Ibadah

COVID-19 – Kisah Nabi Khidir Membocorkan Perahu Bagi Mengelak Mudarat Yang Lebih Besar

Oleh Fizah Lee  •  25 Mar 2020  •  4 min baca

Anda pernah dengar tentang kisah Nabi Khidir yang membuat keputusan untuk membocorkan perahu yang dinaikinya? Mengapa Nabi Khidir sanggup melakukan hal yang demikian sedangkan jika perahu itu bocor, pasti wujud masalah lain yang akan melanda.

Hal ini ada dibahaskan oleh jumhur ulama berdasarkan dalil daripada Al-Quran melalui surah Al-Kahfi.

Mafhum: “Lalu berjalanlah keduanya sehingga apabila mereka naik ke sebuah perahu, ia membocorkannya. Nabi Musa berkata: “Patutkah engkau membocorkannya sedang akibat perbuatan itu menenggelamkan penumpang-penumpangnya? Sesungguhnya engkau telah melakukan satu perkara yang besar.” (Surah Al-Kahfi, 18:71)

Menurut perbahasan ulama, Nabi Khidir telah membocorkan perahu bagi mengelakkan ia daripada diambil oleh pemerintah pada waktu itu. Hal ini kerana, pemerintah pada zaman itu sangat zalim dan mereka akan merampas harta yang elok daripada rakyat jelata.

Ada beberapa perbahasan lain juga yang mengatakan perbuatan itu adalah untuk mengelakkan daripada dicuri oleh penyamun.

Nabi Khidir yang telah mengetahui akan hal tersebut telah bertindak membocorkan sampan itu untuk mengelakkan ia daripada dirampas.

Kaedah ini ada disebut di dalam fikh bagi mengelakkan mudarat yang menimpa dengan mengambil kira mudarat yang lebih ringan.

Kapal yang rosak boleh dibaiki, namun kapal yang hilang sukar untuk dicari ganti. Disebabkan itu Nabi Khidir mengambil keputusan untuk mengelakkan mudarat yang lebih besar.

Penutupan Masjid Diqiyaskan Dengan Kisah Ini

Hari ini, pendekatan yang diambil oleh pihak berkuasa untuk menutup masjid-masjid di sekitar kita bagi membantu memutuskan rangkaian virus COVID-19 ini adalah diqiyaskan dengan perbuatan Nabi Khidir tersebut.

Bukan masjid di sekitar kita sahaja yang ditutup, bahkan Masjidil Haram juga dilaporkan terlebih dahulu menghalang kemasukan orang awam bagi mengerjakan umrah. Terkini, Masjid Al-Aqsa pula dilaporkan ditutup sementara.

Solat berjemaah di masjid itu adalah antara amalan yang dianjurkan dalam Islam. Bahkan, diceritakan pada zaman Nabi Muhammad, Baginda akan menggesa semua muslimin yang ada untuk turun berjemaah di masjid. Betapa besarnya rahmat Allah kepada mereka yang berjemaah.

Namun, hari ini perbuatan berjemaah di masjid terpaksa dilupakan seketika bagi dijadikan sebagai salah satu ikhtiar untuk membendung wabak ini.

Bahkan, umat Islam dilarang menghadiri aktiviti berjemaah bagi mengelakkan kontak rapat. Bukan umat Islam sahaja, namun semua manusia tanpa mengira bangsa, agama dan juga peringkat umur.

Hal ini mengambil kira akan perintah Baginda SAW yang menyuruh untuk mengelakkan diri apabila terdengar berita berkenaan wabak.

Inilah fikh yang diajar kepada kita. Solat masih berjalan seperti biasa, namun dilakukan di rumah masing-masing.

Dalam waktu ini, jangan pentingkan diri sendiri semata-mata untuk merebut pahala 27 berjemaah di masjid dan juga pahala setiap langkah berjalan ke masjid kerana anda sebenarnya telah menggadaikan nyawa anda ke tahap yang bahaya. Bukan anda sahaja, bahkan orang-orang di sekeliling anda.

Duduk di rumah, solat berjemaah bersama ahli keluarga juga boleh memberikan anda pahala yang setimpal dengannya, bahkan lebih daripada itu.

Mendapat Ganjaran Syahid

Anda berusaha untuk mencegah wabak ini, anda berikhtiar untuk membantu memutuskan rantaian penularan wabak ini dan anda mematuhi arahan pihak berkuasa. Semuanya akan diberi ganjaran.

Terdapat sebuah hadis sahih yang diriwayatakan melalui sunan al-Kubra berkenaan dengan pahala yang diganjarkan kepada mereka yang mengkuarantikan diri sendiri di kediaman masing-masing walaupun virus itu tidak sampai kepadanya.

Dari ‘Aisyah ummul Mukminin RA, beliau berkata: “Saya pernah bertanya kepada Rasulullah SAW mengenai taun (wabak penyakit). Lalu Baginda memberitahu kepadaku bahawa wabak itu adalah sebuah seksaan yang dikirimkan Allah kepada seseiapa sahaja yang dikehendakiNya. Manakala, Dia menjadikanNya rahmat kepada orang-orang yang beriman.”

Tambahnya lagi: “Sesiapa yang menghadapi wabak, lalu dia bersabar dengan tinggal di kediamannya dengan penuh ikhlas, sedangkan dia mengetahui ia tidak akan menimpanya kecuali apa yang telah ditetapkan oleh Allah kepadanya, maka ia akan mendapat pahala seperti pahala orang yang syahid.” (Hadis Riwayat Bukhari, no. 3474)

Duduk di rumah dan berdoalah agar episod wabak ini sembuh sambil mengharapkan pahala daripada Allah serta memperbanyakkan amalan kepadaNya, pasti akan diganjarkan pahala syahid.

Namun, bukan duduk di rumah dan melakukan aktiviti keduniaan semata-mata, tetapi perbanyakkanlah aktiviti yang boleh mendekatkan kita kepadaNya. Masa sebeginilah anda boleh mencari peluang untuk beramal sebanyak-banyaknya.

Kesimpulan

Justeru, dalam keadaan ini, berjemaah di masjid mahupun berhimpun di tempat-tempat yang memudahkan wabak ini menjangkiti anda, bukanlah perkara yang boleh dipandang remeh.

Lebih banyak kesedaran yang wujud dalam jiwa setiap manusia, lebih cepat episod wabak ini boleh sembuh sekali gus akan memudahkan kita untuk berhimpun dan sama-sama berjemaah suatu hari nanti.

Yang paling penting, berdoalah dengan sepenuh hati dan peka akan arahan serta informasi semasa yang dikeluarkan oleh pihak-pihak yang dipertanggungjawabkan.

Jangan kerana nila setitik, rosak susu sebelanga. Jangan disebabkan kedegilan anda, orang yang tidak bersalah menjadi mangsa.


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Fizah Lee

Merupakan seorang graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Bahasa Melayu untuk Komunikasi Antarabangsa. Seorang yang suka membaca bahan bacaan dalam bidang sejarah dan motivasi

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami