Inspirasi

Ma, Kenapa Allah Bagi Kita Miskin?

Oleh Rusydi  •  9 Oct 2015  •  4 min baca

Motosikal ditolak perlahan. Dalam terik mentari.

Wanita separuh abad itu kelihatan sedikit lelah. Tayar motosikalnya pancit. Anak perempuannya berbaju sekolah, darjah lima, membontotinya dari belakang. Sesekali dilihat membantu si ibu menolak sama.

Destinasi mereka ke bengkel berdekatan. Anggaran 2 atau 3 kilometer lagi di depan. Sampai di pertengahan jalan, ibunya berhenti. Lenguh dan letih kaki. Menyeka peluh yang membasahi sebahagian tudungnya.

“Ma, jauh lagi ke?”

Si anak bertanya.

“Insya-Allah, dah dekat. Sikit lagi.”

Ayatnya sedikit memujuk si kecil yang juga berpeluh-peluh. Jam dah 3.30 petang. Si anak membuka beg sekolahnya, mengeluarkan botol air mineral. Diunjukkan pada ibu.

“Ma, minumlah.”

Si ibu menolak.

“Kamulah yang minum. Panas ni, nanti pitam sakit kepala.”

Namun, si anak tak mahu minum. Kasihan pada si ibu.

“Ma, boleh saya tanya? Harap Ma tak marah.”

Ibunya mengangguk. Cuba senyum dalam panasnya cuaca.

“Kenapa kita tak macam orang lain? Orang lain ada kereta, ada van. Tak berpanas, tak kena hujan. Cepat dapat sampai ke sekolah.

Tapi, sejak saya mulai sekolah sampai sekarang, motor yang selalu meragam inilah yang Ma guna tak pernah tukar.”

Si ibu sedikit berkerut kening. Dilihat sekali imbas pada motosikalnya. Memang dah lama. Model pun lama. Lampu belakang yang pecah tidak berganti. Meter pun sudah tidak berfungsi. Harapkan enjin yang masih boleh diguna.

“Sayang, bukan Ma tak nak beli kereta. Tapi, inilah yang keluarga kita mampu. Sejak ayah strok tak lagi dapat bekerja, asalkan dapat makan dan dapat sekolahkan kamu, itu lebih penting pada Ma.”

Anak kecil itu diam seketika, lantas menyambung kata.

“Ma, kenapa Allah bagi kita miskin? Tak ada duit macam orang lain?”

Ibunya tersenyum.

“Bukan Allah bagi kita miskin. Tapi, Allah bagi kita ujian. Ujian juga suatu nikmat hidup sebenarnya. Ujian tanda Dia masih sayang. Ujian tanda Dia nak bawa kita lebih dekat pada-Nya. Angkat darjat tinggi di sisi-Nya. Ujian, tingkat iman.

Tahu tak? Syurga Allah itu untuk orang yang sabar. Neraka itu pula untuk orang yang terburu-buru dan gelojoh — nak nikmat, nak senang, nak kaya segera, nak rasa segalanya dalam dunia kalau boleh.

Sayang, sebenarnya kita kaya. Walaupun tidak kaya dari segi harta benda, tidak ada kereta, tidak ada rumah besar. Tapi, kita masih bersama. Ma ada kamu, ada anak-anak, ada suami walaupun sakit.

Cukup bagi Ma dapat buat anak-anak dan suami senyum bahagia walaupun hanya dapat siapkan makanan ringkas dengan lauk ringkas. Makan nasi dengan telur saja sekalipun, tapi bila semua kenyang, boleh belajar elok-elok. Itulah bahagia pada Ma.

Duit penting, tapi bukan segalanya pada Ma. Sungguh, Ma mahu bahagiakan keluarga Ma.

Tapi, Allah lebih menghendaki. Rezeki kita berbeza-beza. Duit sikit yang ada pada Ma, yang Ma dapat dari kerja jahit baju, memang tak cukup untuk sara kamu.

Tapi, pernahkah berhari-hari kamu kebuluran tiada makanan? Tidak pernah. Pernahkah kamu pakai pakaian sekolah compang-camping, kasut bertampal ke sekolah? Tidak pernah.

Kerana tiap ketika Ma minta pada Allah, supaya Allah jaga kita sekeluarga. Allah yang cukupkan segalanya. Sungguh, dengan kudrat Ma ini, pasti tidak mampu untuk memberikan kamu keselesaan.

Tapi, dalam tiap doa, andai Ma tak mampu buat anak-anak dan suami bahagia, Ma mohon Allah yang bahagiakan.

Selesa, bahagia, tenang. Semua dari Allah..”

Bergenang air mata ibu tua itu sambil menolak kembali motosikalnya. Si anak memeluk pinggang ibunya. Terusik ke dalam kalbu kecilnya. Terhenti seketika langkah si ibu.

“Ma, maafkan saya. Sungguh kita miskin, namun saya sayang keluarga kita. Sayang Ma dan ayah tidak pernah kurang. Maafkan saya bertanya tadi.

Sebenarnya saya terlalu sedih melihat Ma menolak motosikal dengan penuh susah payah dalam panas terik ni.

Tak sampai hati…tak sampai hati…

Allah…tolonglah kami…tolonglah ibuku ini…mohon tolong…”

Si kecil itu menangis berderaian air mata. Tersekat-sekat suaranya. Melepaskan pelukan pada pinggang ibunya. Cepat-cepat bantu tolak bersama. Bersungguh-sungguh dengan mata yang berkaca-kaca.

Kalau ibunya mampu tabah, dia juga mahu bertabah. Tegarlah sekuat karang.

Budak itu masih kecil, tapi hidup susah buatnya cepat matang dalam memahami erti kehidupan.

Nabi s.a.w. pernah berlapar hingga ikat perut, hidup susah. Namun, yakin Allah bersama. Suatu saat, pasti ada senangnya. Andai bukan di dunia, pasti di akhirat sana.

Yakin, bila Tuhan habis menduga, bila sabar sudahnya Syurga. Bila syukur, ganjarannya Jannah. Pipi si ibu tua sudah basah ditimpa air mata.


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Rusydi

Muhammad Rusydi adalah seorang penulis yang banyak berkongsikan tentang kehidupan. Penulisan banyak menyentuh hati dan memberi kesedaran.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami