Tokoh

Syed Qutb, Pejuang Yang Syahid Di Tali Gantung

Oleh Rabiatul Adaweeyah  •  20 Mar 2017  •  3 min baca

Syed Qutb atau Sayyid Qutb Ibrahim Husain Syadzili dilahirkan pada 9 Oktober 1906 di kota Asyut, Mesir. Beliau merupakan anak sulung dari lima adik beradik; dua laki-laki dan tiga perempuan. Dari kecil beliau diberi pendidikan agama yang sempurna oleh kedua-dua ibunya sehinggakan beliau bercita-cita untuk menjadi seorang qari.

Dari kecil juga Syed Qutb suka menghafaz, gemar mendengar bacaan al-Quran, membaca dan seorang yang bijak. Beliau juga mula menghafaz al-Quran sejak berumur 10 tahun.

Kebijaksanaannya itu melayakkan beliau memasuki Kuliah Darul ‘Ulum. Setelah menamatkan pengajiannya, beliau menceburkan diri dalam bidang perguruan.

Syed Qutb juga sangat cemerlang dan berpengaruh dalam bidang penulisan dan menulis banyak jenis buku, majalah dan akhbar sehingga diberi jawatan di bahagian Pentadbiran Kementerian Pelajaran di Kaherah.

Ketika berusia 40 tahun beliau telah menghasilkan hampir 30 buah buku dalam bidang penulisan sastera Islam. Pada tahun 1948, beliau dihantar ke Amerika dan menetap di sana selama dua tahun.

Suatu hari Syed Qutb dimasukkan hospital kerana tidak sihat, sebaik saja tersedar, beliau melihat ramai penduduk Amerika dalam hospital itu sedang seronok berpesta.
“Di Mesir, seorang terroris Islam bernama Hassan al-Banna telah ditembak mati. Kami sangat gembira dan meraikannya dengan pesta ini!”

Syed Qutb mula berfikir jika orang-orang Amerika sangat gembira dengan kematian Hassan al-Banna sudah pasti lelaki itu adalah seorang yang luar biasa hebatnya. Mulalah Syed Qutb mengkaji gerangan Hassan al-Banna dan perjuangannya.

Sekembalinya ke Mesir, beliau memutuskan untuk meninggalkan dunia sastera dan menumpukan hidupnya kepada pejuangan penulisan Islam dan menyertai Ikhwanul Muslimin pada Julai 1954.

Beliau berjaya melahirkan karya-karya agung yang masih dirujuk sehingga kini seperti Tafsir Fi Zilalil Quran hingga lengkap 30 juzuk. Ini menjadikan Syed Qutb sebagai seorang sasterawan, ahli tafsir sekaligus pemikir dari Mesir.

Tidak lama kemudian, Syed Qutb ditahan oleh tentera Gamal Abdul Naseer lantaran penulisannya yang tajam dan keberaniannya mengkritik pimpinan Mesir ketika itu. Syed Qutb juga mengkritik perjanjian yang wujud antara pemerintahan Mesir dan negara-negara Inggeris.

Syed Qutb ditahan dan dipenjara dengan alasan merancang untuk menggulingkan pemerintahan ketika itu. Tiga bulan kemudian, hukuman yang lebih berat diterimanya, iaitu hukuman kerja berat selama 15 tahun, selain berpindah-pindah penjara. Manakala dua sahabat seperjuangannya telah dihukum mati.

Pada tahun 1964, Presiden Iraq Abdul Salam Arief yang melawat ke Mesir dan meminta kerajaan Mesir membebaskan Syed Qutb tanpa tuntutan. Ternyata kebebasan itu hanya sekejap kerana setahun kemudian beliau kembali ditahan tanpa alasan yang jelas.

Syed Qutb ditangkap bersama tiga orang saudaranya, Muhammad Qutb, Hamidah dan Aminah, termasuk 20,000 rakyat Mesir yang dituduh membuat gerakan mengguling dan membunuh Presiden Naseer.

Tanggal 13 Jamadil Awal 1386H bersamaan 29 Ogos 1966, hari Isnin dan waktu fajar, Syed Qutb dijatuhi hukuman gantung setelah dituduh bersalah oleh ‘Mahkamah Tentera’. Mahkamah dari kerajaan revolusi ini sememangnya telah mengorbankan banyak orang-orang yang tak berdosa.

Walaupun terdapat banyak bantahan agar membatalkan hukuman tersebut, seperti rayuan Raja Saudi ketika itu Raja Faisal Ibn Abdul Aziz, namun Mesir tetap teguh dengan keputusan mereka tanpa menghiraukan bantahan dunia Islam yang akan memberi apa-apa sahaja yang dikehendaki Mesir sekiranya membebaskan Syed Qutb.

Sebelum beliau syahid, Syed Qutb sempat menulis coretan pendek yang kemudiaannya menjadi tajuk buku;

‘Mengapa saya dihukum mati’.

Dan pertanyaan yang tak pernah mampu dijawab oleh pemerintahan Mesir.

Sesungguhnya sesuatu cabaran hanya diturunkan kepada golongan yang mampu dan layak. Semoga perjuangan dan susah payah beliau diikuti dan dimanfaatkan oleh masyarakat Islam hari ini agar berbaloi dengan pengorbanan beliau. Al-Fatihah untuk as-syahid.


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Rabiatul Adaweeyah

Rabiatul Adaweeyah

Berkelulusan Ijazah Sarjana Muda dari Universiti Malaya dalam Pengkhususan Pengajian Media Dan Sejarah. Sekarang bertugas sebagai Editor di sebuah syarikat penerbitan buku.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami