Inspirasi

Siapakah Yang Paling Berat Ujiannya

Oleh Fizah Lee  •  8 Sep 2020  •  3 min baca

Kita sering dengar Allah sentiasa menguji hamba-hambaNya berdasarkan batas dan kemampuan seseorang.

Namun, batas yang macam mana yang sesuai dengan kemampuan diri kita dan macam mana kita boleh mengetahui ujian itu sesuai dengan kemampuan diri kita sendiri?

Dalam hal ini, kita perlu memahami bahawa ujian itu adalah salah satu bentuk cubaan yang akan dilalui oleh setiap anak Adam di muka bumi ini.

Kenapa Allah lemparkan ujian? Salah satu sebabnya adalah untuk mendekatkan diri kita kepada Allah.

Mafhum: “Dialah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) – untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu; siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya.” (Surah Al-Mulk, 67:2)

Kita hidup di muka bumi ini percuma; oksigen yang tidak perlu dibayar mahupun tiada yuran untuk lahir ke muka bumi ini.

Jadi , itu semua diganti dengan ujian Allah pada hamba-hambaNya. Ujian ini mudah mengikut tahap kemampuan kita. Bahkan, kita tahu bahawa kemampuan di sini juga membawa maksud tahap iman sendiri.

Syeikh Islam Ibn Taimiyah berkata – “Cubaan yang semakin berat akan sentiasa menimpa seorang mukmin yang soleh untuk meninggikan darjatnya dan agar ia semakin mendapatkan ganjaran yang besar.” (Al-Istiqamah, 2/260)

Bagaimana Ujian Para Nabi

Selalu kita dengar tatkala ditimpa masalah, akan ada bunyi-bunyi yang menyebut – “Alaa, rilekslah. Ujian kau baru sikit. Bayangkan macam mana nabi dulu-dulu diuji.”

Perkara ini kadang-kadang jika salah diungkapkan pada masanya, boleh menyebabkan seseorang itu merasa tidak wajar ia dinyatakan demikian.

Iman kita bukanlah seperti iman para nabi yang sentiasa teguh di jalan Allah dan yang hatinya sentiasa mencintai Allah.

Memang, nabi itu adalah manusia biasa sama seperti kita, namun darjat mereka adalah tinggi di sisi Allah dan disebabkan itu dugaan yang mereka lalui sangatlah berat yang tidak dapat dibandingkan dengan kita.

Tetapi, itu tidak menjadikan kita manusia lemah kerana Allah tetap akan menguji kita berdasarkan kemampuan diri kita.

Dan dengan itu, kita boleh memilih untuk menjadi kuat seumpama kuatnya para nabi agar kita sentiasa ingat bahawa ujian yang kita lalui hari ini hanyalah sedikit dibandingkan dengan perjuangan para nabi.

Dari Mush’ab bin Sa’id, seorang tabi’in, dari ayahnya, ia berkata:

Maksud: “Wahai Rasulullah, manusia manakah yang paling berat ujiannya? Baginda SAW bersabda: “Para nabi, kemudian yang semisal dengannya. Seseorang akan diuji sesuai dengan keadaan agamanya. Apabila agamanya bergitu kuat (kukuh), maka semakin berat pula ujiannya. Apabila agamanya lemah, maka ia akan diuji sesuai dengan kualiti agamanya. Seorang hamba akan sentiasa mendapatkan cubaan sehingga dia berjalan di muka bumi dalam keadaan bersih dari dosa.” (Hadis Riwayat Tirmizi, no. 2398. Syeikh Al-Albani menukilkan ia sahih)

Kesimpulan

Setiap dari manusia akan diuji, itu pasti. Namun, hasil daripada ujian itu adalah yang semakin mendekatkan diri kita kepada Allah atau yang semakin menjauhkan.

Itulah yang perlu dilalui bagi melihat sama ada darjat dan keimanan seseorang itu akan bertambah mahupun tidak.

Wallahu a’alam.

Rujukan:
Rumaysho.com


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Fizah Lee

Merupakan seorang graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Bahasa Melayu untuk Komunikasi Antarabangsa. Seorang yang suka membaca bahan bacaan dalam bidang sejarah dan motivasi

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami