Ibadah

Kaabah Bukan Tempat Mempromosikan Produk

Oleh Natirah Azira  •  2 Nov 2022  •  3 min baca

Bersihkanlah Rumahku (Kaabah dan Masjid Al-Haraam dari segala perkara yang dilarang) untuk orang-orang yang bertawaf, dan orang-orang yang beriktikaf (yang tetap tinggal padanya), dan orang-orang yang rukuk dan sujud” (Surah Al-Baqarah, 2:125)

Kaabah ialah tempat suci dalam Islam maka umat Islam diingatkan agar menjaga kesucian tempat ibadah mereka. Kata Ashmawi, penyucian atau al-Nazafah ini bukan bermakna suci daripada sudut zahir sahaja bahkan suci daripada sudut ma’nawiyah.

Hatta, orang yang memakan bawang yang mulutnya berbau juga dilarang daripada mendekati masjid dek bimbang mengganggu jemaah yang hadir, maka perbuatan mengganggu ini boleh ditafsirkan apa sahaja, sama ada dalam bentuk bau-bauan, kekotoran, apatah lagi perilaku yang boleh mengundang ketidakselesaan orang lain yang ingin melakukan ibadah seperti mengambil gambar secara keterlaluan.

Namun, baru-baru ini tular berita jemaah yang datang ke tanah suci mempromosikan produk di hadapan Kaabah.

Perniagaan di dalam masjid dan perkara seumpamanya seperti mempromosikan barang jelas dilarang dalam Islam sehingga ada ancaman daripada Allah kepada perniagaan yang dijalankan di dalam masjid.

Diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

Maksudnya: Sekiranya kamu melihat seseorang yang menjual atau membeli di dalam Masjid, maka katakan padanya, “Allah tidak akan menguntungkan perniagaan kamu” (Riwayat al-Tirmizi, no.1321)

Keseluruhan masjid adalah dilarang berjual beli melainkan ruang-ruang yang didirikan asing daripada dewan solat dan tempat ibadah seperti tempat letak kereta dan dewan makan, namun dengan syarat ia tidak melalaikan orang lain daripada ibadah dan tidak mengganggu waktu solat.

Walau bagaimanapun, rumah Allah adalah sesuci-suci tempat yang tidak perlu dibawa dunia ke dalamnya. Tujuan hadir ke tempat ibadah tidak lain tidak bukan untuk beribadah bukan? Maka mengapa masih sibuk tentang dunia ketika berada di dalam masjid?

(Ibadat itu dikerjakan oleh) orang-orang yang kuat imannya yang tidak dilalaikan oleh perniagaan atau berjual-beli daripada menyebut serta mengingati Allah…” (Surah An-Nur, 24:37)

Imam Al-Qurtubi menjelaskan perihal perniagaan disebut secara jelas dalam ayat di atas kerana perniagaan ialah benda terbesar yang akan melalaikan manusia daripada beribadat kepada Allah SWT.

Di zaman serba canggih, cukup mudah untuk terjerumus dalam perangkap memperagakan semua perkara di media sosial khususnya promosi barang di tempat-tempat yang tidak sesuai demi melariskan perniagaan.

Walau bagaimanapun jika menurut sangka baik, jika si pelaku benar-benar tidak tahu tentang kewajaran dan hukum berjual-beli dalam masjid, maka jadikanlah teguran yang timbul di media sosial sebagai satu jalan untuk menambah ilmu dan memperbaiki diri ke arah lebih baik. Semoga Allah menambahkan keuntungan dan rezeki dengan jalan keberkatan.

Rujukan:

Abdulrahman. (2018). Bayan Linnas Siri Ke-152: Konsep Kebersihan Praktikal Dalam Kesempurnaan Haji. Mufti Wilayah Persekutuan.

Muhammad Alfilfilany. (2019). Al-Kafi #1306: Had Sempadan Laranagn Berniaga Di Dalam Masjid. Mufti Wilayah Persekutuan.


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Natirah Azira

Beliau merupakan graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Al-Quran dan Sunnah. Pernah mendalami bidang Psikologi selama dua tahun dan sekarang sedang menyambung pengajian peringkat Ijazah Sarjana dalam bidang Kaunseling di Universiti Sains Malaysia.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami