Ibadah

Saat Aku Berputus Asa Untuk Beramal Kerana Kesempitan Hidup

Oleh Insyirah A  •  25 Mar 2015  •  8 min baca

Aku yang dahulu bukan yang sekarang. Dahulu, aku hidup dalam kejahilan. Aku pesong dalam fitrah Tuhan. Namun begitu, dalam kepesongan, alhamdulillah aku masih menunaikan solat.

Suatu hari aku sedar dalam petunjuk-Nya. Dari hati yang terdalam, aku membenci kemungkaran yang aku lakukan. Aku clash dengan mereka semua, dan segala aktiviti kemungkaranku.

Kitab Suci Al-Quran

Sekarang Al-Quran mula menjadi teman setiaku. [Shyqa]

Aku berhijrah ke tempat baru untuk menjauhkan diri daripada dunia kejahilanku. Aku kembali dekatkan diri kepada Allah. Aku mula solat secara berjemaah, aku mula kerap membaca Al-Quran.

Permulaan Cetusan Persoalan Kesenangan

2 hingga 3 tahun itu, aku mula bertemu dengan orang yang mendekatkan diri dengan-Nya. Mereka menginspirasikan aku untuk baca surah Al-Waqiah dan solat sunat Tahajud, walaupun 2 rakaat sebelum hampir Subuh. Aku sangat konsisten untuk 1 hingga 2 tahun.

Sesekali alhamdulillah bisnesku ada peningkatan daripada segi kewangan. Namun sayang, ia hanya pencapaian sekali sekala (one time hit). Kemudian, ia akan kembali biasa sehingga tiada pendapatan.

Walau aku masih konsisten membaca surah Al-Waqiah, aku sudah mula mengurangkan solat Tahajud. Walau aku dikuatkan dengan manfaat solat Tahajud, dalam hati yang nakal, aku mula persoalkan:

“Kenapa hidup aku tak senang walau aku banyak beribadah kepada Allah? Adapun orang yang tidak solat, aku lihat hidupnya senang. Dilimpahi rezeki yang sarat.

Sebaliknya mereka yang belajar agama, bangunkan madrasah, sukar mendapatkan dana. Hidup dalam keadaan susah.”

Aku Penat Jadi Budak Baik

Aku semakin kurangkan aktiviti ibadahku seperti membaca Al-Quran pada tiap hari, dan surah Al-Waqiah.

Aku hilang motivasi beramal lebih keras apabila hidup aku masih sama berbanding hidup aku ketika aku rajin beramal dan bertahajud.

Kecewa

Aku hilang semangat untuk beramal soleh kepada Tuhan. [CDF]

“Sama je. Lebih baik tak perlu beramal.”

Kadang-kadang aku penat jadi baik, tetapi aku tidak tegar jadi budak jahat. Mencuri untuk dapatkan duit. Minum arak. Aku masih ada secebis iman yang membuat aku takut untuk melakukannya.

“Aku penat Tuhan. Hidup aku dalam perjuangan yang memenatkan. Hidup aku susah, walau aku solat berbanding hidup mereka yang tidak solat tetapi senang, ada banyak duit. Takkanlah semua orang yang Kau beri macam itu istidraj. Aku percaya Kau bukan zalim.”

Al-Nuraa, Penawar Dan Pemberi Jawapan

Dalam aku mengenangkan kehidupan aku dan bertanya banyak persoalan, aku buat Teknik Bertanya Allah Dahulu (BAD) dengan berdoa pada Tuhan tunjukkan aku jawapan. Kemudian aku terdetik mendengar lagu Al-Nuraa nyanyian Mawi, Filsuf dan Hazama:

Dari Dia kita datang
Dari Dia kita pergi
Ada bulan ada bintang
Dan juga matahari

Ada malam ada siang
Ada gelap ada terang
Ada kasih ada sayang
Sampai masa kita pulang

Ku imbas kembali sepanjang perjalanan
Ku cuba renungi setiap perbuatan
Ku tunduk malu, malu aku memikirkan
Pahala dan dosa yang tak dapat aku bezakan

Ku cuba berlari, lari dari realiti
Seperti ada tali yang menarik ku kembali
Aku masih tak faham masih jugak tak mengerti
Masih mencari-cari siapakah diriku ini

Ku tanya pada hati moga diberi jawapan
Tapi ada dua suara yang sering kedengaran
Yang satu kata iya yang satu kata bukan
Kadangkala akal dan hati pun tak sehaluan

Namun ku tetap mencari dan juga terus berjalan
Selagi ada matahari dan selagi ada bulan
Selagi aku belum mengenal diri ini yang sebenar
Mana mungkin aku dapat mengenal Tuhan

Aku rasa lirik ini dekat dengan aku yang sedang kabur tentang diri sendiri. Barangkali kerana aku lupa diri aku siapa.

Apabila aku baca petikan, ‘selagi aku belum mengenal diri ini yang sebenar, mana mungkin aku dapat mengenal Tuhan’, aku terfikir semula tentang sesuatu.

2 Hari Terpenting Dalam Hidup

Ada 2 hari terpenting dalam hidup kita. 2 hari itu adalah ketika kita lahir dan saat kita tahu kenapa kita dilahirkan. Ia adalah petikan daripada Mark Twain.

“Adakah kau lupa sebab kau dijadikan di mukabumi ini? Andai kau terlupa, maka di sini aku ingatkan. Aku tahu perkara ini biasa bagi kau, namun hakikatnya ini jawapan segala persoalan kau.”
bermonolog sendiri

Aku berbual dengan seorang kakak. Segala persoalan aku salin kepadanya di WhatsApp; “Apa maksud kaya bagi Amy?”

Jawabnya: “Hidup berharta, bebas daripada hutang, ada wang lebih daripada kemampuan.”

“Adakalanya Allah menguji keikhlasan hamba-Nya. Adakah membuat kebaikan, solat hanya untuk jadi senang? Sepatutnya buat semua itu untuk redha Allah. :)”

Aku tersentak.

Selepas itu dia kongsi dengan aku ayat ini:

 

almu'minun115

“Maka adakah patut kamu menyangka bahawa Kami hanya menciptakan kamu (dari tiada kepada ada) sahaja dengan tiada sebarang hikmat pada ciptaan itu? Dan kamu (menyangka pula) tidak akan dikembalikan kepada Kami?” (Surah Al-Mu’minun: 115)

 

Kita Hidup Untuk Allah

Barangkali andai kau lupa, aku tekankan semula di sini.

 

azdzariyat56

Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu. (Surat Az-Dzariyat: 56)

 

Allah ciptakan kita adalah untuk beribadah kepada Dia. Memperhambakan diri kita hanya kepada Dia. Masihkah kau ingat doa Iftitah yang biasa kita baca dalam solat kita tentang:

“Sesungguhnya sembahyangku, ibadatku, hidupku dan matiku, aku serahkan hanya pada Allah Tuhan seru sekalian alam. Sekali-kali tidaklah aku menyekutukan-Nya.”

Segala-galanya untuk Allah. Bukan untuk kesenangan hidup kita, bukan untuk apa-apa. Kita buat hanya untuk Dia.

Kalau kau rasa kau sudah beriman, tanpa Allah uji, mana mungkin Allah dapat bezakan yang benar-benar beriman dan munafik.

Andai kau beramal namun hidup masih sempit, ada kemungkinan kesempitan hidup adalah peperiksaan untuk menguji kau, dan tapis kau dalam golongan yang benar-benar beriman.

Solat

Sesungguhnya hidupku dan matiku hanya untuk Mu Ya Tuhan. [Foley]

Kalau kesempitan hidup sudah buat kau kecundang dan berputus asa untuk beramal, bermaksud kau munafik beramal kerana Dia. Sedangkan sebenarnya kau beramal untuk dapatkan kesenangan di dunia.

Definisi Berjaya Kita vs Al-Quran

Mungkin kau rasa doa kau tak makbul, kerana Allah tak dengar. Tetapi adakah kau tahu apa yang terbaik untuk diri kau berbanding Allah? Allah tahu apa yang terbaik bagi kau.

Definisi berjaya bagi kau mungkin menjadi seseorang yang mempunyai harta berlimpah ruah, ada kemewahan dunia, hati tenang dan bersyukur.

Namun andai kau rujuk dalam Al-Quran, definisi berjaya adalah berbeza daripada logik akal manusia.

 

alhaj77

Wahai orang-orang yang beriman, rukuklah serta sujudlah (mengerjakan sembahyang), dan beribadatlah kepada Tuhan kamu (dengan mentauhidkanNya), serta kerjakanlah amal-amal kebajikan; supaya kamu berjaya (di dunia dan di akhirat). (Surah Al-Haj: 77)

 

Janji Tuhan Kepada Mereka Yang Beramal Soleh

“Jangan bertanya kepada otak yang terbatas.”
Ustaz Yusuf Mansur

Kalau kau tanya, kemungkinan besar kau akan mudah terpedaya dengan hasutan syaitan, yang membuat kau berhenti beramal pada hari ini.

Syaitan sedang mencari temannya di dunia ini, dan adakah kau mahu jadi salah seorang daripadanya?

Janji Tuhan kepada mereka yang melakukan amal soleh dinyatakan dalam surah Ankabut ayat 7 hingga 11:

 

alankabut7

Dan orang-orang yang beriman serta beramal soleh sesungguhnya Kami akan hapuskan dari mereka kesalahan-kesalahan mereka, dan Kami akan membalas apa yang mereka telah kerjakan – dengan sebaik-baik balasan. (Surah Al-Ankabut: 7)

alankabut8

Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; dan jika mereka berdua mendesakmu supaya engkau mempersekutukan Daku (dalam ibadatmu) dengan sesuatu yang engkau tidak mempunyai pengetahuan mengenainya, maka janganlah engkau taat kepada mereka. Kepada Akulah tempat kembali kamu semuanya, kemudian Aku akan menerangkan kepada kamu segala yang kamu telah kerjakan. (Surah Al-Ankabut: 8)

alankabut9

Dan orang-orang yang beriman serta beramal soleh, sudah tentu Kami akan masukkan mereka dalam kumpulan orang-orang yang soleh (dengan mendapat sebaik-baik balasan). (Surah Al-Ankabut: 9)

alankabut10

Dan ada sebahagian dari manusia yang berkata: “Kami beriman kepada Allah”; kemudian apabila ia diganggu dan disakiti pada jalan Allah, ia jadikan gangguan manusia itu seperti azab seksa Allah (lalu ia taatkan manusia). Dan jika datang pertolongan dari Tuhanmu memberi kemenangan kepadamu, mereka sudah tentu akan berkata: “Kami adalah sentiasa bersama-sama kamu”. (Mengapa mereka berdusta?) Bukankah Allah lebih mengetahui akan apa yang terpendam dalam hati sekalian makhluk? (Surah Al-Ankabut: 10)

alankabut11

Dan sesungguhnya Allah mengetahui akan orang-orang yang beriman, dan sesungguhnya Ia mengetahui akan orang-orang yang munafik. (Surah Al-Ankabut: 11)

 

Hanya Kepada Allah, Kita Sembah

Itulah ikrar kau dalam surah Al-Fatihah ayat 5:

“Hanya kepada Kau, kami sembah. Hanya kepada Kau kami mohon pertolongan.”

Pasakkan diri dengan ayat itu saat kau hampir berputus asa untuk beramal.

Kau adalah hamba Dia dan hanya kepada Dia kau berharap dan sembah. Hanya kerana Dia, kau beramal pada hari ini.

Bukan semata-mata untuk kesenangan hidup kau di dunia, bukan untuk perkara selain-Nya. Hanya kerana Dia.

Putus Asa adalah tajuk ebook aku, Qisha Mikail dan Insyirah A. Artikel ini adalah salah satu petikan daripada ebook itu. Tujuan ebook itu ditulis adalah supaya saat kau selesai membacanya, kau akan berkata:

“Kerana ebook Putus Asa, aku tak berputus asa untuk beramal kepada Allah.”

Akhir kata, kami doakan segala masalah, kekecewaan hidup dan hutang kau diselesaikan Allah. Kami doakan kau dikurniakan ketenangan dalam tiap kesulitan yang sedang kau alami.


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Insyirah A

Pengasas WriteThrough - sebuah jenama yang menekankan penulisan tentang pembinaan keyakinan dan kekuatan dunia dalaman. Memperkenalkan nama TeknikBAD.com - teknik berdoa yang santai, mudah dan berkesan (dengan izin Allah).

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami