Gaya Hidup

Pendapatan Pasif Hakiki

Oleh Adly  •  10 Sep 2014  •  4 min baca

Saya membaca hampir semua buku nukilan Robert Kiyosaki. Salah satu karya beliau yang paling popular ialah Rich Dad Poor Dad yang diterjemah dalam banyak bahasa di seluruh dunia. Di antara pengajaran di dalam buku tersebut ialah kita perlu berusaha untuk keluar dari cengkaman kewangan yang menjerat kita.

Kita kena pastikan agar pendapatan pasif kita dapat menampung segala perbelanjaan bulanan kita. Pendapatan pasif ini sangat ditekankan oleh beliau kerana ia adalah salah satu bentuk pendapatan yang berterusan tanpa kita perlu berpenat lelah, hanya perlu kerja sekali tetapi pendapatan yang kita perolehi adalah berkali-kali.

Robert Kiyosaki

Robert Kiyosaki dengan buku keluaran beliau yang laris. [Bonny Business]

Contohnya jika kita menulis buku dan menjual buku tersebut, maka kita akan mendapat royalti selagimana buku tersebut masih mampu dijual. Walaupun kita telah meninggal dunia! Sedangkan kita hanya menulis buku itu hanya sekali sahaja. Penerangan beliau sungguh membuka mata dan minda ramai pembaca siri buku beliau.

Bagaimana Pendapatan Pasif Yang Hakiki?

Agama Islam mengajar kita melihat pendapatan pasif lebih daripada itu. Sebagai seorang muslim, kehidupan selepas mati itu lebih penting kerana ia adalah kekal abadi.

Apabila mati anak Adam, maka telah terputuslah amalannya melainkan tiga perkara; Sedekah Jariah, Ilmu yang bermanfaat, Anak soleh yang mendoakan keatasnya

Hadith diriwayatkan oleh Muslim & al-Bukhari

Islam telah menggariskan tiga pendapatan pasif di dalam kadar matawang pahala yang kita boleh usahakan agar kita akan dapat hasilnya secara berterusan walaupun kita sudah tidak berada di dunia lagi.

Jika di dunia ini kita bermatlamat untuk membina paip pendapatan pasif seperti yang dinyatakan tersebut, Insyallah hidup kita akan lebih bermakna dan mudah-mudahan kita mampu ‘goyang kaki’ di sana kelak.

Usaha Yang Mempunyai Kesan Berantai

Ini kerana semua ketiga-tiga pendapatan pasif yang digariskan oleh Islam sebenarnya satu bentuk pembangunan masyarakat yang sangat baik. Ini kerana kesan pembangunan pendapatan pasif akhirat ini mempunyai kesan berantai. Oleh kerana itu ia sangat sukar untuk dilaksanakan, perlukan pengorbanan, semangat istiqamah dan kesungguhan yang tinggi.

Kesan Berantai

Contoh bagaimana pahala kita boleh bercambah. [Online Marketing]

Contohnya, diri saya sendiri. Saya telah selesa untuk hidup dengan hasil pendapatan perniagaan yang telah saya usahakan. Atas dasar apa lagi saya perlu berkongsi pengetahuan, kemahiran dan pengalaman yang saya ada ini kepada orang lain?

Jika tidak kerana agama Islam menutut penganutnya membina pendapatan pasif agar berjaya di dunia dan akhirat, sudah tentu tiada keperluan untuk saya berkongsi pengetahuan, kemahiran dan pengalaman saya dengan orang ramai.

Itulah agama Islam, satu agama anutan yang sentiasa mendidik jiwa manusia agar sedar apa yang dimiliki oleh kita sebenarnya bukan milik kita. Semuanya sekadar dipinjamkan sahaja sebagai satu ujian dari Tuhan kepada hambanya.

Namun, masih ramai lagi usahawan yang menjana pendapatan 7-8 angka sebulan lebih selesa menyimpan ilmu dan kemahiran mereka sendirian kerana tidak sedar kepentingan membina pendapatan pasif yang hakiki. Saya doakan agar mereka terbuka hati untuk membina paip pendapatan pasif.

Tuhan Itu Maha Pemurah Terhadap Hambanya

Jika kita memahami salah satu sifat Tuhan iaitu Yang Maha Pemurah, maka kita semua akan lagi bersungguh-sungguh untuk membina pendapatan pasif ini. Manakan tidak, dengan sifat pemurah Tuhan, setiap sedekah atau ilmu yang kita berikan kepada orang lain akan memberikan pulangan berganda kepada kita.

Apabila orang lain membuat sebarang kebaikkan di atas asbab dan musabab kita bersedekah atau mengajarkan ilmu kepada mereka, maka kita akan mendapat pahala penuh seolah-olah kita sendiri mengerjakan perbuatan baik tersebut! Subhanallah.

Passive Income

Contohnya ketika ada sahabat kita berputus asa dengan kehidupan mereka, kita mengambil insiatif untuk berikan galakkan dan dorongan untuk kembali bangkit. Terinspirasi dengan pendekatan kita, beliau kembali bangkit. Maka setiap apa perkara baik yang beliau usahakan dan setiap amal kebajikkan yang beliau lakukan akan turut memberikan saham untuk kita.

Itulah pendapatan pasif yang hakiki. Sesungguhnya kita semua mampu mencipta pendapatan pasif kita sendiri berdasarkan kemampuan masing-masing. Kita masih punyai waktu dan ketika untuk membina pendapatan pasif agar ia terus berkekalan walaupun kita sudah tiada di dunia ini kelak.


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Adly

Saya seorang yang minimalis, berani mengambil risiko, suka membaca dan berstatus 56.4% single. Oh! Kini saya merupakan CEO Yosh.my iaitu sebuah syarikat yang membangunkan platform perniagaan berasaskan dropship diantara yang terawal di Malaysia.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami