Ibadah

Sejarah Pensyariatan Aidilfitri

Oleh Fieyzah Lee  •  3 Jun 2019  •  6 min baca

Kita telah memasuki malam sepuluh terakhir Ramadan. Ramai yang mengambil peluang ini untuk memperbanyakkan amalan dan amal ibadat bagi mendapatkan ganjaran Lailatul Qadar. Namun, ramai juga di kalangan kita yang sedang gembira dan seronok bagi menyambut ketibaan Syawal.

Ada yang sibuk memasang langsir, menukar perabot baru, menyediakan juadah untuk hari raya dan bermacam lagi ragam manusia. Malah, bagi yang bukan Islam juga tidak sabar untuk menyambut kedatangan ini.

Hal ini kerana, Di Malaysia, Hari Raya Aidilfitri disambut dengan meriah dan penuh kegembiraan. Begitu juga dengan negara-negara Islam yang lain seperti Iran, Turki, Arab Saudi dan Sudan. Ia merupakan perayaan terbesar buat umat Islam yang disambut sebagai hari kemenangan.

وَلَا يُرِيدُ بِكُمُ الْعُسْرَ وَلِتُكْمِلُوا الْعِدَّةَ وَلِتُكَبِّرُوا اللَّـهَ عَلَىٰ مَا هَدَاكُمْ وَلَعَلَّكُمْ تَشْكُرُونَ

“Dan juga supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadan) dan supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat petunjukNya dan supaya kamu bersyukur.” (Surah Al-Baqara, 2:185)

Walau bagaimanapun, dalam keseronokan kita untuk menyambutnya, janganlah terlalu alpa dengan baki Ramadan yang bakal meninggalkan kita. Amalan memperbanyakkan ibadah pada sepuluh malam terakhir ini amat digalakkan untuk mencari Lailatul Qadar. Belum tentu Ramadan seterusnya bakal bersua lagi dengan kita.

Perkataan aidilfitri atau boleh juga disebut ‘aidulfitri’ berasal daripada Bahasa Arab, iaitu idul dan fitri عيد الفطر yang membawa maksud kembali kepada fitrah. Perkataan id عيد membawa maksud kembali, manakala fitr فطر bermaksud fitrah.

Dari segi istilah, ia membawa maksud hari kemenangan buat umat Islam yang telah berjaya menahan nafsu dari perbuatan yang merugikan diri sendiri sepanjang sebulan berpuasa di bulan Ramadan. Oleh itu, umat Islam dianggap kembali kepada fitrah apabila masuknya 1 Syawal.

Cara untuk menentukan Hari Raya Puasa ini adalah melalui rukyah, iaitu dengan melihat anak bulan ataupun secara kiraan.

Melalui rukyah, hari raya boleh disambut apabila anak bulan Syawal telah kelihatan. Hari raya disambut pada bulan Syawal, iaitu bulan kesepuluh dalam Takwim Hijrah. Anak bulan biasanya diperhatikan oleh mereka yang ditugaskan pada sebelah petang sehingga waktu Maghrib di beberapa tempat yang strategik.

Di Malaysia, sekiranya anak bulan tidak kelihatan dengan menggunakan kaedah rukyah, maka mereka akan menggunakan kaedah Imkanul Rukyah. Kaedah ini adalah berdasarkan kriteria berikut:

#1 – Umur anak bulan melebihi lapan jam ijtimak, iaitu bumi, bulan dan matahari berada di garisan yang sama.

#2 – Ketinggian anak bulan di ufuk selepas matahari terbenam sekurang-kurangnya dua darjah.

#3 – Jarak lengkung berada antara pusat matahari dengan pusat bulan sekurang-kurangnya tiga darjah.

Jika tiga kriteria ini dipenuhi dalam proses penglihatan anak bulan, maka umat Islam sudah boleh mula menyambut Hari Raya Aidulfitri pada keesokan harinya.

Sejarah Hari Raya Aidulfitri

Sebelum kedatangan ajaran Islam, masyarakat Arab jahiliah meraikan dua perayaan sebagai hari kegembiraan mereka. Ia adalah Hari Nairuz dan Hari Mihrajan.

Nairuz merupakan sambutan tahun baru bagi kaum Majusi menurut kalendar Masihi, iaitu pergiliran matahari. Definisi Nairuz ada dinyatakan melalui Kamus Al-Lughah Al-Arabiyyah Al-Mu’ashir;

ﺃﻭّﻝ ﻳﻮﻡ ﻓﻲ ﺍﻟﺴَّﻨﺔ ﺍﻟﺸَّﻤﺴﻴَّﺔ ﻋﻨﺪ ﺍﻟﻔُﺮﺱ

Maksud: “Nairuz adalah hari pertama pada tahun syamsiyyah menurut persia (bangsa Majusi waktu itu).”

Mihrajan pula bermaksud hari raya yang disambut enam bulan selepas perayaan Nairuz, iaitu antara musim sejuk dan panas. (Mu’jam Lughah Al-Fuqaha)

Perayaan ini disambut dengan penuh kelalaian dengan mempunyai unsur penyembahan berhala dan minum arak serta banyak lagi hiburan yang diisi bagi mengisi jiwa mereka. Ia telah disebut melalui hadis nabi, dari Anas bin Malik RA berkata:

لِأَهْلِ الْجَاهِلِيَّةِ يَوْمَانِ فِي كُلِّ سَنَةٍ يَلْعَبُونَ فِيهِمَا فَلَمَّا قَدِمَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ الْمَدِينَةَ قَالَ كَانَ لَكُمْ يَوْمَانِ تَلْعَبُونَ فِيهِمَا وَقَدْ أَبْدَلَكُمْ اللَّهُ بِهِمَا خَيْرًا مِنْهُمَا يَوْمَ الْفِطْرِ وَيَوْمَ الْأَضْحَى

“Dahulu orang-orang Jahiliah memiliki dua hari pada setiap tahun yang amalan mereka sentiasa bersenang-lenang ketika itu. Ketika Baginda SAW datang ke kota Madinah, baginda bersabda: “Dahulu kalian memiliki dua hari di mana kalian bersenang-senang ketika itu. Sekarang Allah telah menggantikan untuk kalian dengan dua hari besar yang lebih baik, iaitu Aidulfitri dan Aiduladha.” (Hadis Riwayat Abu Daud)

Allah telah menggantikan hari raya tersebut dengan perayaan yang lebih baik, iaitu Hari Raya Puasa dan Hari Raya Korban. Kewajipan ini turunnya pada tahun kedua hijrah dan pertama kali diraikan selepas Perang Badar.

Umat Islam telah meraih kemenangan dalam Perang Badar yang telah berlaku pada 17 Ramadan, tahun kedua Hijrah. Perang ini dikatakan sungguh hebat dalam sejarah Islam kerana mereka hanya mempunyai tentera seramai 319 orang berbanding 1000 orang pasukan Kafir Quraisy.

Oleh itu, pada tahun itu, Rasulullah SAW dan umatnya meraikan dua kemenangan, iaitu kejayaan dalam Perang Badar dan menewaskan hawa nafsu sepanjang bulan puasa.

Rasulullah SAW telah melarang umatnya untuk meniru dan menyambut perayaan mereka. Hal ini kerana, ia dipenuhi dengan kemaksiatan yang boleh menimbulkan kemurkaan Allah. ‘Abdullah bin ‘Amr RA berkata:

ﻣَﻦْ ﺑَﻨَﻰ ﻓِﻲ ﺑِﻼﺩِ ﺍﻷَﻋَﺎﺟِﻢِ، ﻭَﺻَﻨَﻊَ ﻧَﻴْﺮُﻭﺯَﻫُﻢْ ﻭَﻣِﻬْﺮَﺟَﺎﻧَﻬُﻢْ ﻭَﺗَﺸَﺒَّﻪَ ﺑِﻬِﻢْ، ﺣَﺘَّﻰ ﻳَﻤُﻮﺕَ، ﻭَﻫُﻮَ ﻛَﺬَﻟِﻚَ ﺣُﺸِﺮَ ﻣَﻌَﻬُﻢْ ﻳَﻮْﻡَ ﺍﻟْﻘِﻴَﺎﻣَﺔِ

Maksud: “Barangsiapa yang membangun negeri-negeri kaum ‘ajam (negeri kafir), meramaikan Hari Raya Nairuz dan Mihrajan (perayaan tahun baru mereka) serta meniru mereka sehingga mati dalam keadaan seperti itu, ia akan dibangkitkan bersama mereka pada hari kiamat.” (Susunan Al-Kubra, 9/234)

Amalan Pada Hari Raya

Menurut Ibnu Hajar Al-Asqalani dalam Kitab Fathul Baari, antara amalan para sahabat pada hari raya ialah mengucapkan taqabblallahu minna wa minka. Melalui sebuah riwayat yang berbunyi:

لقيتُ واثلةَ يومَ عيدٍ فقلتُ تقبَّلَ اللَّهُ منَّا ومنكَ فقالَ تقبَّلَ اللَّهُ منَّا ومنكَ

Maksud: “Berkata Wasilah, Aku bertemu Rasulullah SAW pada hari raya dan aku katakan kepada baginda: “taqabbalallahu minna wa minka”, baginda menjawab: “Ya taqabbalallahu minna wa minka.” (Hadis Riwayat Al-Baihaqi)

Ucapan ini membawa maksud ‘semoga Allah menerima daripada kita (amal ibadat) dan menerimanya daripada kamu” manakala ucapan balasnya ialah تَقَبَّلَ اللهُ مِنكُمْ أَحْيَاكُمُ اللهُ لأَمْثَالِهِ كُلُّ عامٍ وَأَنتُمْ بِخَيرٍ bermaksud ‘semoga Allah menerima daripada kamu dan memelihara kamu kerana mentaatinya setiap tahun dalam keadaan baik.’

Antara amalan lain yang telah diamalkan oleh umat terdahulu ialah:

#1 – Menjamah Makanan Sebelum Solat

Menurut sebuah hadis daripada Anas bin Malik yang bermaksud: “Nabi SAW tidak keluar pada pagi Hari Raya Aidilfitri sehinggalah baginda menjamah beberapa biji kurma.” (Hadis Riwayat Bukhari)

#2 – Memperbanyakkan Takbir

Takbir hari raya bermula pada waktu Maghrib (pada hari terakhir Ramadan) sehingga hari raya Aidilfitri. Ad-Dar Qutni menceritakan bahawa apabila Ibn Umar RA keluar pada hari raya Aidilfitri, beliau akan berterusan bertakbir sehinggalah imam keluar untuk mengimamkan solat hari raya.

Lafaz takbir yang disunatkan ialah:

(اللهُ أَكْبَرُ، اللهُ أَكْبَرُ، اللهُ أَكْبَرُ، لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللهُ وَاللهُ أَكْبَرُ، اللهُ أَكْبَرُ وَللهِ الْحَمْدُ (3 كالي
اللهُ أَكْبَرُ كَبِيرًا، وَالْحَمْدُ للهِ كَثِيرًا، وَسُبْحَانَ اللهِ بُكْرةً وَأَصِيلاً، لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللهُ وَلاَ نَعْبُدُ إِلاَّ إِيَّاهُ، مُخْلِصِينَ لَهُ الدِّينَ وَلَوْ كَرِهَ الْكَافِرُونَ، لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللهُ وَحْدَهُ، صَدَقَ وَعْدَهُ، وَنَصَرَ عَبْدَهُ، وَهَزَمَ الأَحْزَابَ وَحْدَهُ،لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللهُ وَاللهُ أَكْبَرُ

#3 – Memakai Pakaian Terbaik

أَنَّ عَبْدَ اللَّهِ بْنَ عُمَرَ، قَالَ: أَخَذَ عُمَرُ جُبَّةً مِنْ إِسْتَبْرَقٍ تُبَاعُ فِي السُّوقِ، فَأَخَذَهَا، فَأَتَى بِهَا رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فَقَالَ: يَا رَسُولَ اللَّهِ، ابْتَعْ هَذِهِ تَجَمَّلْ بِهَا لِلْعِيدِ وَالوُفُودِ، فَقَالَ لَهُ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: «إِنَّمَا هَذِهِ لِبَاسُ مَنْ لاَ خَلاَقَ لَهُ

Maksud: “Abdullah bin Umar berkata: “Umar mengambil sebuah jubah sutera yang dijual di pasar lalu membawanya kepada Rasulullah dan berkata: “Wahai Rasulullah, belilah jubah ini serta berhiaslah dengan jubah ini di pagi hari raya untuk menyambutnya.” Rasulullah menjawab: “Sesungguhnya jubah ini adalah pakaian orang yang tidak mendapat bahagian.” (Hadis Riwayat Bukhari)

Abu al-Hasan menjelaskan dalam Hasyiah as-Sindi ala an-Nasa’i mengenai hadis di atas dengan penjelasan berikut:

Maksud: “Dari hadis ini diketahui bahawa berhias pada hari raya merupakan kebiasaan dan amalan yang sudah ada dalam kalangan para sahabat, serta Nabi SAW juga tidak melarangnya.”

Malah, dalam riwayat lain yang diriwayatkan oleh Al-Hakim ada menyebut:

عَنْ زَيْدِ بْنِ الْحَسَنِ بْنِ عَلِيٍّ، عَنْ أَبِيهِ، رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا قَالَ: «أَمَرَنَا رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي الْعِيدَيْنِ أَنْ نَلْبَسَ أَجْوَدَ مَا نَجِدُ، وَأَنْ نَتَطَيَّبَ بِأَجْوَدَ مَا نَجِدُ

Maksud: “Dari Zaid bin al-Hasan bin Ali, dari ayahnya ia berkata: “Kami diperintahkan oleh Rasulullah SAW pada hari id untuk memakai pakaian dan wangi-wangian yang ada.”

#4 – Menukar Jalan Pergi Dan Balik Ketika Solat

أَنَّ رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَخَذَ يَوْمَ الْعِيدِ فِي طَرِيقٍ ثُمَّ رَجَعَ فِي طَرِيقٍ آخَرَ

Maksud: “Sesungguhnya Rasulullah SAW pada hari raya mengikut satu jalan kemudian balik mengikut jalan yang lain.” (Hadis Riwayat Abu Daud)

Sunat bagi setiap Muslim yang pergi solat sunat hari raya untuk melalui jalan yang berbeza pada waktu pergi dan balik.

Kesimpulan

Hari Raya Aidilfitri disambut dengan penuh kegembiraan sebagai tanda syukur terhadap Allah SWT. Hikmah diwujudkan perayaan ini ialah untuk menghapusnya amalan jahiliah yang menyambut perayaan dengan penuh kealpaan.

Oleh itu, sebagai Muslim, kita seharusnya menyambut perayaan ini secara sederhana dan tidak menjejaki langkah dan amalan umat jahiliyah terdahulu.

Muslim.Or.Id


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Fieyzah Lee

Fieyzah Lee

Merupakan seorang pelajar Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Bahasa Melayu untuk Komunikasi Antarabangsa. Seorang yang suka membaca bahan bacaan dalam bidang sejarah dan motivasi

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami