Inspirasi

Obsesi Yang Melampau Kepada Diri & Tertipu Dengan ‘Self-love’

Oleh Saifuddin Hamizan  •  10 May 2021  •  8 min baca

Obsesi Yang Melampau Kepada Diri & Tertipu Dengan “Self-Love”

Acapkali ada artis atau orang kenamaan serta “instafemes” yang bertindak diluar norma lunas-lunas perundangan atau agama. Mereka akan perbetulkan semula kesilapan itu semua dengan semena-mena dengan sebuah kemaafan secara ‘live’ mahupun rakaman di akaun sosial media mereka. Dalam bahasa mat sallehnya tindakan ini di gelar istilah sebagai “control the damage” (mengawal riuh rendah setelah berlaku sesuatu perkara yang mencalar imej). 

Amalan memohon kemaafan sudah tentulah amalan yang mulia namun ada sebahagian keadaan perkara ini dianggap terlalu murahan dan kurang bernilai di mata orang masyarakat kerana cara permohonan maaf itu seakan disengajakan atau direka-reka bagi mendapatkan sebuah ‘marketing’ (iklan) atau ‘social validation’ (perhatian masyarakat) bagi menaikkan jumlah pengikut di akaun media sosial masing-masing.

Menurut seorang ahli psikoterapi Beverly Engel pengarang buku “The Power of An Apology” mengatakan kerap kali mengungkapkan permohonan maaf tanpa tanggungjawab yang penuh akan mengakibatkan orang akan hilang hormat pada kita, kesukaran untuk percaya pada kita lagi, dan akan dipandang menjengkelkan oleh sebahagian besar orang. 

Ini kerana kemaafan bukan suatu ucapan kosong, ia dituntut dengan sebuah tanggungjawab untuk diperbetulkan. Jika memohon maaf boleh dilontar begitu sahaja, semua orang boleh menipu dan mereka-reka situasi yang menjanggalkan untuk meraih perhatian.

Sebagai contoh, jika kita ada melakukan kesalahan melanggar perintah kawalan pergerakan (PKP) yang ditetapkan oleh kerajaan Malaysia, kita bukan sekadar perlu memohon maaf kepada rakyat jelata. Kita turut perlu menyerahkan diri kita pada pihak yang berkuasa supaya kita mengambil sikap tanggungjawab untuk menanggung risiko di hukum dengan denda atau seumpamanya.

Itu barulah sebuah kemaafan yang telus dan jujur. Bukannya sekadar melemparkan kata-kata maaf yang berbunga, kemudian diselitkan sekejap dengan sindiran halus lalu menggantikan keadaan yang telah kucar kacir dengan menaikkan hantaran-hantaran di dinding akaun sosial media dengan elemen keagamaan dengan harapan peminat dan pengikut akan melupakan episod yang lepas.

Pernahkah kita terfikir mengapa sebahagian besar dikalangan kasta yang saya sebutkan di atas seperti tidak sedar-sedar diri? Adakah ia disengajakan atau suatu perancangan? Pada hemat saya, adakalanya mereka terperangkap dengan kesalah fahaman mengenai “self-awareness” (mengenali potensi diri) dan terperangkap ke dalam budaya “self-love” (sayangi diri) secara berlebihan dan menuju ke arah tingkah laku narsistik (perasan diri bagus).

Menilai Diri Dengan “Self-Awareness”(Muhasabah)

Dalam sebuah hadis Nabi saw ada bersabda : 

Diriwayatkan dari Umar bin al-Khattab, beliau mengatakan,

حَاسِبُوا أَنْفُسَكُمْ قَبْلَ أَنْ تُحَاسَبُوا، وَتَزَيَّنُوا لِلْعَرْضِ الأَكْبَرِ

“Perhatikanlah diri kalian sebelum kalian dihisab dan berhiaslah (dengan amal soleh) untuk berpakaian mulia (pada hari kiamat kelak)” – (Hadis Riwayat Imam Tirmidzi)

Firman Allah SWT:

وَفِي أَنفُسِكُمْ ۚ أَفَلَا تُبْصِرُونَ

Maksudnya: “Dan juga pada diri kamu sendiri. Maka mengapa kamu tidak mahu melihat serta memikirkan (dalil-dalil dan bukti itu)?” (Al-Zariyat:21)

Menurut Imam al-Thabari, makna “pada diri kamu” adalah wahai sekalian manusia pada diri kamu itu terdapat tanda dan pengajaran yang menunjukkan akan keesaan (kebesaran) Penciptamu. Selain itu, sesungguhnya tiada Tuhan bagimu selain daripada-Nya dan tidak ada sesuatu yang dapat menandingi ciptaan-Nya sebagaimana kamu (diciptakan). Manakala makna “tidakkah engkau melihatnya” bermaksud tidakkah engkau melihat padanya (penciptaanmu) lalu engkau berfikir akannya maka engkau mengetahui akan hakikat keesaan (kebesaran) Penciptamu iaitu Allah SWT. [Lihat: Tafsir al-Thabari, 21/519]

Kita sering digesa oleh Allah swt dan Rasul saw menerusi al-Quran dan al-Hadis yang sahih mengenai peri pentingnya menilai seluruh kehidupan pribadi kita sendiri, hinggakan seorang ulamak nusantara yang bernama Prof Dr Hamka rahimahullah taala ada mengarang buku yang berjudul Pribadi. 

Dalam buku ini, beliau memuat naikkan kisah-kisah orang yang mahsyur dikalangan tokoh filosofi barat dan tokoh umat Islam bagaimana masing-masing memerhatikan diri sendiri dan dari berintrospektif atau muhasabah dapat melahirkan buah-buah hikmah yang dapat diteladani oleh masyarakat awam jelata zaman berzaman.

Melalui pembudayaan introspektif dirilah kita mampu melawan budaya-budaya jijik yang mengangkat nilai-nilai takabbur (membesarkan diri), ujub (rasa diri lebih baik) dan riya’ (menunjuk-nunjuk diri) yang mana kesemua elemen ini ada pada budaya “self-love” yang tidak dikawal dengan baik oleh perspektif islam dan psikologi yang sahih.

Idea Psikologis Tasha Eurich : Self-Aware (Mengenal Diri) Vs Self-Deluded (Menipu Diri)

Seorang ahli psikologi organisasi yang bernama Tasha Eurich ada menulis sebuah buku yang sangat terkenal di belah Amerika Syarikat yang bertajuk Insight : The Power of Self-Awareness In A Self-Deluded World. Buku ini menyedarkan saya betapa salahnya saya selama ini dalam beranggapan bahawa kesemua yang datang dari barat mengenai budaya “self-love” itu toksik semuanya.

Rupanya, tidak semua orang barat bersetuju untuk mensensasikan budaya ini yang boleh mengakibatkan generasi manusia semakin laparkan perhatian dan sanggup berbuat apa sahaja demi mendapatkan validasi manusia lain. Ini akan memburukkan lagi keadaan seperti orang sanggup buat benda bodoh dan melanggar norma-norma manusia yang sihat akalnya bagi mendapatkan apa sahaja yang ia kehendaki.

Antara idea beliau yang saya ingin ketengahkan semasa saya membaca salah sebuah artikelnya di halaman majalah Psychology Today yang bertajuk Maslow’s Hierarchy Is the Source of Our Self-Obsession

Why the Cult of Self is hurting us more than we know :

#1- Budaya Kultuskan Pada “Diri Sendiri” (Cult of Self)

Menurut beliau pada sekitar tahun 1950-1960’an terdapat sebuah idea psikologi yang baru digemparkan iaitu oleh Abraham Maslow’s teorinya yang bertajuk “Hirarki Keperluan” yang semua orang tahu pada masa kini. Beliau beraliran Humanistik dalam psikologi, aliran ini mengutamakan nilai-nilai manusiawi dalam mengetengahkan idea psikologi beserta kajian semasa.

Akibat dari kesalah fahaman mengenai tingkatan keperluan tertinggi iaitu “self-actualization” (kepuasan diri) seperti memimpin, mengagihkan bantuan, dan berada di tampuk teratas dalam organisasi sebuah kumpulan, syarikat mahupun masyarakat.

Maka dengan salah faham ini mereka orang menyangkakan perlu berlebih-lebihan dalam menyakinkan yang diri kita betul dalam setiap perkara. Atau ada pepatah berkata “jangan peduli apa orang kata, jalan terus!” , namun bukan semua keadaan kita boleh buang apa orang kata, lagi-lagi perkataan itu bertepatan dengan norma adat budaya dan agama.

#2- Gerakan Self-Help/Esteem Besar-Besaran (The mega best-seller The Psychology of Self-Esteem)

Pada sekitar tahun 1970’an pula semakin banyak munculnya kumpulan yang menggerakkan agenda ‘self-esteem’ atau motivasi diri yang didakwa dari aliran psikologi walhal ianya bukan psikologi sebenar yang dikaji menurut sains. Ia cumalah dakwaan yang disemai dengan sangkaan pseudosains (sains yang tipu). Gerakan ini mengajar pengikut kesemuanya mengungkapkan “I Love Me” berkali-kali dan mantra yang seumpamanya untuk mengawal tindakan audien supaya audien boleh ikut apa sahaja yang diarahkan oleh ketua Gerakan ini.

#3- Kesan Mantra “Saya Adalah Orang Penting” Kepada Budaya Warga Amerika

Satu kajian yang telah berjalan lama menganalisis respons pelajar sekolah menengah terhadap pernyataan “Saya orang penting” selama hampir empat dekad. Pada tahun 1950-an, hanya 12% yang setuju, tetapi pada tahun 1989, jumlah itu meningkat menjadi sekitar 80%. Meneruskan trend, tahap narsistik pelajar kolej (diukur dengan pernyataan seperti “Saya tidak akan pernah berpuas hati sehingga saya mendapat semua yang saya layak dapat”) meningkat 30% penuh antara pertengahan tahun 1980-an dan pertengahan 2000-an.

Kesan Buruk Pembudayaan “Self-Love” Yang Berlebihan

Menurut Tasha Eurich sekali lagi, antara kesan yang mendalam ialah apabila kita terlalu memaksa-maksa orang yang lemah tahap optimistik dan kemahiran dalam sesuatu bidang bukan boleh membantunya menjadi orang yang lebih baik, malah lebih menyakitkan perasaannya dan tahap motivasi kendirinya. 

Ditambah lagi apabila orang yang tahap optimistiknya tinggi, ia akan menyalah gunakan dalam hubungan personal dengan pasangan hidup, kawan karib dan hubungan di tempat kerja yang lebih mementingkan diri, sanggup berbuat jenayah asalkan dapat, dan tidak pedulikan kesihatan mental orang sekeliling.

Kemudian orang yang terlalu membudayakan nilai narsistik yang tinggi tidak akan berasa sensitif pun dengan kesusahan orang ramai. Contohnya orang ramai diperketatkan dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tetapi hanya kerana kita ada kelebihan sedikit dengan ‘kabel besar’ atau ber’kayangan’ langsung kita tiada perasaan empati kepada orang lain dan mudah sahaja melanggar itu dan ini sambil memuat naik hantaran di akaun sosial media tanpa segan silu.

Tinggalkan Budaya “Kultuskan Diri Sendiri”

Berikut adalah cara-cara yang di cadangkan oleh Tasha Eurich apabila kita sudah hampir terjebak dengan budaya narsistik yang tidak sihat ini, iaitu :

#1- Jadilah Seorang Yang Menyampaikan Maklumat, Bukan Menaikkan Diri Sendiri

Apabila kita masuk ke dalam sosial media, banyakkan berkongsi mengenai konten (pengisian) yang bermanfaat berbanding banyak menaikkan hantaran mengenai diri sendiri, kerana menurut Prof Mor Naaman mereka yang suka berkongsi ilmu atau apa-apa kemahiran yang ada lebih banyak hubungan kawan yang organik di sosial media berbanding mereka yang suka berkongsi perihal diri sendiri. 

#2- Carilah Orang Yang Rapat Yang Boleh Memberikan Kritikan Membina

Dalam kita berkawan dan berhubung dengan pelbagai orang dalam kehidupan seharian, carilah beberapa orang yang boleh memberitahukan perkara sebenar mengenai diri kita. Yang boleh mengkritik idea yang kita ada supaya kita sentiasa berjaga-jaga untuk tidak terlalu yakin dengan setiap apa yang kita lakukan. Apatah lagi untuk orang yang terkenal, carilah sahabat yang boleh menegur dengan baik bukannya pemuja-pemuja yang mahukan “hiburan” dari anda, bukan diri anda sebenar.

#3- Fokus Untuk “Self-Acceptance” (Terima Diri Sendiri)

Terima diri sendiri yang dimaksudkan disini ialah memahami objektif hidup kita sendiri berdasarkan realiti bukannya fantasi. Beri peluang pada diri kita untuk berasa tidak sempurna, dan bina keputusan dalam hidup berdasarkan nilai harga diri yang sebenar.

Kajian menunjukkan, orang yang memiliki tahap penerimaan diri sendiri yang tinggi boleh mengecapi kebahagiaan dan kepuasan dalam hidup selagi mana ia menerima harga diri secara dalaman (internal) dan tidak terlalu bergantung kepada akaun sosial media atau harta atau pangkatnya untuk berasa “self-acceptance”.

Rujukan :

  1. IRSYAD AL-HADITH SIRI KE-102: SIAPA YANG MENGENALI DIRINYA MAKA DIA MENGENALI ALLAH https://muftiwp.gov.my/artikel/irsyad-al-hadith/1132-irsyad-al-hadith-siri-ke-102-siapa-yang-mengenali-dirinya-maka-dia-mengenali-allah
  2. Introspeksi Diri, Akhlak yang Terlupa https://muslim.or.id/8067-introspeksi-diri-akhlak-yang-terlupa.html
  3. Stop saying ‘I’m sorry.’ Research says it makes others think less of you—here’s what successful people do instead https://www.cnbc.com/2019/04/16/saying-im-sorry-can-make-people-think-poorly-of-you-research-heres-what-successful-people-do-instead.html
  4. Maslow’s Hierarchy Is the Source of Our Self-Obsession https://www.psychologytoday.com/ca/blog/the-power-insight/201711/maslows-hierarchy-is-the-source-our-self-obsession

Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Saifuddin Hamizan

Lepasan Sijil Bahasa Arab di Institut Pengajian Tinggi Islam Perlis dan meneruskan sijil Diploma Syariah Islamiah di Kolej Pengajian Islam Johor (Marsah). Penulis buku Pematah Hati Yang Tak Dirindukan (Mustread) & Cinta (PTS SDN BHD)

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami