Gaya Hidup

Solat Sunat Musafir – Sebelum Atau Selepas Perjalanan

Oleh Natirah Azira  •  10 Sep 2020  •  3 min baca

Terdapat banyak sunnah yang boleh diamalkan bagi seseorang yang bermusafir atau ingin melakukan perjalanan ke suatu tempat. Antaranya adalah mendirikan solat secara jamak dan qasar, memperbanyakkan doa kerana ia adalah waktu mustajab, manakala bagi yang berpuasa pula mereka dibenarkan untuk berbuka.

Namun pernahkah anda mendengar anjuran untuk melakukan solat sunat Musafir? Adakah ia dilakukan sebelum atau selepas perjalanan? Sebenarnya kedua-duanya boleh dilakukan, sama ada ingin menunaikan solat sunat Musafir sebelum perjalanan atau selepas tiba di suatu tempat.

Walau bagaimanapun, ramai yang menyertakan dalil di bawah sebagai rujukan, sedangkan ia adalah hadis yang dinilai dhaif oleh Imam Al-Albani.

ما خلف أحد على أهله أفضل من ركعتين يركعهما عندهم حين يريد السفر

“Tiada seorang hamba meninggalkan atas keluarganya sesuatu yang lebih utama daripada melakukan rukuk (solat) dua rakaat di sisi keluarganya ketika dia hendak bermusafir” (Disemak di laman hdith.com)

Hadis yang benar yang boleh dirujuk berkenaan amalan ini adalah seperti berikut:

Daripada Abu Hurairah RA, Nabi SAW bersabda,

إِذَا خَرَجْتَ مِنْ مَنْزِلِكَ فَصَلِّ رَكْعَتَيْنِ يَمْنَعَانِكَ مِنْ مَخْرَجِ السُّوْءِ

وَإِذَا دَخَلْتَ إِلَى مَنْزِلِكَ فَصَلِّ رَكْعَتَيْنِ يَمْنَعَانِكَ مِنْ مَدْخَلِ السُّوْءِ

 “Jika kamu keluar dari rumahmu, maka lakukanlah solat dua rakaat yang dengan ini akan menghalangimu dari keburukan yang berada di luar rumah. Jika kamu memasuki rumahmu maka lakukanlah solat dua rakaat yang akan menghalangimu dari keburukan yang masuk ke dalam rumah.” (Kitab Al-Silsilah As-Sohihah, no. 1323 – Dinilai sahih oleh Al-Albani)

Solat sunat ini dilakukan bagi memohon perlindungan kepada Allah daripada sebarang keburukan ketika berada di luar rumah.

Manakala solat sunat selepas tiba ke destinasi pula dilakukan bertujuan untuk menzahirkan rasa syukur setelah Allah mempermudahkan perjalanan dan menjaga kita dalam keselamatan.

“Kami bersama-sama Rasulullah SAW dalam perjalanan (musafir).Maka apabila kami tiba di Madinah , Rasulullah SAW telah berkata kepada saya , Masuklah ke masjid dan solatlah 2 rakaat.” (HR Bukhari, no. 3087 & HR. Muslim, no. 495 – Muttafaqun ‘alaih)

Cara untuk melakukan solat sunat musafir ini sama sahaja seperti solat sunat yang lain. Caranya adalah seperti berikut:

1. Mula dengan lafaz takbiratulihram dan niat.

Lafaz niat:

أُصَلِّي سُنَّةً السَّفَرِ رَكْعَتَيْنِ لِلَّهِ تَعَالَى

(Usolli sunnatas-safari, rok’ataini lillahi Taala)

2. Meneruskan dengan doa iftitah dan bacaan Al-Fatihah seperti solat biasa.

3. Membaca Surah Al-Kafirun atau surah-surah lain daripada Al-Quran

4. Meneruskan rukuk, sujud dan seterusnya.

5. Membaca Al-Fatihah, kemudian Surah Al-Ikhlas (atau surah lain) pada rakaat kedua.

6. Teruskan sehingga selesai solat.

7. Memberi salam.

Kemudian anda boleh membaca apa jua doa bagi memohon keselamatan perjalanan yang ingin dilakukan. Manakala bagi solat yang ingin didirikan setelah sampai di suatu tempat, anda boleh membaca doa di bawah:

آيِبُونَ تَائِبُونَ عَابِدُونَ لِرَبِّنَا حَامِدُونَ

Maksudnya: “Kami kembali dengan bertaubat, tetap beribadah dan selalu memuji Tuhan kami.” (Riwayat Muslim, no.1345 – Hadis ini diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari di dalam bab doa apabila seseorang itu ingin bermusafir atau pulang)

Anas bin Malik RA berkata bahawa ketika dia pulang bersama Nabi SAW, Abu Talhah, serta Safiyyah dan menghampiri Kota Madinah, Nabi SAW membaca doa tersebut sehinggalah tiba.

Rujukan:

  1. Mufti Wilayah Persekutuan
  2. Hdith.com

Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Natirah Azira

Beliau merupakan graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Al-Quran dan Sunnah. Pernah mendalami bidang Psikologi selama dua tahun dan sekarang sedang menyambung pengajian peringkat Ijazah Sarjana dalam bidang Kaunseling di Universiti Sains Malaysia.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami