Hukum, Ibadah

Seluar Terkena Percikan Najis, Adakah Sah Jika Dibawa Ke Dalam Solat

Oleh Fizah Lee  •  18 Nov 2020  •  2 min baca

Umum mengetahui air kencing adalah salah satu daripada najis mutawassitah (najis pertengahan) dan jika dibawa ke dalam solat, maka hukumnya adalah tidak sah. Hal ini kerana, salah satu syarat sah solat adalah suci daripada najis.

Najis tersebut perlu dihilangkan terlebih dahulu sebelum melakukan ibadah lain dengan basuhan air mutlak sehingga hilang bau, rasa dan warna.

Bagaimanapun, kadang-kadang mata kita sendiri tidak perasan jika terdapat percikan air kencing pada seluar ataupun kawasan lain yang melekat.

Jadi, apabila seluar itu dibawa ke dalam solat, bagaimana dengan solat yang dilakukan? Adakah sah solatnya?

Dalam hal ini, ulama berpendapat bahawa hukumnya adalah sah jika percikan itu sedikit dan tidak dapat dikesan dengan mata.

Hal ini ada disebut dalam kitab al-Fiqh al-Manhaji:

Maksud: “Islam adalah agama yang bersih, untuk itu wajib menghilangkan najis walau di mana keberadaannya. Memelihara diri daripada najis dan menjadi bersih dari najis adalah syarat sah solat sama ada pada pakaian ataupun pada badan dan tempat solat. Sesungguhnya agama meraikan kemudahan dan menghilangkan kesusahan. Maka, dimaafkan sebahagaian najis disebabkan kesusahan untuk menghilangkannya atau kesusahan untuk menjaga daripada terkena najis tersebut agar menjadi kemudahan kepada manusia dan mengangkat kesusahan daripada manusia.

Contohnya, percikan air kencing yang sedikit dan tidak dapat dikesan dengan penglihatan mata yang sederhana jika terkena pakaian ataupun badan, sama ada najis mughallazah ataupun najis mukhaffafah atau mutawassitah.” (Al-Fiqh, al-Manjahi ‘ala Mazhab al-Syafi’i)

Ini bermaksud, percikan air kencing atau najis lain yang tidak dapat dilihat dengan mata, sedikit atau sukar dikawal, maka hukumnya adalah dimaafkan dan jika dibawa ke dalam solat, adalah sah solatnya.

Bagaimanapun, untuk mengelakkan daripada perasaan was-was atau tidak yakin dengan ibadah yang dilakukan, anda juga boleh melakukan beberapa tips ini;

#1 – Sediakan seluar khusus untuk dibawa ke dalam solat. Boleh juga gantikannya dengan kain pelikat.

#2 – Menukar stoking dan mengkhususkannya hanya untuk waktu solat sahaja (jika dibawa ke dalam solat).

#3 – Memercikkan air mutlak ke bahagian hujung seluar atau kawasan yang dirasakan terkena percikan air kencing.

Kesimpulan

Jika najis itu tidak dapat dilihat atau dikesan kerana kadarnya yang sedikit, maka solatnya adalah sah kerana ia termasuk dalam hukum dimaafkan.

Walau bagaimanapun, adalah menjadi tugas kita untuk mengambil langkah berjaga-jaga dan sentiasa memastikan diri suci dan bersih daripada najis.

Wallahu a’alam.

Rujukan:
Hukum Percikan Air Kencing Pada Seluar


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Fizah Lee

Merupakan seorang graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Bahasa Melayu untuk Komunikasi Antarabangsa. Seorang yang suka membaca bahan bacaan dalam bidang sejarah dan motivasi

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami