Wanita

Safiyyah Binti Abdul Mutalib; Keberaniannya Mengalir Ke Tubuh Zubair Al-Awwam

Oleh Marina  •  19 Jul 2017  •  5 min baca

Az-Zubair Ibn al-Awwam atau nama lengkapnya, Zubair bin Awwam bin Khuwailid bin Asad bin Abdul Uzza bin Qushay bin Kilab al-Qurasyi al-Asadi, merupakan salah seorang pahlawan Islam yang sangat handal.

Az-Zubair yang berasal dari bani Asad ini merupakan anak kepada Awwam ibn Khuwailid dan Saffiyah binti Abdul Mutalib.

Ibunya adalah ibu saudara kepada Baginda Nabi s.a.w. Jadi, tidak hairanlah jika az-Zubair bin al-Awwam ini menjadi hawari (pengikut setia) Rasulullah s.a.w, seperti sabda Baginda s.a.w.

Dari Jabir r.a berkata, Nabi s.a.w bersabda;

“Sesungguhnya setiap nabi memiliki hawari (pengikut setia) dan hawariku adalah az-Zubair bin al-Awwam.”Riwayat Bukhari dan Muslim

Ternyata, kehidupan az-Zubair yang dikelilingi oleh persekitaran Nabawi ini ternyata memberikan kesan dalam pembentukan peribadi dan akhlaknya.

Ibunya, Safiyyah binti Abdul Mutalib bin Hisyam bin Abdi Manaf bin Qushay bin Kilab al-Qurasyiyah al- Hasyimiyah, adalah dari suku Quraisy dan bersaudara dengan Hamzah bin Abdul Mutalib.

Ibu Safiyyah adalah Halah binti Wahab, termasuk dalam kalangan keturunan bangsawan yang disegani di Mekah.

Manakala ayahnya, Abdul Mutalib merupakan pembesar di tanah Jazirah Arab waktu itu, yang juga bapa saudara kepada Rasulullah s.a.w.

Suami pertama Safiyyah adalah al-Harits bin Harb bin Umayyah. Setelah suaminya meninggal, beliau bernikah dengan al-Awwam bin Khuwailid, saudara kandung kepada Khadijah binti Khuwailid. Dan, hasil pernikahannya ini, lahirlah az-Zubair, as-Sa’aib, dan Abdul Ka’bah.

Lingkungan persekitaran Safiyyah yang terdiri daripada keluarga terhormat dan berketurunan baik-baik menjadikan keperibadiannya seorang yang berani, kuat dan tidak gentar kepada musuh Allah.

Bahkan, beliau juga cekap melibas pedang dan menunggang kuda. Selain itu, Safiyyah juga gemar membaca dan tergolong dalam kalangan wanita yang fasih lisannya.

Antara peperangan yang turut disertai Safiyyah ialah Perang Uhud, Khandaq dan Khaibar. Bahkan, Safiyyah juga merupakan wanita pertama yang berjaya membunuh orang musyrik.

Semasa menyertai Perang Khandaq, beliau mendapati seorang Yahudi menyusup masuk ke dalam benteng khemah para isteri Nabi dan golongan wanita lain.

Tanpa berlengah, Safiyyah meluru keluar dan memukul kepala Yahudi itu hingga dia mati di situ juga.

Safiyyah merupakan seorang wanita yang tabah dan cekal dalam menghadapi setiap dugaan, termasuklah kehilangan saudara kandungnya; Hamzah bin Abdul Mutalib dalam Perang Uhud.

Ketika Rasulullah s.a.w melihat Safiyyah mendekati jasad Hamzah, Baginda pun menyuruh az-Zubair untuk memintas ibunya dari tempat itu.

Namun, Safiyyah menjawab dengan sabar;

“Mengapa aku tidak boleh melihatnya. Aku telah mendengar saudaraku dibunuh secara sadis dan itu di jalan Allah…”

Lalu, Rasulullah s.a.w pun mengizinkan Safiyyah untuk melihat keadaan jasad Hamzah bin Abdul Mutalib.

Safiyyah meninggal dunia pada tahun 20H, ketika usianya 70 tahun lebih semasa pemerintahan Khalifah Umar bin al-Khattab. Beliau kemudiannya dikebumikan di Tanah Perkuburan Baqi’.

Jelas, sifat keberanian ibunya itu turut diwarisi oleh anaknya, az-Zubair bin al-Awwam hingga membentuk diri beliau menjadi pahlawan dan mujahid yang handal seperti ibunya. Ini kerana Safiyyah juga mengasuh anak-anaknya dengan aktiviti memanah dan menunggang kuda.

Az-Zubair yang dibesarkan dalam lingkungan yang mulia ini sering mengikuti peperangan bersama-sama Rasulullah s.a.w.

Bahkan, turut diberi gelaran ‘pahlawan Rasulullah s.a.w’ dan disamakan seperti Umar bin al-Khattab dan 1,000 orang, kerana sifat kepahlawanan dan keberanian yang ada padanya.

Beliau juga termasuk dalam golongan terawal memeluk Islam, iaitu ketika berusia 15 tahun. Pada awal beliau memeluk Islam, bapa saudaranya Naufil bin khuwailid mengetahui hal tersebut dan menjadi amat marah serta bertindak menyeksa az-Zubair. Kata Naufil dengan garangnya;

“Lepaskan dirimu dari Tuhan Muhammad, maka aku akan melepaskan dirimu dari api ini!”

Walaupun diseksa berulang kali, az-Zubair masih teguh dengan pendiriannya. Dengan tegas berkata;

“Tidak! Demi Allah, aku tidak akan kembali kepada kekufuran selamanya!”

Az-Zubair berkahwin beberapa wanita. Perkahwinannya dengan Asma’ binti Abu Bakar dikurniakan tiga orang anak lelaki, iaitu Abdullah, Urwah dan Ursa yang turut membesar menjadi pahlawan unggul dalam Islam.

Perkahwinan dengan az-Zubair ini merupakan yang kedua bagi Asma’. Selain itu, az-Zubair turut memiliki zuriat hasil perkahwinannya dengan yang lain. Antaranya, Khalid, Amru, Habibah, Saudah dan Hindun dari isterinya bernama Ummu Khalid.

Manakala anak-anaknya yang bernama Mus’ab, Hamzah dan Ramlah pula dari isterinya yang bernama ar-Rabab binti Anif bin Ubaid. Lagi, anaknya bernama Ubaidah dan Ja’afar pula berasal dari isterinya, Zainab.

Seterusnya, anak perempuan az-Zubair yang bernama Zainab dari isterinya; Ummu Kalthum binti Uqbah bin Abi Mu’aith.

Akhir sekali, anak yang bernama Khadijah as-Shugra pula dari isterinya yang bernama al-Halal binti Qais.

Melalui zuriatnya ini jugalah, lahirnya ramai alim ulama yang berbakti dan berjuang kepada Islam. Az-Zubair yang turut tergolong dalam kalangan 10 orang sahabat dijamin syurga ini wafat pada bulan Rabiulawwal tahun 36H.

Beliau dibunuh oleh Amru ibn Jurmuz selepas Perang Jamal, ketika sedang bersolat. Kematiannya amat dirasai oleh Saidina Ali r.a. Kata Saidina Ali;

“Nerakalah bagi pembunuh putera Safiyyah ini.”

Dikhabarkan, tatkala pedang az-Zubair dibawa kepada Saidina Ali, beliau pun menciumnya sambil mengalirkan air mata. Kemudian, beliau berkata;

“Demi Allah, pedang ini membuatkan pemiliknya menjadi mulia (dengan berjihad) dan berada dekat dengan Rasulullah s.a.w (sebagai hawari).”

Semoga Allah s.w.t sentiasa meredai perjalanan hidupnya, dan merahmati pengikut setia Rasulullah s.a.w ini.

Seterusnya, menempatkannya di dalam syurga yang penuh dengan kenikmatan. Amiin.
Baginda Nabi s.a.w bersabda;

“Talhah dan Zubair adalah dua tetanggaku di syurga.”Hadis Riwayat at-Tirmizi


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Marina

Marina

Merupakan graduan dari UNISZA, Terengganu dalam bidang Pengajian Islam dengan hasrat menggabungkan pelbagai pengetahuan dan kemahiran yang dimiliki untuk manfaat komuniti. Menulis adalah salah satu dari minatnya dan beliau turut menghasilkan sebuah karya pertamanya yang berjudul , '' Himpunan Kisah Kaum-Kaum Binasa''.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami