Tokoh

Salahuddin Al-Ayyubi: Pembawa Obor Pembebasan Baitulmaqdis

Oleh Rabiatul Adaweeyah  •  9 Jun 2017  •  5 min baca

Salahuddin al-Ayyubi atau Salah ad-Din adalah nama gelaran bagi Shalahuddin Yusuf bin Najmuddin Ayyub bin Syadi atau yang lebih dikenali sebagai ‘Saladin’. Beliau lahir pada tahun 1138M di kota Tikrit, dari suku Kurdi dan bukan berketurunan Arab.

Sejak dilahirkan, keluarganya berpindah ke Mosul dan tinggal bersama-sama seorang pemimpin besar, Imaduddin az-Zanki.

Melalui keluarga inilah Salahuddin al-Ayubbi membesar dengan baik; mempelajari al-Quran, bahasa dan sastera, selain belajar bahasa Arab dan ilmu hadis sehingga mahir. Bahkan, Salahuddin sangat cekap menunggang kuda dan bermain senjata.

Beliau seorang yang berbakat besar dalam bidang kententeraan dan kepimpinan. Pada usia 14 tahun, Salahuddin menjadi tentera Sultan Nuruddin sebelum menjawat jawatan sebagai jeneral.

Pada September 1169M, Nuruddin Mahmud Zanki menakhluk kerajaan Fatimiyyah yang mulai bergolak. Baginya kerajaan Fatimiyyah adalah peluang terbaik untuk membebaskan Baitul Maqdis dari kekuasaan pasukan Salib. Penaklukan itu berjaya mengkucar-kacirkan pasukan Salib di Mesir dan menghancurkan kerajaan Syiah itu.

Ketika menakluk wilayah Kaherah, Salahuddin tidak serta-merta mengusir keluarga Dinasti Fatimiyyah dari istana mereka, tetapi menunggu dahulu sehingga raja mereka mangkat, barulah anggota keluarganya dihantar ke tempat pengasingan.

Setelah itu, Salahuddin al-Ayyubi diangkat sebagai panglima dan gabenor. Beliau berjaya memulihkan sistem ekonomi dan pertahanan Mesir dan mula menyusun strategi untuk membebaskan Baitul Maqdis dari cengkaman tentera Salib.

Tidak lama kemudian, beliau dilantik pula menjadi menteri di Mesir, Salahuddin al-Ayyubi diangkat sebagai wakil dari Khalifah Dinasti Ayyubiyah.

Beliau melakukan pelbagai perubahan dengan membina sekolah bermazhab Ahlussunnah wal Jamaah. Beliau juga membuka pintu gerbang kota itu kepada umum.

Beliau juga membina banyak masjid, sekolah, hospital, bahkan turut membina gereja. Rakyat juga dibenarkan menetap di kawasan yang dahulunya dikhususkan untuk golongan bangsawan bani Fatimiyyah.

Pada setiap hari Isnin dan Selasa, ditetapkan sebagai waktu ‘tatap muka’ kepada sesiapa yang ingin menemui dan meminta bantuannya. Dengan itu Salahuddin al-Ayyubi amat dicintai oleh rakyatnya.

Beliau juga menggantikan penyebutan nama-nama khalifah Fatimiyyah dengan nama-nama khalifah Abbasiyah dalam khutbah Jumaat. Ini bertujuan melenyapkan pemikiran Syiah yang sudah lama bertapak di Mesir semasa pemerintahan kerajaan Fatimiyyah.

Pada tahun 1174M selepas kematian Sultan Nuruddin, Salahuddin al-Ayubbi telah melebarkan sayap kekuasaannya ke Syria dan utara Mesopotamia. Beliau dan pasukan Islam juga berjaya menguasai Damsyik (1174M), Aleppo (1178M) dan Mosul (1186M).

Dalam pada itu, Salahuddin meneruskan persiapan dalam melancarkan serangan terhadap tentera Salib. Beliau turut membersihkan akidah Syiah Bathiniyah dari kaum Muslimin dengan membangunkan madrasah dan membangkitkan kesedaran untuk menghadapi pasukan Salib.

Selain itu, beliau juga membangunkan markas ketenteraan, benteng dan kubu, menambah jumlah pasukan, memperbaiki kapal-kapal perang, membina rumah sakit dan sebagainya. Dengan itu Salahuddin al-Ayyubi berjaya menyatukan penduduk Syam, Iraq, Yaman, Hijaz, dan Maghribi.

Pada tahun 580H, Salahuddin al-Ayubbi menderita satu penyakit yang serius, namun azamnya untuk membebaskan kota Baitul Maqdis semakin membara.

Lalu beliau bertekad sekiranya sembuh daripada penyakit itu, beliau akan menakluk pasukan Salib di Baitul Maqdis dan membersihkan tanah yang pernah menjadi tempat para nabi dari kekafiran. Sebaik sahaja sembuh dari penyakitnya itu, dengan segera Salahudin al-Ayubbi menyempurnakan cita-citanya itu.

Sebelum menyerang pasukan Salib di Baitul Maqdis, Salahudin al-Ayyubi dan para tenteranya terpaksa menghadapi Perang Hittin di Galilee dahulu pada 4 Julai 1187M, iaitu sebagai pertempuran pembuka untuk menakluk Baitul Maqdis.

Perang tersebut disertai oleh 63,000 tentera Muslimin yang terdiri daripada para ulama dan golongan soleh. Mereka berjaya menewaskan 30,000 tentera Salib dan menawan 30,000 selebihnya.

Selepas itu, tentera Muslimin tiba di al-Quds. Dengan bilangan pasukan yang besar tentera Islam mengepung kota itu. Pasukan Salib bersungguh-sungguh mempertahankan kota itu daripada dimiliki oleh Islam. Manakala tentera Muslimin juga bersemangat menakluk kota itu dan mengalahkan pasukan Salib.

Tentera Islam berhasil membakar salib besar dan benteng-benteng al-Quds, membuatkan tentera Salib lemah dan bercerai-berai. Tidak lama kemudian, tentera Salib mengajak pasukan Muslimin berdamai dan berunding. Salahuddin al-Ayubbi dengan tegas menolak.

Namun pimpinan pasukan Salib Balian bin Bazran, mengancam untuk membunuh semua tahanan dari kalangan umat Islam serta menghancurkan semua bangunan, harta benda termasuk kubah as-Sakrah.

Salahuddin al-Ayyubi bersetuju demi keselamatan tahanan Islam. Beliau menetapkan syarat bahawa setiap lelaki akan membayar 10 dinar, perempuan dengan 5 dinar, dan kanak-kanak dikenakan sebanyak 2 dinar.

Ketua pasukan Salib itu pun bersetuju lalu meninggalkan kota Baitul Maqdis dengan tertunduk malu. Kaum Muslimin berjaya membebaskan kota suci ini untuk kedua kalinya.

Salahuddin al-Ayyubi memasuki kota Baitul Maqdis pada hari Jumaat 27 Rejab 583H bersamaan 2 Oktober 1187M, kota tersebut kembali ke pangkuan umat Islam setelah 88 tahun dikuasai oleh kaum Kristian.

Pasukan Muslimin membersihkan Masjid al-Aqsa dengan mengeluarkan salib-salib yang terdapat di dalamnya, kemudian mendirikan solat yang pertama kalinya setelah lama tidak kedengaran lantunan ayat suci di kota itu.

Kejatuhan kota Baitul Maqdis di tangan orang Islam menggegarkan seluruh dunia Kristian. Pada tahun 1189M tentera Kristian melancarkan serangan balas iaitu Perang Salib ke-3, di bawah pimpinan Maharaja Jerman iaitu Frederick Barbarossa, Raja Perancis Philip Augustus dan Raja Inggeris Richard ‘the Lion Heart’.

Perang yang berlangsung dengan cukup lama ini berjaya mengekalkan Baitul Maqdis di tangan pasukan Muslimin. Selain itu gencatan senjata disepakati oleh kedua-belah pihak.

Di tengah suasana peperangan itu, berkali-kali Salahuddin al-Ayyubi mengirimkan buah-buahan kepada Raja Richard yang ketika itu sedang sakit. Sesungguhnya beliau seorang pemimpin yang berhati mulia, walaupun Raja Richard adalah musuhnya.

Pada tahun 1192M Salahuddin al-Ayyubi dan Raja Richard menandatangani perjanjian damai yang bersetuju membahagikan wilayah Palestin kepada dua: daerah pesisir Laut Tengah untuk orang Kristian, dan bahagian bandar untuk orang Islam; namun kedua-dua belah pihak bebas berkunjung ke daerah lain dengan aman.

Suatu hari, Salahuddin al-Ayyubi mengalami sakit dan berlanjutan sehingga 12 hari. Akhirnya pada 16 Safar 589H/1193M, beliau menghembuskan nafas yang terakhir di kota Damsyik pada usianya 55 tahun. Beliau tidak meninggalkan sebarang harta dan kekayaan walaupun memegang jawatan pemimpin tertinggi selama hidupnya.

Sepanjang hidupnya, Salahuddin al-Ayubbi menjalani kehidupan sebagai seorang yang warak. Beliau jarang meninggalkan solat berjemaah. Manakala ketika sakit pun beliau tetap meneruskan puasanya walaupun dinasihati untuk berbuka. Salahuddin al-Ayyubi sememangnya seorang pemimpin soleh yang digeruni kawan dan lawan.


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Rabiatul Adaweeyah

Rabiatul Adaweeyah

Berkelulusan Ijazah Sarjana Muda dari Universiti Malaya dalam Pengkhususan Pengajian Media Dan Sejarah. Sekarang bertugas sebagai Editor di sebuah syarikat penerbitan buku.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami