Hukum

Perlukah Menggantikan Puasa Ahli Waris Yang Meninggal Dunia

Oleh Fieyzah Lee  •  12 Feb 2020  •  3 min baca

Kita sedang berada di bulan Jamadil Akhir. Tinggal beberapa bulan sahaja lagi untuk menjengah Ramadan. Pastinya, ramai umat Islam yang sedang berusaha menunaikan hutang mereka terhadap puasa yang ditinggalkan.

Hutang puasa adalah wajib ditunaikan kerana ia adalah hak kepada Allah. Jika hutang puasa yang ditinggalkan sudah bertahun-tahun, maka wajib ke atasnya untuk membayar fidyah, iaitu bayaran denda yang dikenakan ke atas mereka yang mempunyai hutang puasa yang tertunggak.

Walau bagaimanapun, mungkin ada ahli waris yang tidak sempat menunaikan hutang tersebut kerana telah meninggal dunia. Dalam isu ini, Islam telah menggariskan beberapa panduan yang betul bagi menghadapi situasi ini.

مَنْ مَاتَ وَعَلَيْهِ صِيَامٌ صَامَ عَنْهُ وَلِيُّهُ

Maksud: “Barangsiapa meninggal dunia dan ke atasnya ada puasa (yang tertunggak), maka walinya berpuasa bagi pihaknya.” (Hadis Riwayat Bukhari, no. 1952)

Melalui hadis yang telah diriwayatkan oleh Saidatina ‘Aisyah di atas, ahli warisnya perlu membantu menunaikan hutangnya yang tertunggak. Disebabkan itu, kebanyakan orang akan memberi tips supaya meninggalkan nota yang berkaitan hutang-hutang anda agar saudara-mara anda boleh mengambil perhatian akannya.

Pendapat ini juga telah dipersetujui oleh jumhur ulama termasuk Abu Tsaur, Imam Ahmad, Imam Asy-Syafi’e dan Imam Nawawi.

Jika hutang puasa itu banyak, maka boleh dibahagi-bahagikan sesama ahli waris seperti antara anak lelaki dan anak perempuannya atau saudara lelakinya mengikut kemampuan masing-masing. Ia boleh dilakukan dalam hari yang sama atau berlainan.

Sebagai contoh, anak lelaki dan anak perempuannya ingin sama-sama menggantikan puasanya pada hari Isnin. Maka, ia dikira sebagai dua hari.

Puasa ganti itu hendaklah diniatkan ke atas si mati bagi membayar hutangnya.

“Sahaja aku puasa esok hari kerana mengganti fardhu Ramadan (sebutkan nama si mati) kerana Allah Ta’alaa.”

Tambah Imam Nawawi RA melalui kitabnya Al-Minhaj bahawa – bagi situasi orang yang meninggalkan puasa kerana sakit (uzur) yang berpanjangan sehinggalah dia meninggal dunia, maka tidak perlu menggantikan puasa ke atasnya dan juga bayaran fidyah tidak dikenakan.

Untuk situasi kedua di mana seseorang itu meninggalkan puasa namun tidak sempat untuk menggantikannya sedangkan mempunyai waktu dan kesihatan – para ulama membahaskan bahawa warisnya perlu menggantikan puasa ke atasnya.

Dan jika tidak mahu atau tidak mampu, maka perlu membayar fidyah baginya dengan cupak beras berdasarkan bilangan hari yang ditinggalkan. Fidyah boleh dibayar dengan harta si mati atau jika beliau tidak meninggalkan harta, maka ahli waris boleh menggunakan harta sendiri untuk membantu melunaskan hutangnya.

Fidyah boleh dibayar secara terus kepada golongan yang layak atau boleh dilakukan di mana-mana pejabat atau majlis agama negeri masing-masing, pusat zakat atau di laman web e-zakat.

Jika diyakini si mati merupakan seorang muslim yang sentiasa berpuasa atau telah melunaskan puasanya di awal waktu (sejurus selepas selesai Ramadan), maka tidak perlu risau akan hutangnya yang dirasakan tertunggak.

Kesimpulan

Puasa boleh diganti oleh ahli waris yang terdekat, namun jika tidak diganti oleh waris si mati, maka wajib diambil dari harta pusaka si mati untuk membayar fidyah tersebut.

Wallahu a’alam.

Baca juga:
Bayaran Fidyah Bagi Yang Meninggal Dunia

Rujukan:
Mufti Wilayah
Rumaysho.com


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Fieyzah Lee

Fieyzah Lee

Merupakan seorang pelajar Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Bahasa Melayu untuk Komunikasi Antarabangsa. Seorang yang suka membaca bahan bacaan dalam bidang sejarah dan motivasi

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami