Tokoh

Thalhah Bin Ubaidillah : Syahid Yang Berjalan Di Atas Bumi

Oleh Rasyidah Rahmat  •  11 Jan 2019  •  4 min baca

Sabda Rasulullah S.A.W;

“Siapakah yang ingin melihat orang berjalan di muka bumi setelah mengalami kematiannya, maka lihatlah Thalhah”

Sejak saat itu bila orang membicarakan perang Uhud di hadapan Abu Bakar, maka beliau selalu menyahut,

“Perang hari itu adalah peperangan Thalhah seluruhnya. Hingga akhir hayatnya, perjuangan sahabat mulia itu tak kenal henti. Sebuah sejarah besar diukir, sejarah itu bernama Thalhah bin Ubaidillah.”

Thalhah Seorang Saudagar

Nama lengkapnya adalah Thalhah bin Ubaidillah bin Utsman bin Amru bin Ka’ab bin Sa’ad bin Taim bin Murrah bin Ka’ab bin Lu’ai. Ibunya bernama Ash-Sha’bah binti Abdullah bin Abbad bin Malik, saudara perempuan Al-‘Ala’ binti Al-Hadrami.

Thalhah seorang pemuda Quraisy yang merupakan seorang saudagar. Meski masih muda, Thalhah mempunyai kemahiran dalam perniagaan.

Kepakarannya dalam bidang perniagaan sehingga dapat mengalahkan pedagang-pedagang lain yang lebih tua.

Islamnya Thalhah Bin Ubaidilah

Thalhah bin Ubaidillah bercerita tentang pertemuannya dengan pendeta Bushra. Abu Bakar As Siddiq tercengang lalu Abu Bakar As Siddiq mengajak Thalhah bin Ubaidillah untuk menemui Nabi Muhammad S.A.W.

Thalhah telah menceritakan peristiwa yang dialaminya dengan pendeta Bushra. Di hadapan Rasulullah S.A.W, Thalhah mengucapkan dua kalimah syahadah.

Diseksa Kerana Islam

Bagi keluarganya, keislaman Thalhah bin Ubaidillah bagaikan sesuatu yang amat mengejutkan.

Keluarganya dan suku kaumnya berusaha mengeluarkannya dari Islam. Thalhah dipujuk rayu, namun kerana pendirian Thalhah sangat teguh mereka akhirnya bertindak kasar.

Seksaan demi seksaan mulai mendera tubuh anak muda yang santun ini. Sekelompok pemuda menggiringnya dengan tangan terbelenggu di lehernya, memukuli kepalanya, dan ada seorang wanita tua yang terus berteriak mencaci maki Thalhah.

Wanita itu ialah ibunya, Sha’bah binti Hadramy, saudara dari seorang sahabat Rasulullah S.A.W, Ala’ bin Hadramy. Walau disakiti dan dimalukan oleh orang yang sangat dicintai dan dihormatinya.

Namun, Allah S.W.T dan Rasulullah S.A.W lebih dicintainya daripada ibu dan ahli keluarganya yang lain.

Setelah keislamannya diketahui oleh orang-orang Quraisy, Nufail bin Khuwailid, salah seorang pembesar yang terkenal dengan sebutan ‘Singa Quraisy’ mencari dirinya.

Mereka bertemu Thalhah sedang berjalan dengan Abu Bakar dan kedua-duanya ditangkap dan diseksa. Mereka berdua diikat dengan satu tambang kemudian diancam.

Tetapi mereka tidak berani bertindak terlalu keras dan kejam kerana khawatir dengan pembalasan dari kabilah Abu Bakar dan Thalhah.

Setelah pelbagai ancaman dilakukan namun tidak juga berhasil, akhirnya mereka melepaskannya kembali. Daripada peristiwa ini, Abu Bakar dan Thalhah disebut sebagai ‘Al Qarinain’, artinya dua setangkai.

Thalhah bin Ubaidillah termasuk dalam as sabiqunal awwalin (golongan yang terawal memeluk Islam), Thalhah juga salah satu daripada 10 orang sahabat yang memperoleh berita gembira iaitu golongan masuk ke syurga.

Sembilan lainnya adalah empat Khulafa Rasyidin, Abdurrahman bin Auf, Sa’d bin Abi Waqqash, Sa’id bin Zaid, Zubair bin Awwam dan Abu Ubaidah bin Jarrah.

Gelaran Thalhah Dalam Perang Uhud

Julukan Assyahidul Hayy atau syahid yang hidup diperoleh Thalhah dalam peperangan Uhud. Saat itu barisan kaum Muslimin terpecah belah dari sisi Rasulullah S.A.W. Baginda bersabda;

“Siapakah berani melawan mereka, dia akan menjadi temanku kelak di syurga,”
Talhah bin Ubaidillah segera menyahut;

“Aku wahai Rasulullah,”

Rasulullah berkata;

“Tidak, jangan engkau, kau harus berada di tempatmu.”

Berkata seorang tentera Ansar;

“Aku wahai Rasulullah”

Rasulullah S.A.W menjawab;

“Ya, majulah”

Lalu tentera Ansar itu maju melawan tentera musyrikin. Rasulullah S.A.W kembali meminta para sahabat untuk melawan orang-orang kafir dan Thalhah bin Ubaidillah sentiasa mengajukan diri pertama kali.

Namun, sentiasa ditahan oleh Rasulullah dan diperintahkan untuk tetap ditempat sehingga 11 tentera Ansar gugur menemui syahid dan tinggallah Thalhah Bin Ubaidillah sendirian bersama Rasulullah S.A.W. Saat itu Rasulullah S.A.W berkata kepada Thalhah;

”Sekarang engkau, wahai Thalhah.”

Thalhah dengan semangat jihad yang berkobar-kobar menghadapi musuh dan menghalang agar jangan menghampiri Rasulullah.

Lalu Thalhah berusaha membawa Rasulullah sendiri ke bukit, kemudian kembali menyerang hingga ramai tentera musyrikin yang tewas.

Saat itu Abu Bakar dan Abu Ubaidah bin Jarrah yang berada agak jauh dari Rasulullah telah mendekati Rasulullah. Baginda menyeru;

“Tinggalkan aku, bantulah Thalhah, sahabat kalian”

Keduanya bergegas mencari Thalhah bin Ubaidillah. Ketika ditemukan dia dalam keadaan tidak sedarkan diri, tubuhnya berlumuran darah.

Tidak kurang 79 luka bekas tebasan pedang, tusukan lembing dan lemparan panah memenuhi tubuhnya dan jari tangannya putus.

Mereka beranggapan bahawa Thalhah sudah gugur, ternyata sebenarnya Thalhah masih hidup. Oleh sebab itulah gelaran syahid yang hidup diberikan oleh Rasulullah S.A.W. Sabda Rasulullah S.A.W;

“Siapa yang ingin melihat orang berjalan di muka bumi setelah mengalami kematiannya, maka lihatlah Thalhah”

Sejak itu apabila orang membicarakan mengenai peperangan Uhud di hadapan Abu Bakar As Siddiq, maka beliau selalu menyahut;

“Perang hari itu adalah peperangan Thalhah seluruhnya hingga akhir hayatnya.”

Subhanallah!

Rujukan;
Kisah Thalhah Bin Ubaidilah


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Rasyidah Rahmat

Suka mencuba perkara baru dan sangat meminati bidang penulisan dan membaca buku dalam semua genre. Karya pertama yang diterbitkan iaitu dalam siri antologi cerpen Negeri Terengganu. Merupakan mahasiswa tahun akhir sarjana muda syariah di UIN STS Jambi, Indonesia.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami