Sejarah

Perang Bani Quraizah – Kisah Pengkhianatan Kaum Yahudi Di Bulan Zulkaedah

Oleh Fizah Lee  •  15 Jul 2019  •  6 min baca

Jika anda seorang yang menggemari sejarah, pasti anda sudah terbiasa dengan kisah peperangan sejak zaman dahulu, baik dari sisi Islam atau tidak.

Perang dalam Islam bukanlah bukti kekejaman atau sikap Islam untuk mendapatkan sesuatu. Malah, banyak kajian sejarah yang mengatakan bahawa, umat Islam pada zaman dahulu akan mencadangkan perbincangan untuk mendamaikan situasi contohnya dengan mengikat perjanjian.

Sebagai contoh, kisah perjanjian Hudaibiyyah yang cuba untuk mengamalkan gencatan senjata selama sepuluh tahun, dengan erti kata lain berusaha sebaik mungkin untuk mengelakkan peperangan.

Walau bagaimanapun, peperangan demi peperangan telah berlaku untuk menghalang umat Islam meluaskan dakwah dan ajarannya. Malah, kisah peperangan yang diceritakan adalah disebabkan oleh pihak Yahudi sendiri yang sentiasa mencari peluang untuk menghalang penyebaran Islam.

Kita boleh melihat, bagaimana Allah menerangkan sikap dan kekerasan kaum Yahudi yang sentiasa memutar belitkan sesuatu perkara sehingga mampu mengundang kemarahan sesiapa sahaja sekali gus menguji keimananan umat Islam.

مِّنَ الَّذِينَ هَادُوا يُحَرِّفُونَ الْكَلِمَ عَن مَّوَاضِعِهِ وَيَقُولُونَ سَمِعْنَا وَعَصَيْنَا وَاسْمَعْ غَيْرَ مُسْمَعٍ وَرَاعِنَا لَيًّا بِأَلْسِنَتِهِمْ وَطَعْنًا فِي الدِّينِ ۚ وَلَوْ أَنَّهُمْ قَالُوا سَمِعْنَا وَأَطَعْنَا وَاسْمَعْ وَانظُرْنَا لَكَانَ خَيْرًا لَّهُمْ وَأَقْوَمَ وَلَـٰكِن لَّعَنَهُمُ اللَّـهُ بِكُفْرِهِمْ فَلَا يُؤْمِنُونَ إِلَّا قَلِيلً

“Di antara orang Yahudi, ada yang mengubah (atau menukar ganti) Kalamullah (isi Kitab Taurat), dari tempat dan maksudnya yang sebenar, dan berkata (kepada Nabi Muhammad): “Kami dengar.” (sedang mereka berkata dalam hati): “Kami tidak akan menurut.” (mereka juga berkata): “Tolonglah dengar, tuan tidak diperdengarkan sesuatu yang buruk,” serta (mereka mengatakan): “Roeina” (Tujuan kata-kata mereka yang tersebut) hanya memutar-belitkan perkataan mereka dan mencela agama Islam. Dan kalaulah mereka berkata: “Kami dengar dan kami taat, dan dengarlah serta berilah perhatian kepada kami,” tentu yang demikian itu lebih baik bagi mereka dan lebih betul. Akan tetapi Allah melaknat mereka dengan sebab kekufuran mereka. Oleh itu, mereka tidak beriman kecuali sedikit sahaja (di antara mereka). (Surah An-Nisa, 4:46)

Sebuah kisah peperangan yang pernah berlaku di antara umat Islam dan kaum Yahudi ialah Perang Quraizah. Perang ini telah berlaku pada akhir bulan Zulkaedah. Ada pendapat yang mengatakan bahawa ia telah berlaku pada tahun ke-5 Hijrah, iaitu selepas perang Ahzab. Manakala ada pendapat lain mengatakan bahawa ia telah berlaku pada tahun ke-6 Hijrah.

Bulan Zulkaedah merupakan antara bulan haram selain daripada Muharram, Rejab dan Zulhijjah. Ia digelar demikian kerana pada bulan ini, orang Arab hanya duduk berehat di rumah dan tidak boleh melakukan perang.

Walau bagaimanapun, perang Bani Quraizah telah berlaku pada bulan ini sejurus selepas Perang Ahzab atau Perang Nadir yang telah berlaku di antara kaum Yahudi dan Muslimin.

Dalam Perang Nadir, kaum Yahudi ini dikatakan telah melanggar aturan dan janji yang telah ditetapkan oleh kedua belah pihak, iaitu antara Muslim dan ketiga-tiga kabilah Yahudi yang dikenali sebagai Bani Nadhir, Bani Quraizah dan Bani Qainuqa’.

Di antara isi perjanjian tersebut ialah:

#1 – Orang Yahudi dan Muslim boleh mengatur dan menganut agama masing-masing

#2 – Orang Yahudi dan Muslim wajib menolong satu sama lain jika Madinah diserang dari luar

#3 – Kedua pihak tidak boleh berbuat jahat, saling memberi peringatan dan membuat kewajipan yang ditetapkan

Pada awalnya, Bani Nadhir telah melanggar isi perjanjian tersebut dengan memerangi umat Islam. Rasulullah dengan beberapa orang askar Muslim telah mengepung kaum Bani Nadhir. Ada riwayat mengatakan bahawa, pengepungan dan peperangan tersebut berlaku selama 15 hari dan akhirnya kaum Bani Nadhir dikatakan telah kalah.

Walau bagaimanapun, akibat tidak dapat menerima kekalahan tersebut, kaum ini telah meminta bantuan kabilahnya yang lain, iaitu Bani Quraizah untuk memerangi Muslim dengan melanggar perjanjian-perjanjian tersebut.

Disebabkan oleh hasutan yang telah diasak oleh Huyay bin Akhtab selaku ketua Bani Nadhir akhirnya menyebabkan mereka bersetuju untuk melanggar perjanjian tersebut.

Terjadinya Perang Quraizah

Kaum Muslimin yang pada awalnya telah meletakkan senjata, kembali ke medan perang disebabkan oleh pengkhianatan yang telah dilakukan oleh Bani Quraizah.

Hal ini adalah disebabkan oleh kedatangan Malaikat Jibril ketika Nabi SAW sedang mandi di rumah Ummu Salamah. Malaikat Jibril bertanya kepada Rasulullah dengan pernyataan berikut:

قَدْ وَضَعْتَ السِّلَاحَ وَاللَّهِ مَا وَضَعْنَاهُ فَاخْرُجْ إِلَيْهِمْ قَالَ فَإِلَى أَيْنَ قَالَ هَا هُنَا وَأَشَارَ إِلَى بَنِي قُرَيْظَةَ

“Kalian sudah meletakkan senjata? Demi Allah, kami belum meletakkannya, keluarlah menuju mereka! Rasulullah SAW bertanya: “Kemana?” Jibril menjawab: “Ke arah sini (sambil menunjukkan ke arah Bani Quraizah).” (Hadis Riwayat Bukhari)

Apabila mendengar arahan daripada Malaikat Jibril, baginda terus memberitahu kepada kaum Muslimin yang lain untuk segera mengepung Bani Quraizah. Walaupun pada waktu itu mereka berada dalam keadaan yang lemah dan sejuk disebabkan oleh musim sejuk yang sedang melanda, namun kuatnya iman mereka terhadap Allah sehingga sanggup untuk mempertahankan jihad Islam.

Menurut pendapat yang telah dinyatakan melalui kitab as-Siratun Nabawiyah Fi Dhau’il Mashadiril Ashliyyah, pengepungan dan peperangan kali ini telah disertai oleh 3000 orang muslim selama 25 hari.

Pada hari ke-25, kaum Bani Quraizah telah menyerah diri, dengan erti kata lain menyerah kalah dalam peperangan kali ini, sama seperti perang Nadhir yang berlaku sebelumnya.

Rasulullah SAW telah memberikan tugas kepada Sa’ad bin Mu’adz untuk menjatuhkan hukuman kepada mereka.

Iktibar Daripada Perang Quraizah

Penulis melihat kisah ini sebagai sebuah kisah perjuangan dan jihad yang sangat mencabar dalam kalangan umat Islam.

Kita mungkin pernah mendengar kisah Perang Badar yang berlaku dalam panas terik bulan Ramadan. Manakala, untuk peperangan kali ini pula, ia berlaku sejurus selepas perang Ahzab atau Nadhir dalam musim sejuk.

Jihad demi jihad yang telah dilakukan oleh umat Islam terdahulu menunjukkan betapa mereka tidak pernah berkira dengan Islam dan sentiasa mencari peluang untuk berbakti kepadanya. Syahid merupakan matlamat utama yang telah diletakkan di hati mereka tanpa mengira penat dan lelah serta tanpa mengenal erti kesusahan.

Pengorbanan yang telah mereka lakukan untuk melihat Islam dan keharmoniannya sampai kepada kita sehingga hari ini perlu dihargai dan sentiasa dijaga agar tidak dicemari dengan peperangan moden pada masa kini, iaitu fitnah-fitnah ke atas umat Islam.

Kita dapat lihat, banyak kisah yang berlaku dan fitnah yang telah dilemparkan oleh kaum yang memerangi Islam demi melihat kejatuhannya semula. Bahkan, apabila dilihat dari sudut dan sisi kita sendiri, fitnah yang cuba dilemparkan itu sebenarnya datang daripada perlakuan umat Islam sendiri.

Kaum Yahudi sentiasa mencuba untuk mencari peluang dan kelemahan umat Islam dari sekecil-kecil perkara sehinggalah sebesar-besarnya untuk menjatuhkan kita.

Sikap dan sifat ini boleh dilihat sejak zaman-berzaman lagi apabila mereka cuba menolak Nabi Muhammad yang datangnya daripada bangsa Arab dengan alasan mereka ini golongan dan bangsa yang lebih baik dari Arab. Hal ini kerana, bangsa Arab dikenali dengan sikapnya yang kasar dan dianggap tidak sesuai untuk menerima kenabian.

Oleh itu, sebagai umat Islam yang hidup pada akhir zaman dan sedang mengecapi keharmonian Islam tanpa peperangan hasil daripada darah perjuangan umat terdahulu, kita perlu sentiasa berusaha untuk menjaga kesucian dan keharmonian Islam agar ia tidak mudah dipandang serong oleh sesiapa sahaja.

Jangan mudah untuk memberikan peluang kepada golongan yang memerangi Islam untuk mencari kesalahan kita dan dijadikan fitnah serta bahan dalam memerangi minda umat Islam.

إِنَّ الَّذِينَ يَكْفُرُونَ بِآيَاتِ اللَّـهِ وَيَقْتُلُونَ النَّبِيِّينَ بِغَيْرِ حَقٍّ وَيَقْتُلُونَ الَّذِينَ يَأْمُرُونَ بِالْقِسْطِ مِنَ النَّاسِ فَبَشِّرْهُم بِعَذَابٍ أَلِيمٍ

Mafhum: “Sesungguhnya orang-orang yang kufur ingkar akan ayat-ayat keterangan Allah dan membunuh nabi-nabi dengan jalan yang tidak benar, serta membunuh orang-orang yang menyeru manusia supaya berlaku adil, maka sampaikanlah berita yang menggembirakan mereka dengan azab seksa yang tidak terperi sakitnya.” (Surah Al-Imran, 3:21)

Rujukan: Kisah Yahudi


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Fizah Lee

Merupakan seorang graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Bahasa Melayu untuk Komunikasi Antarabangsa. Seorang yang suka membaca bahan bacaan dalam bidang sejarah dan motivasi

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami