Umum mengetahui, solat merupakan ibadah wajib yang diperintahkan Allah kepada hambaNya di dunia ini. Ia akan menjadi soal jawab pertama di alam barzakh kelak.
Ia merupakan kewajipan ke atas setiap muslim yang perlu dilakukan dalam apa jua keadaan kecuali buat mereka yang tidak waras dan juga yang uzur.
Buat mereka yang meninggalkan solat secara tidak sengaja seperti terlupa, tertidur atau sakit, dimaafkan kesalahannya itu juga dengan syarat ia perlu digantikan semula dengan kadar yang ingat dan mampu.
Walau bagaimanapun, bagaimana pula dengan mereka yang meninggalkan solat secara sengaja tanpa alasan yang kukuh seperti keadaan kesihatan yang baik atau tidak terlupa?
Apakah hukum ke atas mereka dan adakah dosa tersebut dimaafkan?
Sebahagian ulama berpendapat bahawa ia merupakan dosa yang sangat besar terhadap Allah. Bahkan mereka berkata bahawa golongan yang sengaja meninggalkan solat ini boleh dianggap kafir terhadap agama kerana mereka tidak mengerjakan tuntutan yang paling utama dalam beragama.
Maksud: “Yang membezakan antara seorang hamba (yang mukmin) dengan seorang yang kafir ialah meninggalkan solat.” (Hadis Riwayat Muslim, no. 82)
Para ulama seperti daripada Imam Syafi’e dan Imam Abu Hanifah menyebut bahawa – golongan yang meninggalkan solat secara sengaja disebabkan malas dan sengaja meringan-ringankannya sama ada dengan mempersendakannya, maka jatuh ke atasnya hukum kafir dan berdosa selagi mana dia tidak mula menunaikan solat.
Walau bagaimanapun, jika seseorang itu bertaubat dengan bersungguh-sungguh dan telah kembali kepada jalan yang benar, maka Allah itu Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani. Jadi, jangan risau mengenai taubat yang dilakukan sama ada diterima atau tidak kerana tugas anda ialah untuk meminta keampunan Allah sahaja.
Maka, wajib ke atasnya untuk menunaikan kembali solat. Namun, menjadi persoalan, adakah perlu menggantikan (qada) semula solat yang pernah ditinggalkan?
Ini pandangan para ulama berkenaan hukum dan kewajipan dalam menggantikan solat yang telah ditinggalkan:
Menurut beberapa pendapat seperti Imam Syafi’e, Imam Abu Hanifah, Imam Malik serta Imam Ahmad menyebut bahawa wajib ke atasnya untuk mengqadha semula solat yang telah ditinggalkan.
“Para ulama bersepakat bahawa sesiapa yang meninggalkan solat kerana terlupa atau tertidur, maka wajib ke atasnya untuk qadha.” (Imam Ibn Rushd RA)
Tambah Imam Al-Qurthubi juga, jika diwajibkan ke atas setiap muslim untuk menggantikan puasa wajib yang telah ditinggalkan, maka pasti wujud hukum untuk menggantikan solat yang telah ditinggalkan.
Malah, para ulama lain juga bersepakat menggunakan qias (persamaan) ini dalam urusan menggantikan solat.
Berkenaan dengan bilangan solat yang perlu digantikan, ia perlu dilakukan mengikut bilangan rakaat yang sama ditinggalkan (jika diingat) dan jika sudah terlalu banyak kali meninggalkan solat sehingga terlupa bilangan, maka perlu digantikan sekadar mampu.
Hal ini kerana, ia merupakan hutang seseorang hamba dengan Allah yang wajib dilangsaikan. Oleh itu, perlu dilunaskan sebanyak mana yang ditinggalkan.
Baca Sini: Cara Menggantikan Solat Yang Terlalu Banyak
Menurut sebahagian jumhur ulama lain berpendapat bahawa tidak wajib ke atas seseorang yang meninggalkan solat untuk mengqada kerana setiap solat itu mempunyai waktu-waktu khusus untuk dilakukan dan solat yang tertinggal sudah tidak boleh dilakukan dalam waktunya.
Tambah mereka lagi, adalah lebih baik untuk memperbanyakkan taubat dan amalan baik bagi menggantikan akan solat yang tertinggal itu agar dosa itu dihapuskan.
Ini adalah menurut pendapat beberapa sahabat lain seperti khutbah yang telah disampaikan oleh Umar Al-Khattab:
Maksud: “Umar Al-Khattab telah berkata melalui khutbahnya di Jabiah: “Ketahuilah sesungguhnya solat itu telah Allah syaratkan waktu-waktu tertentu ke atasnya dan tidak sesuai kecuali dengannya.”
Walaupun timbul khilaf ke atas kewajipan menggantikan solat yang ditinggalkan secara sengaja, namun melihat kepada pendapat Mufti menunjukkan bahawa wajib ke atas setiap muslim untuk mengqada solat.
Hal ini kerana ia mengikut kepada pendapat Imam Syafi’e yang digunakan di sini dan solat yang tertinggal itu, sama ada secara sengaja atau tidak merupakan hutang kepada Allah yang wajib dilunaskan.
Rujukan:
Mufti Wilayah
Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.
Kempen Dakwah Digital
Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.