Gaya Hidup, Inspirasi

Tertekan Akibat COVID-19? Ini Tips Menguruskannya Melalui Al-Quran

Oleh Adnin Razak  •  22 Nov 2020  •  7 min baca

Pandemik COVID-19 yang melanda sedikit sebanyak membataskan segala pergerakan dan rutin yang perlu dilakukan.

Namun, di sebalik Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang dijangka diteruskan sehingga 31 Disember ini, sebenarnya keterbatasan itu boleh dimanfaatkan untuk hal-hal kebaikan.

Sama ada kita sedang berada dalam pematuhan PKPB mahupun PKPP, namun ia tidak memungkinkan kita untuk berhenti daripada melakukan perkara kebaikan. Bahkan, masa inilah yang sesuai untuk kita belajar berbuat sesuatu yang baharu dalam norma baharu ini.

Benar, sebagai manusia, situasi wabak yang belum berakhir ini sedikit sebanyak membuatkan kita rasa lemah, tidak berdaya mahupun mengeluh tanpa sengaja. Inilah ujian yang perlu kita tempuh.

Namun, pernahkah anda mendengar istilah – “Kita bantu orang, Allah bantu kita”?

Menurut perkongsian oleh pakar psikiatri, Dr. Rozanizam Zakaria, sebenarnya ‘tekanan’ yang dihadapi ramai orang ketika musim wabak ini boleh dilenturkan melalui kerja-kerja kebajikan.

Memetik Surah Al-Ma’arij ayat ke-19, Allah berfirman dengan mafhum;

“Sesungguhnya manusia itu dijadikan bertabiat resah gelisah (lagi bakhil kedekut).”

Merenung situasi hari ini, ramai antara kita yang sudah mengeluh kerana mengalami tekanan hidup akibat COVID-19.

Ekonomi lumpuh, pengajian tergendala, pergerakan terkawal, aktiviti-aktiviti dihadkan serta limitasi dalam menjalankan sebarang urusan adalah antara punca tekanan.

Dalam masa sama, boleh dikatakan hampir segala-galanya berubah dan kita perlu hidup dalam norma baharu dalam usaha bersama memutuskan rantaian jangkitan.

Namun, tahukah anda sebenarnya sifat mengeluh dan stress ini dapat ‘diselesaikan’ melalui beberapa cara yang membawa kepada kebaikan diri.

Allah menjawab lagi menerusi surah ini yang berbunyi:

Mafhum: “Kecuali orang-orang yang mengerjakan sembahyang.  Iaitu mereka yang tetap mengerjakan sembahyangnya. Dan mereka (yang menentukan bahagian) pada harta-hartanya, menjadi hak yang termaklum. Bagi orang miskin yang meminta dan orang miskin yang menahan diri (daripada meminta). Dan mereka yang percayakan hari pembalasan (dengan mengerjakan amal-amal yang soleh sebagai buktinya). Dan mereka yang cemas takut daripada ditimpa azab Tuhannya.” (Surah Al-Ma’rij, 70:22-27)

Bagaimana Untuk Keluar Dari Tekanan

Berbalik kepada isu tekanan yang wujud, salah satu solusi yang Allah nyatakan untuk kita ‘keluar’ daripadanya adalah dengan menginfakkan harta (atau kemampuan) kepada mereka yang memerlukan.

Secara umumnya, kebaikan yang boleh kita sumbangkan kepada manusia lain lebih-lebih lagi ketika waktu pandemik ini adalah melalui kerja-kerja kesukarelawanan.

Kesukarelawanan itu sendiri membawa maksud yang besar; sama ada sukarela menyalur bakti melalui tenaga, harta, masa, ilmu dan sebagainya.

Seperti yang kita lihat sebelum ini, ramai pihak sudi tampil menginfakkan bakti mereka buat petugas-petugas barisan hadapan dalam usaha memerangi penularan COVID-19.

Ada yang sukarela menyumbang wang ringgit, ada yang menyumbang berdasarkan kemahiran tertentu seperti menjahit alat perlindungan diri (PPE), memasak untuk kakitangan hospital, sukarela menjalankan kerja-kerja sanitasi awam dan sebagainya.

Walaupun berbeza cara, namun tujuannya tetap sama; memberi manfaat untuk pihak yang memerlukan, selain turut mempermudahkan urusan mereka.

Adakah kita sedar bahawa setiap sumbangan yang disalurkan itu, hakikatnya bukan sahaja untuk mereka, tetapi untuk diri kita sendiri?

Dr. Rozanizam menjelaskan perihal ini dengan menyatakan firman Allah dalam Surah Al-Isra’ yang bermafhum:

Mafhum: “Jika kamu berbuat kebaikan, (maka faedah) kebaikan yang kamu lakukan adalah untuk diri kamu; dan jika kamu berbuat kejahatan, maka (kesannya yang buruk) berbalik kepada diri kamu juga.” (Surah Al-Isra, 17:7)

Rasulullah SAW juga menyebut mengenai manfaat membantu orang lain adalah dengan membantu diri sendiri, melalui hadisnya daripada ‘Abdullah bin ‘Umar RA menceritakan bahawa Rasulullah SAW bersabda: 

Maksud: “Seorang Muslim adalah saudara terhadap Muslim (yang lain), dia tidak boleh menganiaya dan tidak akan dianiaya oleh orang lain. Sesiapa yang melaksanakan hajat saudaranya, maka Allah SWT akan melaksanakan hajatnya. Sesiapa yang melapangkan kesusahan seseorang Muslim, maka Allah SWT akan melapangkan kesukarannya pada hari kiamat. Sesiapa yang menutupi aib seseorang Muslim, maka Allah SWT akan menutup aibnya pada hari kiamat.” (Hadith Riwayat Bukhari, No.2442)

Jika difahami konteks nas Quran dan hadis di atas ini, terbukti bahawa Allah dan kekasihNya, Rasulullah SAW amat menggalakkan kita untuk berusaha mempermudahkan urusan orang lain. Dengan itu, urusan kita juga akan dipermudahkan Allah.

Selain itu, bakti-bakti yang disumbangkan itu juga boleh mengurangkan kadar tekanan yang dialami. Bagaimana pula begitu?

Jika kita lihat secara fitrahnya, siapa yang tidak berasa gembira setelah berjaya membantu orang lain keluar dari masalah?

Walaupun sekadar ucapan terima kasih yang diterima, itu sahaja sudah cukup buat kita tersenyum kepuasan kerana berasakan diri kita berjaya menjadi ‘hero’ untuk mereka. 

Bukankah itu juga satu kebahagiaan? Bukankah bahagia itu boleh melenyapkan rasa sedih?

Barangkali ini bertepatan dengan konsep yang biasa kita dengar. Apabila kita beri kepada orang satu kebaikan, Allah akan gantikan dengan 10 kebaikan, termasuklah rasa bahagia kerana hilangnya tekanan.

Mangsa Kesihatan Mental Yang Terjejas

Tahukah anda, sejak Mac hingga Oktober baru-baru ini, Talian Sokongan Psikososial Kementerian Kesihatan (KKM) telah menerima lebih 35,000 panggilan telefon daripada individu-individu yang terkesan dengan masalah kesihatan mental.

Antara yang mencatatkan jumlah panggilan tertinggi adalah daripada mereka yang mengalami masalah tekanan perasaan, kegelisahan dan kemurungan. 

Semua ini dipercayai adalah impak bahaya kegagalan institusi keluarga dalam menguruskan konflik rumah tangga.

Stres yang dialami akibat kehilangan sumber pendapatan, perniagaan merosot, dibuang kerja, gaji tidak dibayar dan sebagainya menambahkan lagi ‘rencah’ dalam konflik tersebut.

Justeru, peranan kita sebagai sukarelawan di lapangan adalah amat penting dalam membantu mengurangkan kadar panggilan telefon berkenaan, agar ia tidak meningkat lagi pada masa akan datang.

Mungkin ada yang belum jelas, sebenarnya membantu manusia melalui pendekatan psikologi dan kesihatan mental juga boleh dipraktikkan atas nama sukarelawan. 

Ilmu, kemahiran dan pemahaman tentang psikologi itu sendiri amat diperlukan bagi mereka yang terjejas.

Sama ada secara lisan, bertulis mahupun visual, hakikatnya kita mampu membantu mereka dengan mudah hatta sekadar menggunakan medium media sosial sahaja. 

Sebarkan aura positif kepada mereka; setiap orang masih mempunyai hari esok dan kita akan bersama-sama mengharunginya.Kita semua masih ada Tuhan.

Apa Impak Sukarelawan Kepada Kesihatan

Apakah pula hubung kaitnya menyumbang kebaikan secara sukarela dengan kesihatan diri?

Tahukah anda, kajian yang dibuat di England seperti yang ditulis McMunn, individu yang mempunyai keadaan kesihatan yang tidak baik, menghidapi sakit kronik dan tidak berdaya lebih cenderung untuk menjadi sukarelawan berbanding individu yang sihat.

Sebab utama mengapa kesukarelawanan menjadi pilihan adalah kerana seseorang itu mahu menjadi altrustic, iaitu tidak mementingkan diri. Mereka mahu berikan semula sesuatu kepada masyarakat atau organisasi yang telah membantu mereka sebelum itu.

Berdasarkan jurnal BMC Public Health, kesukarelawanan mampu membantu memanjangkan jangka hayat umur, selain turut dapat memberi kesihatan yang baik kepada diri sendiri.

Ia juga berupaya meningkatkan lagi kualiti kehidupan seharian, hubungan interaksi semasa manusia dan juga keyakinan diri. Dalam masa sama, ia turut boleh mengurangkan kadar kemurungan, tekanan, sakit tubuh badan mahupun masalah kesihatan mental.

Jika buat carian di mana-mana jurnal akademik di Google, pasti kita akan jumpa lebih banyak lagi manfaat kesukarelawanan terhadap kesihatan.

Kesimpulan

Begitulah seperti yang disarankan, dengan kesihatan dan kemampuan yang kita miliki, seharusnya salurkanlah seadanya kepada mereka yang memerlukan.

Tidak semestinya menjadi sukarelawan dengan hanya turun padang dan membantu mereka di kawasan yang terjejas. Sebaliknya, sambil-sambil anda menatal media sosial, anda juga boleh melakukannya dengan terus menyebarkan aura positif.

Atau gunakan kemahiran mahupun harta yang ada untuk membantu mereka. Itu semua bergantung kepada kemampuan anda. Jangan pula tugas membantu mereka membebankan anda kerana dilakukan di luar kemampuan.

Allah mencipta dunia ini dengan ciptaan yang bervariasi dan saling memerlukan. Tinggal kita sahaja untuk memilih, bagaimana memanfaatkan segala anugerahNya ke arah yang lebih baik atas nama kemanusiaan.

Kita jaga kita, Allah jaga kita.

Rujukan:
Dr. Rozanizam Zakaria – Rahsia Mengawal Stress Menurut Surah Al-Ma’arij
Strategi 1, Pandemik COVID-19 & Kesihatan Awam, Belanjawan 2021
Tanggungjawab Sesama Muslim – JAKIM
BMC Public Health


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Adnin Razak

Seorang penulis jalanan. Suka mengekspresi emosi melalui aksara dan papan kekunci.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami