kita juga tertanya-tanya, mengapa puasa sunat Isnin dan Khamis yang ditekankan? Mengapa tidak pada hari lain seperti Ahad, Selasa, Rabu dan sebagainya?

#1 – Isnin Ialah Hari Kelahiran Baginda SAW

Daripada Abu Qatadah RA, Baginda SAW ditanya mengenai puasa pada hari Isnin. Baginda pun menjawab: “Hari Isnin merupakan hari kelahiranku, hari aku dilantik menjadi Rasul dan Allah menurunkan Al-Quran kepadaku.” (Hadis Riwayat Muslim)

Sebagaimana yang kita ketahui, keberkatan pada hari Isnin itu sangat banyak. Ia merupakan hari di mana Nabi Muhammad SAW dilahirkan. Ia juga adalah hari di mana Baginda telah dilantik sebagai rasul dan Allah telah menurunkan Al-Quran kepadanya.

Jadi, puasa pada hari Isnin terkandung keberkatan yang begitu banyak untuk diraih.

#2 – Hari Dibentangkan Amalan

Daripada Abu Hurairah RA, Nabi SAW bersabda:

Maksud: “Amalan dibentangkan pada hari Isnin dan Khamis, maka aku lebih suka amalanku dibentangkan ketika aku sedang berpuasa.” (Hadis Riwayat Tirmizi, no. 747)

Diriwayatkan bahawa hari Isnin dan Khamis merupakan hari di mana amalan-amalan kita dibentangkan di hadapan Allah SWT.

Baginda SAW pun amat menyukai jika amalannya dibentangkan dalam keadaan Baginda sedang berpuasa kerana ia adalah salah satu amalan yang sangat besar di sisiNya.

#3 – Hari Sabtu Dan Ahad Ialah Kaum Yahudi Beribadah

Maksud: “Sesungguhnya, kedua-dua (hari Sabtu dan Ahad) adalah dua hari raya bagi orang-orang musyrik dan aku mahu perbuatanku berbeza dengan mereka.” (Hadis Riwayat Ahmad, no. 44)

Makruh hukumnya berpuasa pada hari Sabtu dan Ahad kerana ia merupakan hari kaum Yahudi beribadah. Pada hari tersebut juga, mereka akan mengagung-agungkannya dengan merayakan perayaan mereka.

Kesimpulan

Banyak kelebihan puasa sunat Isnin Khamis yang boleh diperoleh. Walaupun hukumnya adalah sunat, namun ia adalah antara amalan yang disukai Allah SWT.

Justeru, jika berkemampuan dan mempunyai kelapangan, maka cubalah untuk berpuasa agar boleh mendidik hati untuk melakukan ibadah-ibadah lain dengan ikhlas juga dan untuk menahan nafsu daripada melakukan keburukan.

Wallahu a’alam.

Baca juga:

  1. Makruh Berpuasa Pada Sabtu Dan Ahad
  2. Laporan Amalan Dibentang Pada Isnin Dan Khamis

Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Fizah Lee

Merupakan seorang graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Bahasa Melayu untuk Komunikasi Antarabangsa. Seorang yang suka membaca bahan bacaan dalam bidang sejarah dan motivasi

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami