Ibadah

Tanda Amalan Pada Bulan Ramadan Diterima

Oleh Natirah Azira  •  27 May 2020  •  3 min baca

Alhamdulillah, Ramadan sudah selamat ditempuhi dan kini kita sedang melewati pula bulan istimewa Syawal.

Ucapkanlah syukur kerana Allah telah memudahkan kita menjalaninya dengan penuh sabar sekalipun dalam kekangan pergerakan, kekangan keinginan untuk membeli, kekangan untuk beribadah di masjid dan bermacam-macam lagi sepanjang tempoh negara berperang dengan ancaman pandemik Covid-19.

“Alhamdulillah ‘ala kulli hal”

Alhamdulillah untuk segalanya.

Namun setelah pelbagai amal ketaatan diusahakan sepanjang Ramadan, adakah ia terhenti selepas kita memasuki Syawal? Aduhai sayang jika begitu. Harapnya kita masih direzekikan istiqamah untuk terus melakukan amal ibadah dan menjadikan ia sebagai rutin biasa sehari-hari.

Antara tanda tanya yang kerap dilontarkan oleh ramai orang selepas Ramadan ialah – bagaimana untuk mengetahui sama ada amalan Ramadan diterima? Menurut para ulama, ada beberapa perkara yang menjadi tanda amalan diterima.

#1- Menjadi Lebih Baik Daripada Sebelumnya

Syaikh Shalih Al-Fauzan hafidzahullah berkata,

إن من علامة قبول شهر رمضان أن تكون حال المسلم بعده أحسن من حاله قبل رمضان لأن الحسنة تدعو إلى الحسنة، والعمل الصالح يدعو إلى العمل الصالح

“Diantara tanda diterimanya amal soleh di bulan Ramadan adalah keadaan seorang muslim setelahnya menjadi lebih baik daripada sebelum Ramadan, kerana kebaikan akan mengajak kepada kebaikan (selanjutnya) dan amal soleh akan mengajak pada amal soleh lainnya.”

Dapat difahami bahawa ‘lebih baik’ di sini boleh diertikan dengan pelbagai perkara yang dikira soleh dan baik di sisi Islam. Contohnya, jika dia selama ini tidak suka bersedekah atau kedekut, dia menjadi lebih pemurah selepas Ramadan.

Jika sebelum ini dia seorang yang tidak menjaga kata-kata, kerap bercakap kasar atau mengadukan keburukan orang, maka dia jadi lebih berhati-hati kerana telah memahami berat tanggungan dosa lisan. Jika selama ini dia kurang menjaga solat, bangun lewat untuk Solat Subuh, maka kini dia lebih awal menunaikannya dan begitulah seterusnya.

#2- Berpuasa 6 Hari Di Bulan Syawal

Tanda yang lain pula adalah melakukan puasa sunat enam hari di bulan Syawal. Jangan tak tahu, bukan Ramadan sahaja yang ada tawaran ganjaran berganda. Umat Islam sangat dianjurkan berpuasa enam hari pula di bulan Syawal kerana ia umpama seseorang itu berpuasa selama setahun!

Daripada Abu Ayub al-Ansari RA yang mana Rasulullah SAW telah bersabda:

مَنْ صَامَ رَمَضَانَ ثُمَّ أَتْبَعَهُ سِتًّا مِنْ شَوَّالٍ كَانَ كَصِيَامِ الدَّهْرِ

Maksudnya: “Barangsiapa yang berpuasa di bulan Ramadhan kemudian diikuti dengan enam hari di bulan Syawal, ianya bersamaan dengan berpuasa sepanjang tahun” (Riwayat Muslim, no. 1164)

Ibnu Rajab Al-Hambali rahimahullah pula mengulas bahawa kembali melakukan puasa setelah puasa Ramadan merupakan tanda diterimanya amalan puasa Ramadan. Hal ini kerana, jika Allah menerima amalan seseorang hamba, Allah akan memberi taufik untuk dia melakukan amal soleh selepas itu.

#3- Berterusan Melakukan Kebaikan

Para ulama juga mengatakan bahawa “balasan dari kebaikan adalah kebaikan selanjutnya”. Allah memudahkannya melakukan kebaikan yang seterusnya, lagi dan lagi sehingga dia mencapai kemanisan dalam beribadah kepada Allah.

Ibnu Rejab mengulas lagi,

“…siapa yang melakukan kebaikan lantas diikuti dengan kebaikan selanjutnya, maka itu tanda amalan kebaikan yang pertama diterima. Sedangkan yang melakukan kebaikan lantas setelahnya malah ada keburukan, maka itu tanda tertolaknya kebaikan tersebut dan tanda tidak diterimanya.” (Lathaif Al-Ma’arif, hlm. 388)

Kesimpulan

Seorang mukmin itu, kebaikannya tidak mengikut musim atau suasana. Dia terus-terusan melakukan amal ibadah sekalipun Ramadan telah berlalu. Ramadan datang untuk menghidupkan rasa beribadah dalam diri, dan diteruskan pula dengan semangat serta keinginan yang tinggi untuk terus menghidupkan Ramadan di hati.


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Natirah Azira

Beliau merupakan graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Al-Quran dan Sunnah. Pernah mendalami bidang Psikologi selama dua tahun dan sekarang sedang menyambung pengajian peringkat Ijazah Sarjana dalam bidang Kaunseling di Universiti Sains Malaysia.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami