Ibadah

Tidak Dapat Kelebihan Jumaat Kerana Lalai Sewaktu Khutbah

Oleh Fizah Lee  •  21 Aug 2020  •  3 min baca

Hari Jumaat merupakan penghulu kepada segala hari dan banyak sunnah yang terkandung di dalamnya untuk dilakukan sama ada memperbanyakkan selawat, berzikir dan sebagainya.

Buat umat Islam yang lelaki dan mukallaf, diwajibkan ke atas mereka untuk menunaikan solat Jumaat bagi menggantikan solat Zuhur.

Walaupun sekarang kita masih lagi berada dalam episod COVID-19 dan penetapan solat Jumaat itu adalah bergantung kepada negeri masing-masing bagi mengambil langkah berjaga-jaga, namun buat mereka yang sempat dan tiada keuzuran, adalah digalakkan menunaikannya.

Apabila hadir mendengar khutbah, jemaah diwajibkan diam dan fokus sepenuhnya terhadap penyampaian tersebut.

Hatta, orang yang menyuruh jemaah di sebelahnya untuk diam ketika khutbah itu juga adalah tidak dibenarkan apatah lagi jika melakukan perkara lain.

Daripada Abu Hurairah RA, Nabi SAW bersabda:

Maksud: “Jika kamu berkata kepada sahabatmu pada hari Jumaat “diam” dan ketika itu imam sedang berkhutbah, maka sesungguhnya kamu telah lagha (melakukan perkara yang sia-sia).” (Hadis Riwayat Bukhari, no. 934)

Melalui hadis ini dapat difahami bahawa orang yang tidak fokus sama ada berkata-kata perkara yang berfaedah atau tidak, bemain telefon bimbit, bergelak ketawa dan sebagainya, maka mereka dianggap telah lagha, iaitu lalai.

Apa Maksud Lagha

Apa yang dimaksudkan dengan lalai di sini? Menurut penjelasan daripada jumhur ulama, lalai di sini ialah apabila batalnya fadilat Jumaat yang ada.

Fadilat di sini ialah apabila kelebihannya sudah tidak sama dengan solat Jumaat yang sepatutnya ditunaikan.

Ada sebuah hadis yang menyebut bahawa maksudnya adalah dengan tidak mendapat fadilat dan kelebihan akan solat Jumaat yang dihadiri.

Abu Hurairah RA berkata – “Ketika Rasulullah sedang berkhutbah, Abu Zar bertanya kepada Ubai bin Ka’ab: “Bilakah turunnya surah ini?” Namun, Ubai tidak menjawabnya. Apabila selesai solat, Ubai berkata kepada Abu Zar: “Kamu tidak mendapat apa-apa dari solat kamu hari ini melainkan kamu telah lagha.”

Kemudian, Abu Zar telah bertemu Rasulullah dan menceritakan perihal tersebut, lalu Baginda menjawab: “Benarlah kata-kata Ubai.” (Hadis Riwayat Baihaqi, 3/220)

Ada sebahagian ulama yang lain berpandangan bahawa ganjaran solatnya itu adalah sama sahaja dengan solat biasa, iaitu Solat Zuhur.

Imam Al-Hafiz Ibn Hajar berkata – “Solatnya sah, namun dia terhalang daripada mendapat fadilat Jumaat.”

Dalam hal ini, dapat kita faham bahawa ganjaran dan fadilat solat Jumaat sangatlah besar sehinggakan jika tersilap sedikit, maka akan berbezalah fadilatnya.

Walaupun seseorang itu dianggap sebagai lalai, namun solatnya masih sah. Cuma fadilatnya yang berbeza.

Kesimpulan

Disebabkan itu, jemaah yang hadir untuk solat Jumaat perlulah memberi perhatian dan fokus sepenuhnya akan khutbah yang disampaikan.

Solat Jumaat itu bukan pada solat dua rakaat sahaja, namun ia bermula pada khutbah itu sendiri dan sehingga imam memberi salam.

Jadi, diamlah ketika khutbah disampaikan sama seperti anda khusyuk di dalam solat. Jangan diam disebabkan tertidur pula, itu juga adalah sama dengan lagha.

Baginda SAW bersabda:

Maksud: “Yang menghadiri Jumaat ada tiga kategori manusia. Pertama, lelaki yang hadir dalam keadaan lagha dan itulah bahagiannya dari Jumaat tersebut. Kedua, lelaki yang berdoa, iaitu seorang yang berdoa kepada Allah. Sekiranya Allah mahu, akan Allah berikan dan sekiranya Allah mahu juga akan Allah halang pemberian itu. Ketiga, lelaki yang hadir dengan diam dan senyap serta dia tidak melangkah bahu-bahu orang Islam (jemaah lain) dan tidak menyakiti seorang pun, maka ia adalah kaffarah (penghapus dosa) kepada Jumaat yang berikutnya serta penambahan tiga hari lagi kerana Allah berfirman (mafhum): “Sesiapa yang melakukan suatu kebaikan, maka buatnya sepuluh ganjaran sepertinya).” (Hadis Riwayat Abu Daud, no. 1113)

Rujukan:
Mufti Wilayah


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Fizah Lee

Merupakan seorang graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Bahasa Melayu untuk Komunikasi Antarabangsa. Seorang yang suka membaca bahan bacaan dalam bidang sejarah dan motivasi

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami