Inspirasi

Saya Dah Berdoa, Tapi Allah Belum Makbulkan

Oleh Natirah Azira  •  18 Jan 2019  •  3 min baca

“Saya dah banyak kali berdoa tapi sampai sekarang Allah masih tak makbulkan”

“Betul ke hati yakin masa berdoa, atau masih ada sekelumit ragu?”

Dia terdiam setelah saya mengajukan pertanyaan tersebut. Kita tahu bahawa Allah menurut sangkaan hambanya. Kita tahu bahawa Allah berkuasa memakbulkan walau hal tersebut seakan mustahil. Namun dalam banyak keadaan, untuk benar-benar yakin terasa begitu sukar.

Saya akui bahawa saya juga bukan setiap masa berasa yakin dengan apa yang saya doakan. Namun kerana saya lebih yakin bahawa Allah LEBIH MAMPU untuk memakbulkan berbanding keraguan yang dirasa, maka saya tetap berdoa.

“Ya Allah, campakkanlah rasa yakin dalam hati sewaktu meminta padaMu”, begitu saya bisikkan pada hati tidak kira di mana-mana atau pada bila-bila masa. Sebutkan sahaja ketika teringat.

Bersyukur Dengan Apa Yang Sudah Diberi

Cuba lihat semula sepanjang kita hidup, apa yang pernah kita niatkan yang telah Allah kabulkan. Kadang-kadang, kata-kata yang sekadar terlucut daripada mulut atau apa yang terlintas di hati pun Allah makbulkan.

“Nak makan ni lah malam ni” , tiba-tiba ada yang belikan.

“Duit tak cukup, macam mana nak bagi parents”, lalu Allah bagi rezeki dari sumber yang tak kita jangka. Tiba-tiba dapat bonus. Tiba-tiba duit rasa cukup.

Itulah keberkatan yang Allah hadirkan dalam rezeki dan urusan. Dan kerana adanya keberkatan, setiap perkara terasa mudah dan menyenangkan. Ingat apa yang telah Allah beri, dan yakin dengan apa yang bakal diberi.

Jadilah ‘Tamak’ Dalam Berdoa

Allah sangat menyukai orang yang meminta semua benda daripadaNya. Ya, semuanya. Hatta hanya sekadar tali kasut.

Aisyah radhiallahu ta’ala ‘anha juga mengatakan:

سَلُوا اللَّهَ كُلَّ شَيءٍ حَتَّى الشِّسعَ

“Mintalah kepada Allah bahkan meminta tali sandal sekalipun” (HR. Al Baihaqi dalam Syu’abul Iman 2/42, Al Albani berkata: “mauquf jayyid” dalam Silsilah Adh Dha’ifah no. 1363).

Nabi SAW bersabda:

إِذَا تَمَنَّى أَحَدُكُم فَلْيُكثِر ، فَإِنَّمَا يَسأَلُ رَبَّهُ عَزَّ وَجَلَّ

“Barangsiapa yang mengangankan sesuatu (kepada Allah), maka perbanyaklah angan-angan tersebut. Kerana ia sedang meminta kepada Allah Azza wa Jalla” (HR. Ibnu Hibban no. 889, disahihkan Al Albani dalam Shahih Al Jami’ no. 437).

Rasulullah SAW pernah mengajarkan tentang satu doa yang merangkumi banyak perkara:

:عَنْ عَائِشَةَ رضي الله عنها أَنَّ رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَلَّمَهَا هَذَا الدُّعَاءَ

اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ مِنَ الْخَيْرِ كُلِّهِ عَاجِلِهِ وَآجِلِهِ مَا عَلِمْتُ مِنْهُ وَمَا لَمْ أَعْلَمْ وَأَعُوذُ بِكَ مِنَ الشَّرِّ كُلِّهِ عَاجِلِهِ وَآجِلِهِ مَا عَلِمْتُ مِنْهُ وَمَا لَمْ أَعْلَمْ اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ مِنْ خَيْرِ مَا سَأَلَكَ عَبْدُكَ وَنَبِيُّكَ وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ شَرِّ مَا عَاذَ بِهِ عَبْدُكَ وَنَبِيُّكَ اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ الْجَنَّةَ وَمَا قَرَّبَ إِلَيْهَا مِنْ قَوْلٍ أَوْ عَمَلٍ وَأَعُوذُ بِكَ مِنَ النَّارِ وَمَا قَرَّبَ إِلَيْهَا مِنْ قَوْلٍ أَوْ عَمَلٍ وَأَسْأَلُكَ أَنْ تَجْعَلَ كُلَّ قَضَاءٍ قَضَيْتَهُ لِي خَيْرًا

Daripada Aisyah RA, sesungguhnya Rasulullah SAW telah mengajarkan suatu doa kepadanya:

“Ya Allah, aku bermohon dikurniakan segala kebaikan yang hampir dan yang masih jauh, yang aku tahu dan yang aku tidak tahu.

Dan lindunglah aku daripada kejahatan dan keburukan yang hampir dan yang masih jauh sama ada yang aku tahu dan yang aku tidak tahu.

Sesungguhnya aku meminta kepadaMu semua doa kebaikan yang diminta oleh hamba dan NabiMu. Aku berlindung kepadaMu dari keburukan yang hamba dan NabiMu meminta perlindungan dari keburukan itu.

Ya Allah, aku meminta kepadaMu syurga dan segala yang mendekatkan menuju syurga, sama ada perkataan mahupun perbuatan.

Aku berlindung kepadaMu dari neraka dan segala yang mendekatkan menuju neraka, sama ada perkataan mahupun perbuatan.

Dan aku meminta kepadaMu agar menjadikan semua takdir yang Engkau takdirkan untukku adalah kebaikan.” (HR. Ahmad no. 25019, Ibnu Majah no. 3846 dan Ibnu Hibban no. 869. Dinilai sahih oleh Al-Albani dalam Ash-Shahihah no. 1542.)

Sungguh indah dan menyeluruh maksud yang terkandung dalam doa ini. Seluruh pengharapan tentang nasib kita di dunia dan juga di akhirat disandarkan sepenuhnya kepada Allah SWT.

اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ مِنَ الْخَيْرِ كُلِّهِ عَاجِلِهِ وَآجِلِهِ مَا عَلِمْتُ مِنْهُ وَمَا لَمْ أَعْلَمْ وَأَعُوذُ بِكَ مِنَ الشَّرِّ كُلِّهِ عَاجِلِهِ وَآجِلِهِ مَا عَلِمْتُ مِنْهُ وَمَا لَمْ أَعْلَمْ اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ مِنْ خَيْرِ مَا سَأَلَكَ عَبْدُكَ وَنَبِيُّكَ وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ شَرِّ مَا عَاذَ بِهِ عَبْدُكَ وَنَبِيُّكَ اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ الْجَنَّةَ وَمَا قَرَّبَ إِلَيْهَا مِنْ قَوْلٍ أَوْ عَمَلٍ وَأَعُوذُ بِكَ مِنَ النَّارِ وَمَا قَرَّبَ إِلَيْهَا مِنْ قَوْلٍ أَوْ عَمَلٍ وَأَسْأَلُكَ أَنْ تَجْعَلَ كُلَّ قَضَاءٍ قَضَيْتَهُ لِي خَيْرًا

Sama-sama kita cuba untuk menghafal dan membaca doa ini. InsyaAllah. Akhirnya, yakinlah bahawa apa yang diberi atau yang tidak diberi di akhirnya, kesemuanya baik untuk diri kita.


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Natirah Azira

Natirah Azira

Beliau merupakan graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Al-Quran dan Sunnah. Sekarang sedang menyambung pengajian peringkat Ijazah Sarjana dalam bidang Psikologi di universiti yang sama. Seorang yang suka membaca pelbagai genre bahan bacaan terutama sejarah, sastera, motivasi dan psikologi.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami