Gaya Hidup

Sedekah Mampu Menyelamatkan Diri Daripada Neraka

Oleh Natirah Azira  •  8 May 2020  •  2 min baca

Sudah sekian banyak peringatan yang kita dengar berkaitan kebaikan sedekah. Ia tidak dikhususkan dalam bulan Ramadan sahaja tetapi harus dilazimi pada masa-masa yang lain.

Namun lebih istimewa jika kita dapat mencontohi perbuatan Nabi SAW yang lebih banyak melakukan kebaikan dan kebajikan pada bulan ini.

Rasulullah SAW adalah orang yang paling pemurah dalam melakukan pelbagai kebaikan dan kemurahan baginda itu akan bertambah menjelang bulan Ramadan.

Malah dalam satu perkhabaran daripada Adi bin Hatim, beliau berkata bahawa Nabi SAW pernah menyebutkan tentang neraka – meminta perlindungan darinya sambil mengusap wajah baginda, kemudian baginda menyebutkan,

“Takutlah kalian kepada neraka walau dengan setengah biji kurma, jika tiada, hendaknya dengan perkataan yang baik” (Sahih Bukhari, no.5677)

Rasulullah SAW tetap menasihati supaya bersedekah hatta hanya dengan setengah biji kurma kerana ia dapat menjauhkan seseorang dari api neraka. Subhanallah. Jika difikir secara logik, masakan kita tidak boleh bersedekah dan memberi walau sebanyak itu. Tinggal sahaja hati yang mahu atau tidak.

Di dalam hadis lain disebutkan bahawa sedekah turut dapat menjauhkan seseorang daripada api seksaan kubur.

Rasulullah SAW bersabda:

‏إن الصدقة لتطفىء عن أهلها حر القبور

“Sedekah akan memadamkan api seksaan di dalam kubur.” (HR. Thabrani, di sahihkan Al Albani dalam Sahih At Targhib, 873)

Sedekah bukan amalan ‘privileged’ atau istimewa yang boleh dilakukan oleh orang kaya dan berharta sahaja. Ia amalan yang boleh dilakukan oleh sesiapa. Jika kita hanya mampu bersedekah sebanyak RM1, sudah pasti Allah tidak akan membandingkan sedekah kita itu dengan sedekah orang yang lain yang lebih banyak.

والصدقة تطفىء الخطيئة كما تطفىء الماء النار

“Sedekah dapat menghapus dosa sebagaimana air memadamkan api.” (HR. Tirmidzi, disahihkan Al Albani dalam Saahih At Tirmidzi, 614)

Kita insan yang banyak dosa. Hari ini kita bertaubat, esok mungkin kita lakukan dosa yang lain pula. Namun, jangan dibiarkan, gantilah dosa keburukan yang telah kita lakukan dengan amal kebajikan dan sedekah. Moga-moga ia dapat menampal lubang-lubang yang bocor yang meniriskan pahala kita.


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Natirah Azira

Beliau merupakan graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Al-Quran dan Sunnah. Pernah mendalami bidang Psikologi selama dua tahun dan sekarang sedang menyambung pengajian peringkat Ijazah Sarjana dalam bidang Kaunseling di Universiti Sains Malaysia.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami