Gaya Hidup

Virus Terlebih Optimis : Tembok Penghalang Anda Menjadi Realistik

Oleh Natirah Azira  •  29 Aug 2018  •  3 min baca

“Aduh, ingat dapat siapkan kerja ni hari ni. Ada separuh lagi ni. Esok dah deadline”

Biasakan anda gunakan dialog ini? Jika pernah, anda mungkin sudah terperangkap dalam ‘planning fallacy’ atau boleh difahami sebagai ‘salah anggapan dalam perancangan’.

Manusia cenderung untuk menganggap bahawa mereka mampu untuk menyelesaikan sesuatu kerja dalam tempoh yang sudah ditetapkan ataupun menganggap bahawa kerja tersebut memerlukan masa yang singkat sahaja.

Realitinya, masa yang lebih lama diperlukan untuk menyelesaikan sesuatu tugasan. Mengapa hal ini terjadi? Adakah salah untuk optimis dan positif?

Kajian psikologi mendapati bahawa apabila manusia merancang sesuatu untuk masa hadapan, mereka cenderung untuk terlebih optimis, dan meletakkan target yang tidak realistik.

Mereka fokus melihat kehadapan dan kurang mengambil kira pengalaman lalu serta halangan-halangan yang mungkin ada.

Hal ini boleh terjadi kepada sesiapa sahaja. Lihat sahaja projek-projek mega di luar sana seperti pembinaan rumah, kompleks beli belah atau jalan yang sudah lama dalam proses naik taraf. Atau lihat yang lebih dekat dengan kita.

Perancangan-perancangan dalam kehidupan seharian seperti membayar sewa rumah, kereta, membayar hutang, menyiapkan projek dan sebagainya.

Ada juga keadaan di mana seseorang sudah mengambil kira pengalaman lalu, tetapi tetap tidak dapat membuat perancangan yang baik.

Pakar psikologi berpendapat bahawa mereka cenderung untuk menganggap kegagalan masa lalu bukanlah disebabkan kesilapan mereka sendiri dalam merancang tetapi menyalahkan faktor luaran seperti masa terlalu singkat diberi, ada kesulitan tiba-tiba yang dihadapi dan 1001 alasan lagi.

Planning fallacy ini boleh dielakkan dengan sentiasa melakukan reality check iaitu melihat kepada kemampuan diri serta keadaan semasa.

Lebih baik kita memperuntukkan lebih masa untuk membuat perancangan yang rapi. Kenali style diri sendiri dalam melakukan sesuatu tugasan.

Jika anda seorang yang memerlukan masa yang lama untuk menyiapkan kerja, maka mulalah dari awal, sedikit demi sedikit.

Langkah ini dapat mengurangkan bebanan dan tekanan di penghujungnya. Perihal masa dan urusan kerja juga ada disebutkan dalam Al-Quran;

Dan jangan sekali-kali engkau mengatakan terhadap sesuatu, “Aku pasti melakukan itu esok pagi”, kecuali dengan mengatakan “Insya Allah”. Dan ingatlah kepada Tuhanmu apabila engaku lupa dan katakanlah, “Mudah-mudahan Tuhanku akan memberiku petunjuk kepadaku agar aku yang lebih dekat (kebenaranya) daripada ini.” SurahAl-Kahfi, 12:23-24

Dari Ibnu Umar R.A berkata;

“Suatu hari Rasulullah S.A.W memegang kedua pundakku seraya bersabda: ”Jadilah engkau di dunia ini seperti orang asing atau pengembara”. Maka Ibnu ‘Umar R.A menyatakan: “Jika engkau berada di waktu petang janganlah engkau menunggu datangnya esok hari. Jika engkau berada di pagi hari, janganlah engkau menunggu datangnya waktu petang. Pergunakanlah masa sihatmu untuk menghadapi masa sakitmu, dan masa hidupmu untuk menghadapi masa kematianmu.” Riwayat Al Bukhari

Maka sebenarnya tidak salah untuk mempunyai sikap optimis, tetapi perlulah realis atau sedar tentang realiti yang kita hadapi. Masa adalah makhluk Allah yang sangat misteri.

Adakala ianya terasa panjang. Ada masa kita seperti kehabisan udara untuk bernafas, kelam kabut memenuhi tuntutan kehidupan.

Semoga Allah mengurniakan kita keberkatan dalam masa, usaha, usia serta amal kita. Amin.

Rujukan;
Social Psychology, Robert A. Baron & Nyla R.Branseombe


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Natirah Azira

Natirah Azira

Beliau merupakan graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Al-Quran dan Sunnah. Sekarang sedang menyambung pengajian peringkat Ijazah Sarjana dalam bidang Psikologi di universiti yang sama. Seorang yang suka membaca pelbagai genre bahan bacaan terutama sejarah, sastera, motivasi dan psikologi.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami