Ibadah

Pintu Syurga Dibuka Buat Mereka Yang Mengamalkan Doa Ini Selepas Berwudhu

Oleh Natirah Azira  •  29 Oct 2019  •  2 min baca

Wudhu adalah amalan sunat, namun hukumnya berubah menjadi wajib apabila dilakukan untuk bersolat. Di dalam wudhu, terdapat tatacara tertentu yang perlu dipelihara supaya solat yang dilakukan menjadi sah.

Selain itu, terdapat juga amalan yang ringkas tetapi besar ganjarannya jika dilakukan selepas mengambil wudhu. Tidak lain tidak bukan, ia adalah doa yang diajarkan oleh Rasulullah SAW kepada kita semua.

Daripada Umar RA, Rasulullah SAW bersabda:

مَا مِنْكُمْ مِنْ أَحَدٍ يَتَوَضَّأُ فَيُبْلِغُ أَوْ فَيُسْبِغُ الْوَضُوءَ ثُمَّ يَقُولُ : أَشْهَدُ أَنْ لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ وَأَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُ اللَّهِ وَرَسُولُهُ إِلَّا فُتِحَتْ لَهُ أَبْوَابُ الْجَنَّةِ الثَّمَانِيَةُ يَدْخُلُ مِنْ أَيِّهَا شَاءَ .

Maksudnya: Tiadalah seorang kamu berwuduk dan memenuhi kesempurnaan wuduk, kemudian berdoa:

“ أَشْهَدُ أَنْ لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ وَأَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُ اللَّهِ وَرَسُولُهُ”

kecuali akan dibuka baginya pintu-pintu syurga yang lapan. Dia berhak masuk dari pintu mana yang dia mahu. (Riwayat Muslim – no.234, Abu Daud – no.169, al-Nasa’ie – no.148, Ibn Majah – no.470 dan al-Tirmizi – no.55)

Ada ahli tafsir yang menjelaskan bahawa dibuka baginya pintu syurga ialah Allah akan memudahkannya jalan baginya menuju syurga. Bagaimana caranya? Allah akan menyediakan amalan-amalan untuk dilakukan yang akan menjadi asbab dia menuju pintu tersebut.

Jika diperhatikan dalam hadis di atas, perkataan yang digunakan bagi ‘membuka’ ialah ‘futihat’ (فتحت), iaitu fe’il madhi (kata kerja yang telah lepas). Di dalam ilmu Bahasa Arab, apabila fe’il madhi digunakan pada suatu situasi yang belum terjadi (akan datang), maka ia membawa makna tahqiq bagi menerangkan ia pasti benar-benar terjadi.

Sungguh mudah bagi Allah jika ingin memberi mahupun mengambil sesuatu daripada hamba-hambaNya. Kita hanya perlu menurut segala perintahNya yang pasti akan mendatangkan kebaikan buat kita. Wallahua’lam.


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Natirah Azira

Natirah Azira

Beliau merupakan graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Al-Quran dan Sunnah. Sekarang sedang menyambung pengajian peringkat Ijazah Sarjana dalam bidang Psikologi di universiti yang sama. Seorang yang suka membaca pelbagai genre bahan bacaan terutama sejarah, sastera, motivasi dan psikologi.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami