Ibadah

Banyak Tinggal Solat, Macam Mana Nak Ganti Semula

Oleh Fizah Lee  •  19 Jul 2019  •  5 min baca

Saya tertarik melihat perkongsian yang telah ditulis oleh Ustaz Ebit Lew di laman sosialnya bahawa, manusia sekarang tidak ramai yang menitik beratkan perihal solat, sedangkan ia merupakan salah satu kewajipan yang wajib dilakukan.

Solat merupakan arahan yang diberikan secara langsung kepada Nabi SAW sewaktu peristiwa Isra’ Mikraj. Hal itu menunjukkan bahawa taraf dan kepentingan solat adalah suatu yang tidak boleh diabaikan dan dipandang ringan.

إِنَّ الصَّلَاةَ كَانَتْ عَلَى الْمُؤْمِنِينَ كِتَابًا مَّوْقُوتًا

“Sesungguhnya sembahyang itu adalah satu ketetapan yang diwajibkan atas orang-orang yang beriman, yang tertentu waktunya.” (Surah An-Nisa, 4:103)

Pengorbanan Para Syahid Dalam Menunaikan Tanggungjawab Sebagai Hamba

Kita dapat lihat banyak penceritaan yang dibawakan mengenai kesusahan umat yang terdahulu untuk menunaikan kewajipan dalam Islam. Antaranya ialah;

#1 – Bilal Bin Rabbah

Bilal bin Rabbah merupakan antara tujuh manusia terawal yang memeluk Islam walaupun ia ditentang hebat oleh kaum kafir Quraisy ketika itu.

Bilal yang pada awalnya memeluk Islam secara sembunyi, telah diketahui oleh majikannya lalu diseret di tengah padang pasir dalam keadaan yang panas terik dan telah diletakkan batu besar di atas perutnya.

Walau diuji dengan sebegitu rupa, namun keimanan dan jihadnya terhadap Islam masih lagi kukuh sehingga akhirnya beliau telah dibebaskan daripada seorang hamba dan menjadi muazin yang disegani hingga kini.

#2 – Sumayyah Binti Khayyat

Sumayyah binti Khayyat dan keluarganya merupakan hamba kepada Hudzaifah bin Mughirah yang sangat kuat kepercayaannya kepada penyembahan berhala.

Sumayyah dan suaminya, Yasir telah dijemur di tengah panas terik dan diletakkan batu di atas badan oleh Abu Jahal dan pengikutnya agar mereka kembali menyembah agama nenek moyang mereka.

Namun, disebabkan oleh kecintaan yang tinggi terhadap agama Islam, pegangan mereka tidak berubah sehingga menjadikan mereka manusia pertama yang syahid dalam Islam.

#3 – Rakyat Palestin

Jika dilihat keadaan rakyat Palestin yang telah mengalami perang selama bertahun lamanya, mereka tetap menunaikan solat.

Walaupun mereka sedang dilanda perang yang tidak berkesudahan, namun hati mereka tidak gentar untuk setia kepada Tuhan. Malah, mereka yakin akan diganjari syahid jika meninggal dalam situasi tersebut.

Lunaskan Hutang Anda Dengan Allah

Bagaimana dengan situasi kita yang hidup dalam keadaan harmoni dan tiada halangan untuk menunaikan solat, namun masih liat dengannya.

Kita sering memandang enteng dan menyangkakan hidup kita lama lagi, di hari tua nanti boleh beribadah dengan banyaknya. Namun, yakinkah kita akan sempat menempa hari tua?

Bagaimana jika kematian menjengah sebelum sempat kita bertaubat kepada Allah? Bagaimana kita menghadap Allah dalam keadaan umur kita yang banyak dihabiskan dengan maksiat dan hiburan semata-mata?

Adakah pernah soalan-soalan di atas bermain di benak minda kita atau mungkin kita masih lalai dalam nikmat dunia yang diberikanNya?

Para ulama’ mengatakan bahawa, dengan terlintasnya persoalan tersebut dalam pemikiran kita, maka Allah sedang mengetuk pintu hati kita untuk kembali kepadaNya.

Lalu, ada yang bertanya, adakah Allah akan menerima taubat walau kita telah meninggalkan solat sepanjang 40 tahun hidup?

Adakah Allah masih memandang amalan kita sedangkan sebelum ini kita banyak bermaksiat kepadaNya? Dan, bagaimana untuk kembali solat sedangkan sebelum ini kita tidak pernah menunaikan solat atau jarang-jarang sahaja melakukannya.

وَمَن يَعْمَلْ سُوءًا أَوْ يَظْلِمْ نَفْسَهُ ثُمَّ يَسْتَغْفِرِ اللَّـهَ يَجِدِ اللَّـهَ غَفُورًا رَّحِيمًا

“Dan sesiapa yang melakukan kejahatan atau menganiaya dirinya sendiri (dengan melakukan maksiat) kemudian ia memohon ampun kepada Allah, nescaya ia akan mendapati Allah Maha Pengampu, lagi Maha Mengasihani.” (Surah An-Nisa, 4:110)

Hukum Qada’ Solat

Jumhur ulama’ berbeza pendapat mengenai hukum qada’ solat. Ada yang mengatakan bahawa, wajib untuk qada’ solat sama ada ditinggalkan secara sengaja atau tidak. Namun, ada sesetengah pendapat ulama’ mengatakan bahawa tidak wajib qada’ solat kerana ia adalah perbuatan bid’ah. Maka, cukup sahaja dengan memperbanyakkan solat sunat dan taubat kepadaNya.

Wajib Qada’ Solat

Menurut jumhur ulama dan pendapat Imam Syafi’e, wajib untuk qada’ solat kerana ia merupakan suatu kewajipan yang dikenakan ke atas Muslim.

فَدَيْنُ اللَّهِ أَحَقُّ أَنْ يُقْضَى

Maksud: “Maka, adalah hutang kepada Allah itu lebih berhak untuk dilangsaikan.” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Tidak Wajib Qada’

Manakala, daripada pandangan beberapa ulama’ lain mengatakan bahawa tidak wajib qada’ solat. Cukuplah dengan memperbanyakkan solat sunat seperti qabliah dan ba’diyah, solat taubat dan juga tahajjud. Amalan sunat lain seperti sedekah juga boleh dilakukan untuk meminta keampunan daripada Allah SWT.

Walau bagaimanapun, pendapat yang paling tepat dan perlu diambil ialah dengan mengqada’ solat. Hal ini ada dibahaskan dengan lebih lanjut dalam beberapa kitab dan juga tafsir seperti Fikh Al-Manhaji.

Dalam kitab ini juga ada disebutkan; “Orang yang meninggalkan kerana mengingkari hukum wajibnya atau sengaja mempersendakannya akan menjadi kafir dan terkeluar daripada agama Islam.”

Cara untuk mengerjakan solat qada’ adalah melakukan solat seperti biasa dengan niat yang sama, iaitu:

“Sahaja aku solat Fardu Maghrib, qada’ kerana Allah Ta’ala.”

Dari segi masa untuk melakukannya, ada pendapat yang mengatakan bahawa, ia boleh dilakukan sejurus selepas sedar tentang kealpaannya. Namun, ada pendapat lain yang mengatakan bahawa ia perlu dilakukan pada waktu solat tersebut.

Sebagai contoh, jika kita tertinggal solat Zohor, maka kita perlu mengqada’nya pada waktu Zohor selepas menunaikan solat wajib (pada waktu tersebut). Namun, untuk mengelakkan daripada terlupa untuk gantikan solat, maka lebih baik jika dilakukan apabila terus teringat.

Jika sepanjang hidupnya tidak pernah menunaikan solat, maka cara yang betul untuk menggantikannya ialah dengan menunaikan solat qada’ setiap selepas kali solat fardu. Jika tidak diyakini bilangan yang ditinggalkan dan bimbang kematian menjengah terlebih dahulu, kita tidak perlu bimbang dengan urusan itu, kerana Allah Maha Mengetahui dan Memahami hambaNya yang ingin bertaubat.

Kesimpulan

Walau apa jua keadaan yang sedang dilalui, seseorang itu tidak boleh mencari alasan untuk meninggalkan solat. Ia merupakan tiang agama, dalam erti kata lain ia merupakan amalan yang paling penting untuk membentuk akidah dan juga keimanan diri sendiri.

Hutang dengan manusia wajib dilunaskan, begitu juga hutang dengan Allah.

Rujukan: Hukum Qada’ Solat – Dr Zulkifli Al-Bakri


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Fizah Lee

Merupakan seorang graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Bahasa Melayu untuk Komunikasi Antarabangsa. Seorang yang suka membaca bahan bacaan dalam bidang sejarah dan motivasi

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami