Inspirasi

Tidak Perlu Mencari Tanda-Tanda Lailatul Qadar?

Oleh Natirah Azira  •  15 May 2020  •  2 min baca

Siapa yang tidak mahu jika ingin diberi bonus 1000 bulan gaji? Syarat untuk mendapatkannya hanya bekerja keras 10 hari.

Sudah pasti berduyun-duyun orang yang ingin melakukan pekerjaan tersebut kerana ganjaran tersedia di luar logik fikiran. Jika gaji yang diperoleh untuk sebulan biasanya RM3000 maka jika didarabkan dengan 1000 bulan pasti menjadi 3 juta!

Itulah gambaran yang ingin saya bawakan berkenaan satu malam yang sangat dahsyat ganjarannya dalam bulan Ramadan ini, iaitu malam lailatul Qadar. Bahkan sebenarnya lebih baik lagi ganjarannya daripada bentuk gambaran wang yang diberikan sebentar tadi. Ia malam yang lebih baik daripada 1000 bulan.

Imam Mujahid, Qatadah dan imam lainnya berpendapat bahawa yang dimaksudkan dengan lebih baik daripada 1000 bulan ialah solat dan amalan pada malam lailatul Qadar adalah lebih baik daripada solat dan puasa di bulan yang tidak terdapat lailatul Qadar.

Saya percaya, tidak sedikit juga daripada kita yang tercari-cari tanda malam berkah ini.

Ibnu Hajar Al-Asqalani rahimahullah berkata dalam kitab Fath Al-Bari bahawa memang ada beberapa dalil yang menceritakan mengenai tanda-tanda lailatul qadar tetapi semua itu tidak nampak kecuali setelah malam tersebut berlalu.

Sesetengah riwayat mengatakan bahawa pada malam tersebut tidak panas dan tidak juga dingin manakala matahari pada paginya pula tidak begitu jelas nampak kemerah-merahan.

Malam lailatul Qadar bukan menampakkan dirinya dalam bentuk pokok yang rukuk atau sejadah yang seakan duduk tahiyat seperti yang pernah dimomokkan kepada kita ketika kecil dahulu, tetapi ia menjadi malam yang dimudahkan bagi kita beribadah dengan sebaik-baiknya.

Kata Rasulullah SAW, lailatul Qadar itu adalah malam yang penuh kemudahan dan kebaikan. Maka, kemudahan untuk beribadah itu pun adalah nikmat yang sudah cukup besar jika dapat kita manfaatkan sebaiknya.

Hikmahnya mengapa Allah merahsiakan dan tidak memberitahu secara tepat pada malam apakah malam Al-Qadar ini berlaku, supaya kita tidak sibuk menfokuskan amalan hanya pada malam-malam tertentu sahaja dan mensia-siakan malam yang lain.

Rahmat dan keampunan Allah meliputi setiap malam. Malah apa gunanya jika kita menjumpai tanda tetapi tetap tidak memanfaatkan malam tersebut.

Justeru apa yang kita perlu lakukan sekarang adalah terus memperkuatkan semangat serta kegigihan untuk melakukan amal ibadah dalam hari-hari terakhir Ramadan ini.

Moga-moga kita direzekikan mampu mempersembahkan amal yang paling ikhlas dan sempurna pada malam penuh kemuliaan tersebut. Amin.


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Natirah Azira

Beliau merupakan graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Al-Quran dan Sunnah. Pernah mendalami bidang Psikologi selama dua tahun dan sekarang sedang menyambung pengajian peringkat Ijazah Sarjana dalam bidang Kaunseling di Universiti Sains Malaysia.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami