Gaya Hidup, Hukum

Tulis Komen Buruk Di Media Sosial – Adakah Dianggap Ghibah?

Oleh Fieyzah Lee  •  25 Jul 2019  •  6 min baca

“Weyh, aku bukan nak cerita apalah, tapi kan Asma tu kan, dia selalu balik lewat malam.”

“Kau tahu tak Ali tu dah kahwin lagi dekat Siam.”

Bukan ini sahaja, malah banyak lagi dialog sebegini rupa yang sering kita dengar dalam kehidupan seharian.

Kadang-kadang kita terdengar perbualan yang sebegini atau mungkin kadang-kadang perbualan itu datang kepada kita tanpa kita pinta.

Dalam sedar atau tidak, kita sebenarnya telah melakukan ghibah atau terpalit sekali dalam ghibah, iaitu ketika sekadar menjadi pendengar.

Apa itu ghibah dan apa pula hukumnya?

Banyak dalil yang telah dikemukakan Allah melalui kalamnya dan juga pesanan daripada Baginda SAW mengenai ghibah.

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اجْتَنِبُوا كَثِيرًا مِّنَ الظَّنِّ إِنَّ بَعْضَ الظَّنِّ إِثْمٌ ۖ وَلَا تَجَسَّسُوا وَلَا يَغْتَب بَّعْضُكُم بَعْضًا ۚ أَيُحِبُّ أَحَدُكُمْ أَن يَأْكُلَ لَحْمَ أَخِيهِ مَيْتًا فَكَرِهْتُمُوهُ ۚ وَاتَّقُوا اللَّـهَ ۚ إِنَّ اللَّـهَ تَوَّابٌ رَّحِيمٌ

Mafhum: “Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa; dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang; dan janganlah sesetengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (Jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh itu, patuhilah larangan-larangan yang tersebut) dan bertaqwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah Penerima Taubat lagi Maha Mengasihani.” -(Surah Al-Hujurat, 49:12)

Para ulama’ mentafsirkan ghibah sebagai prasangka buruk dan menyebarkannya kepada orang lain. Malah, dalam dalil di atas juga, ia menyebut bahawa perbuatan mengintip dan mencari-cari kesalahan orang lain adalah termasuk dalam perbuatan awal ghibah.

Ghibah berasal daripada perkataan Arab yang membawa maksud berkata-kata perkara yang buruk mengenai seseorang yang tidak ada di kalangan atau kumpulan tersebut.

Manakala, dari segi istilah, ia adalah perbualan di antara dua orang atau secara berkumpulan mengenai seseorang yang tiada di dalam kumpulan tersebut mengenai keburukan atau sesuatu yang tidak disukai. Ia adalah berbeza dengan menipu atau bercakap dusta kerana perbicaraan dalam ghibah adalah kebanyakannya benar.

Imam Nawawi Rahimahullah ada menyebutkan mengenai ghibah di dalam kitabnya al-Adzkar (hal.579) yang bermaksud:

“Ghibah adalah sesuatu yang amat buruk dan ia akan tersebar kepada ramai orang. Yang boleh selamat dari perbuatan ini hanyalah sedikit. Perbualan ghibah ini dibicarakan mengenai kebenaran yang ada pada seseorang namun ia adalah perbualan yang buruk dan tidak enak didengar. Sesuatu yang dibicarakan boleh jadi mengenai badan, agama, dunia, diri, akhlak, fizikal, harta, anak, orang tua, isteri, pembantu, kebodohan atau segala yang berkaitan dengannya. Cara ghibah boleh jadi melalui lisan, tulisan, isyarat atau bermain isyarat dengan mata, tangan, kepala atau seperti itu.”

Jumhur ulama’ telah meletakkan hukum haram dan ia adalah termasuk dalam dosa besar. Walau bagaimanapun, ada beberapa pendapat daripada ulama’ lain yang menghuraikan jenis-jenis ghibah yang tidak dijatuhkan hukum haram dalam Islam. Antaranya ialah:

#1 – Tadzalun, iaitu apabila berlaku penganiayaan.

#2 – Membantu untuk mencegah kemungkaran.

#3 – Meminta fatwa atau penerangan.

#4 – Untuk memberi peringatan mengenai sesuatu.

#5 – Sebagai tanda pengenalan.

#6 – Pelaku maksiat yang melakukannya secara terang-terangan.

Walau bagaimanapun, jika sekadar mengumpat untuk menyebarkan keburukan seseorang, itu adalah dikira dosa besar dan sebaiknya mengelakkan diri daripada terlibat dalam perbuatan tersebut.

“Ouh, aku tak mengumpat, aku dengar sahaja apa yang dikatakan.”

Mungkin kita pernah berkata atau berfikiran begitu apabila berada di dalam situasi atau kumpulan mereka yang sedang mengumpat.

Kadang-kadang, kawan yang rapat datang menjengah untuk menceritakan perihal seseorang dan ada kalanya perbualan yang pada awalnya untuk kebaikan ada terpalit juga ghibah dan umpatan terhadap seseorang.

Adakah ia juga dikira ghibah dan akan mendapat ganjaran dosa yang sama dengan si tukang umpat tersebut?

Menerusi pendapat jumhur ulama’ dan beberapa pendapat dari golongan Mazhab Syafi’e ada menyebutkan bahawa, sama ada si tukang umpat atau yang mendengar umpatan tersebut, masing-masing akan mendapat dosa dan saham yang sama.

Oleh itu, elakkanlah daripada terjebak dengan dosa ini. Apabila didatangi orang atau kenalan untuk mengumpat, maka jauhilah atau cuba beredar dari tempat tersebut.

Bahaya Dosa Ghibah

Hal ini ada disebut melalui beberapa riwayat Rasulullah SAW, antaranya ialah:

حَسْبُكَ مِنْ صَفِيَّةَ كَذَا وَ كَذَا. قَالَ غَيْرُ مُسَدَّدٍ تَعْنِيْ قَصِيْرَةً. فَقَالَ : لَقَدْ قُلْتِ كَلِمَةً لَوْ مُزِجَتْ بِمَاءِ الْبَحْرِ لَمَزَجَتْهُ

Maksud: “Wahai Rasulullah, cukuplah menjadi bukti bagimu kalau Shafiyah itu memiliki sifat demikian dan demikian.”

Salah seorang periwayat hadis menjelaskan maksud ucapan ‘Aisyah bahawa Shafiyah itu orangnya pendek. Oleh kerana itu, Nabi SAW bersabda:

“Sungguh, engkau telah mengucapkan sebuah kalimat yang seandainya dicelupkan ke dalam lautan, maka ia akan merubahnya.” (Hadis Riwayat Sunan Abu Dawud no. 4875)

Mereka yang mengumpat juga adalah diibaratkan sedang memakan daging saudaranya sendiri dan ia adalah perbuatan yang jijik dan kotor.

Mafhum: “Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (Jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya.” (surah Al-Hujurat, 49:12)

Dosa dengan Allah akan diampunkan olehNya, tetapi apabila kita berbuat dosa dengan manusia, kita perlu meminta ampun dari manusia itu sendiri. Pasti kita takut untuk membayangkan keadaan diri kita di Padang Mahsyar kelak jika tidak sempat untuk meminta keampunan di dunia. Nauzubillahhiminzalik.

Adakah Menulis Komen Buruk Di Media Sosial Juga Dikira Ghibah

Menerusi arus kemodenan dan diri yang diasak dengan pengaruh media sosial, kita cenderung untuk berhubung menerusi alam maya jika dibandingkan dengan perjumpaan di alam realiti.

Apabila berbual mengenai keburukan di dalam kumpulan perbualan seperti aplikasi WhatsApp, Messenger atau Telegram maka secara terang-terangan ia adalah dikira sebagai ghibah dan hukumnya adalah sama dan dikira berdosa.

Jika anda yang berada di dalam kumpulan perbualan tersebut dan secara tidak sengaja membacanya, maka ia adalah tidak mengapa. Namun, jika anda juga turut serta dalam menyebarkan aib dan mengumpat, maka ia adalah berdosa.

Namun, bagaimana pula jika kita meninggalkan komen yang buruk di ruangan media sosial seperti di posting Instagram atau Facebook, adakah ia juga dikira ghibah?

Menurut pendapat beberapa golongan agamawan, mereka mengatakan jika tulisan tersebut adalah mengenai keburukan dan tiada manfaat pun jika ditulis, maka ia adalah sama seperti ghibah.

Malah, jika sehingga mampu menimbulkan kekecohan dan menyebabkan ia kepada perbincangan yang membuka aib dan keterlaluan, ia juga dikira berdosa. Hal ini kerana, ia adalah sama dengan perbuatan menyebarkan aib terutamanya di ruangan yang terbuka atau umum.

Mafhum: “Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa.” (Surah Al-Hujurat, 49:12)

Malah, melalui pandangan Imam Nawawi di atas ada juga dihuraikan mengenai ghibah dalam bentuk tulisan. Maka, jumhur ulama’ berpendapat bahawa ia adalah sama dengan situasi di media sosial.

Maksud: “Cara ghibah boleh jadi melalui lisan, tulisan, isyarat atau bermain isyarat dengan mata, tangan, kepala atau seperti itu.” (KitabAl-Adzkar, hal.579)

Oleh itu, adalah lebih baik untuk tidak meninggalkan fitnah, ghibah dan aib di mana-mana ruangan atau perbualan, bimbang ia jua akan mendatangkan fitnah yang lebih besar. Wallahu a’lam.

Kesimpulan

Ghibah dan umpatan itu merupakan suatu dosa yang akan diampunkan oleh Allah jika manusia itu telah memberi kemaafan kepada kita.

Oleh itu, berusahalah untuk mengelakkan diri daripada terlibat dalam perkara yang tidak berfaedah. Adalah lebih baik jika kita mendengar perkara yang baik-baik sahaja jika tidak mampu untuk mencegah mereka yang sedang dalam dosa ini.

يبصر أحدكم القذاة في أعين أخيه، وينسى الجذل- أو الجذع – في عين نفسه

Maksud: “Salah seorang dari kalian dapat melihat kotoran kecil di mata saudaranya, tetapi dia lupa akan kayu besar yang ada di matanya.” (Az-Zuhd war Raqaiq Ibnul Mubarak, 211)

Wallahu a’lam.

Rujukan: Rumaysho.com


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Fieyzah Lee

Fieyzah Lee

Merupakan seorang pelajar Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Bahasa Melayu untuk Komunikasi Antarabangsa. Seorang yang suka membaca bahan bacaan dalam bidang sejarah dan motivasi

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami