Keluarga

Persediaan Ibu Bapa Dalam Menghadapi Persekolahan Anak-Anak

Oleh Fizah Lee  •  23 Dec 2019  •  3 min baca

Tinggal lagi seminggu sebelum musim cuti sekolah melabuhkan tirainya. Buat murid-murid, pastinya mereka sedang menghargai setiap detik yang ada untuk bercuti dan melakukan perkara yang sering berada dalam fikiran untuk dilakukan tatkala menghadapi musim cuti.

Berbeza pula dengan ibu bapa atau penjaga mereka, pastinya sedang membuat persiapan terakhir untuk anak-anak yang akan menghadapi permulaan baru mereka di sekolah.

Buat ibu bapa yang baru pertama kali menghantar anak-anak mereka ke sekolah sama ada di tadika mahupun darjah satu, pastinya perasaan yang ada bercampur-baur. Sebak melihat tumbesaran mereka sehingga ke saat ini, berdebar untuk melepaskan mereka ke peringkat persekolahan dan takut dengan penerimaan anak-anak terhadap sekolah serta banyak lagi.

Jadi, untuk entri kali ini, Tzkrh akan berkongsi sedikit tips buat para ibu bapa bagi menghadapi persediaan anak-anak yang memasuki alam persekolahan.

#1 – Tanam Minat Dalam Diri Anak-Anak

Sesetengah pelajar, mereka tidak suka ke sekolah kerana bagi mereka alam persekolahan merupakan alam pembelajaran yang penuh dengan buku teks dan guru yang pelbagai ragam dan telah meragut kebebasan mereka untuk bermain di rumah.

Oleh itu, menjadi tanggungjawab ibu bapa untuk membetulkan minda anak-anak dengan memberitahu perkara yang seronok yang akan dialami jika berada di sekolah.

Di sekolah juga, mereka akan belajar secara santai, mempunyai ramai kawan dan memperoleh pengalaman bermain dengan penuh keseronokan, bukan sahaja di padang tetapi juga melalui tugasan-tugasan di dalam kelas.

Ia bergantung kepada bagaimana kreativiti anda untuk menanam minat dalam diri anak-anak agar mereka tidak merengek pada hari pertama persekolahan.

#2 – Membeli Barang Persekolahan

Ini merupakan babak paling menyeronokkan buat anak-anak kerana mereka akan membeli-belah barang-barang persekolahan yang baru bagi menghadapi musim yang baru.

Buat ibu bapa, ini boleh dijadikan sebagai hadiah kepada anak-anak di atas prestasi yang ditunjukkan sepanjang setahun di sekolah dan untuk memberikan semangat kepada mereka agar melakukan yang lebih baik pada tahun baru.

Walau bagaimanapun, perlu diingatkan agar tidak mengundang kepada pembaziran yang melampau. Jika kasut sekolah tahun ini masih elok dan dalam keadaan baik, lebih baik untuk terus menggunakannya. Anak-anak belajar daripada perlakuan ibu bapa juga. Oleh itu, untuk mengajar mereka berjimat, ia juga perlu dimulai dari dalam diri anda.

#3 – Jangan Takutkan Anak-Anak

Kebanyakan ibu bapa yang risau dengan perangai anak-anak di sekolah, mereka pastinya akan memberi nasihat dalam bentuk yang menakutkan mereka seperti:

“Adik jangan nakal-nakal tau, nanti cikgu rotan.”

Banyak lagi ungkapan yang diberikan ibu bapa sehingga mereka akan betul-betul berkelakuan baik sewaktu di sekolah namun dalam masa yang sama berasa takut seperti takut dengan guru.

Sebab itu, kebanyakan murid yang membuang air kecil atau besar di dalam kelas sebenarnya takut untuk meminta izin dengan guru.

Oleh itu, berilah nasihat dalam bentuk dan kata-kata yang baik bukannya yang boleh menakutkan mereka. Ia sekali gus untuk membentuk minda mereka agar tidak mudah takut dengan manusia tetapi menghormati mereka.

Kesimpulan

Alam persekolahan ialah perkara yang paling menyeronokkan buat pelajar dan ia akan menjadi perkara paling dirindui apabila sudah tamat persekolahan nanti.

Oleh itu, menjadi tanggungjawab ibu bapa juga untuk membantu pembentukan minda mereka agar tidak takut atau malas apabila hendak ke sekolah.


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Fizah Lee

Merupakan seorang graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Bahasa Melayu untuk Komunikasi Antarabangsa. Seorang yang suka membaca bahan bacaan dalam bidang sejarah dan motivasi

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami