Ibadah

Betulkah Meninggal Pada Hari Jumaat Terlepas Dari azab Kubur

Oleh Fieyzah Lee  •  27 Sep 2019  •  2 min baca

Mungkin anda pernah dimomokkan dengan salah satu tanda kematian yang husnul khatimah ialah apabila seseorang itu meninggal pada hari Jumaat.

Yang paling ketara adalah apabila ada yang menambah bahawa, jika meninggal pada hari Jumaat, maka terlepas baginya seksaan kubur sehingga dibangkitkan semula untuk hari perbicaraan di Padang Mahsyar kelak.

Ramai di kalangan kita yang menggunakan ayat tersebut sebagai salah satu hujah bahawa pada hari Jumaat akan terlepas segala seksaan kubur dan akhirat serta dijadikan hari untuk ahli kubur berehat terutamanya buat mereka yang sedang diseksa.

Malah, pelbagai lagi momokan seperti ini untuk membuktikan kekuasaan Allah dan sebagainya.

Walau bagaimanapun, adakah benar perkara yang disampaikan dan yang sering kita dengar ini? Jika ia sesuatu yang tidak sahih, mengapa ia sering digunakan secara meluas?

مَن ماتَ يومَ الجُمعةِ أو ليلةَ الجمعةِ وُقِيَ فِتنةَ القبرِ

Maksud: “Sesiapa yang (muslim) meninggal pada hari Jumaat atau malam Jumaat, akan dibebaskan oleh Allah dari fitnah kubur.” (Hadis Riwayat Tirmidzi)

Ini merupakan antara hadis yang sering didengar. Walau bagaimanapun, menurut Syeikh Syu’aib al-Arnout mengatakan bahawa hadis ini adalah daif, iaitu lemah dan tiada dalil yang kuat untuk menyokong hadis ini.

Menurut perbahasan ulama’ lain seperti Abu Isa, Imam Ibnu Hajar Al-Athqolani dan Imam Al-Albani mengatakan bahawa hadis ini daif dan gharib kerana sanadnya adalah tidak bersambung. Maka, tiada dalil dan sanad yang khusus untuk membuktikan bahawa ia adalah kata-kata dari Nabi SAW.

Walau bagaimanapun, ke atas mereka yang mati dalam keadaan Islam dan beriman serta bukan dalam keadaan maksiat, maka ia dikurniakan sebagai mati dalam pengakhiran yang baik, iaitu Husnul Khatimah.

Rasulullah SAW diriwayatkan wafat pada hari Isnin. Jika meninggal pada hari Jumaat akan dilepaskan daripada azab kubur, maka mengapa Allah SWT tidak mengambil insan-insan istimewa ini pada hari tersebut?

Hal ini dapat disimpulkan bahawa, meninggal tidak kiralah pada hari dan waktu apa, namun jika amalan solehnya mampu membantu mereka daripada terkena azab kubur, maka itulah yang akan membantunya daripada diseksa dan bukan hari-hari tertentu.

Malah, Allah tidak akan sewenang-wenangnya melepaskan atau menimpakan azab kepada seseorang di alam akhirat, kerana alam tersebut merupakan alam pengadilan yang cukup sempurna dan adil yang tiada seorang pun yang boleh terlepas darinya.

Oleh itu, rebutlah Husnul Khatimah dengan memperbanyakkan amalan soleh sama ada kepadaNya dan juga kepada sekalian makhluk, kerana itu yang akan membantu kita di akhirat kelak.

Wallahu a’lam.


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Fieyzah Lee

Fieyzah Lee

Merupakan seorang pelajar Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Bahasa Melayu untuk Komunikasi Antarabangsa. Seorang yang suka membaca bahan bacaan dalam bidang sejarah dan motivasi

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami