Inspirasi

Tidak Semua Perkara Yang Hilang Itu ‘Hilang’

Oleh Natirah Azira  •  23 Oct 2018  •  4 min baca

Tidak semua kehilangan yang kita alami dalam hidup ini ialah sebuah kehilangan. Kadang-kadang dengan kehilangan, Tuhan sebenarnya membuka ruang kepada sesuatu yang baru untuk masuk ke dalam kehidupan kita. Masa akan membawa kita mengembara ke suatu daerah yang tidak pernah kita sampai, ke suatu pengalaman yang tidak pernah kita tempuh. InsyaAllah yang lebih baik pastinya.

“Oleh itu, maka (tetapkanlah kepercayaanmu) bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan” (Surah As-Syarh 94:5)

Allah menganjurkan kita sentiasa menghisab diri, melihat dan menilai kehidupan kita. Anjuran ini bukan hanya dari sudut ibadah dan dosa, malah persekitaran kita, pergaulan sosial, dan juga fikiran kita sendiri.

Analoginya seperti orang yang suka mengumpulkan barang. Setiap apa yang dirasakan cantik akan dibeli. Semakin lama, barang yang dikumpulnya semakin penuh sehingga memenuhi rumah. Hingga tidak ada lagi ruang untuk memasukkan sesuatu yang baru yang lebih bermanfaat. Ada masa kita perlu melihat kembali, apa sebenarnya yang telah kita kumpul. Adakah barang itu bermanfaat? Adakah telah rosak dan boleh dibuang?

Begitu juga dengan kehidupan kita secara umumnya. Dari semasa ke semasa, kita perlu menilai apa sebenarnya yang telah kita ‘simpan’ dalam kehidupan kita. Adakah perkara yang tidak bemanfaat yang boleh ditinggalkan? Apa perkara atau amalan yang masih boleh dikekalkan? Saya tertarik dengan sebuah video dari Jay Shetty, katanya ada 6 perkara yang tidak bermanfaat yang boleh kita buang dari hidup kita.

#1- Rasa Bersalah

Seperti mana luka boleh menyakitkan badan, begitulah juga rasa bersalah boleh menyakitkan jiwa . Rasa bersalah yang tidak berkesudahan adalah suatu yang tidak sihat dan tidak bermanfaat untuk diri. Hatta Allah juga boleh memaafkan dan melupakan kesalahan hamba-hambNya, hal yang sama juga harus dilakukan oleh kita.

Sama ada kita di pihak yang melakukan kesalahan atau di pihak yang memaafkan kesalahan, hidup harus diteruskan. Hal yang terbaik yang mampu seorang itu lakukan apabila melakukan kesalahan adalah berubah.

#2- Alasan

Tidak ada orang yang terlepas dari sikap suka memberi alasan. Namun, jika sikap ini telah menjadi tabiat yang sukar dibuang malah mengundang perkara-perkara negatif, itu bermakna sikap ini perlu dibuang. Alasan adalah ilusi yang membuat kita sentiasa lari dari kenyataan dan tanggungjawab.

#3- Orang Yang Negatif

Jauhkan diri dari orang yang negatif dan tidak membantu perkembangan kita. Mereka yang rapat dengan kita tidak semestinya baik dan bermanfaat, dan orang yang tidak rapat dengan kita tidak semestinya tidak baik untuk kita.

Tindakan ini diambil bukan bermakna kita benci atau berpandangan serong kepada mereka, cuma bagi orang yang cepat ‘menyerap’ negative vibes yang ada di persekitaran, langkah ini perlu diambil bagi memastikan fikiran tidak terpengaruh dengan sifat negatif yang ada.

#4- Rasa Bimbang

Rasa bimbang itu normal. Namun perasaan bimbang yang berlebihan tidak membawa kita ke mana. Ia hanya menjadikan masalah yang kecil terlihat lebih besar. Rasa cemas dan bimbang tanpa sebab yang kukuh dan munasabah akan menghalang kita daripada menikmati apa yang ada di depan mata. Ia menyebabkan kita terlalu jauh hidup di masa lalu atau terlalu jauh melayang ke masa hadapan yang masih belum nyata.

#5- Suara Hati Yang Negatif

Suara hati tidak semestinya betul. Kadang-kadang suara hati mampu membentuk persepsi yang salah terhadap diri sendiri. Ada masa kita cenderung menghamburkan kata-kata negatif kepada diri sendiri terutama apabila kita melakukan kesilapan. Suara hati begini perlu dibuang. Kesilapan yang dilakukan tidak perlu diulang tayang seperti filem rosak di dalam kepala.

#6- Rasa Untuk Memuaskan Hati Semua Orang

“Kita tidak boleh memuaskan hati semua orang”

Kerap kali kita mendengar pesanan ini. Namun bagi orang yang mempunyai masalah untuk berkata ‘tidak’ dan tidak reti menolak permintaan orang, hal ini adalah satu cabaran yang besar. Apabila kita tidak dapat memuaskan hati semua orang, kita cenderung untuk rasa ‘serba salah’ yang teramat sangat.

Belajarlah mengatakan ‘tidak’ perlahan-lahan. Ingatkan diri bahawa memuaskan hati semua orang bukan tanggungjawab kita. Kita hanya dapat melakukan sesuatu dalam ruang lingkup kemampuan kita sahaja.

“You have this one life. How do you want to spend it? Apologizing? Regretting? Questioning? Hating yourself? Dieting? Running after people who don’t see you? Be brave. Believe in yourself. Do what feels good. Take risks. You have this one life. Make yourself proud.”Anonymous


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Natirah Azira

Beliau merupakan graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Al-Quran dan Sunnah. Pernah mendalami bidang Psikologi selama dua tahun dan sekarang sedang menyambung pengajian peringkat Ijazah Sarjana dalam bidang Kaunseling di Universiti Sains Malaysia.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami