Inspirasi

Penciptaan Manusia Adalah Untuk Kembali KepadaNya Dengan Sebaiknya

Oleh Fieyzah Lee  •  5 Aug 2019  •  3 min baca

Mungkin anda pernah diajukan persoalan mengenai kematian.

“Mengapa Tuhan menciptakan manusia sedangkan pada akhirnya kita akan dikembalikan padaNya?”

“Mengapa kita diciptakan dan diberi ujian sama ada akhirnya kita akan dilemparkan ke syurga atau ke neraka sedangkan asal-usul manusia adalah dari syurga?”

Malah, banyak lagi persoalan yang pernah didengari dan mungkin pernah menari-nari di benak minda dan fikiran anda.

Terdapat juga dalam kalangan manusia yang menyalahkan moyang kita, iaitu – “Jika Nabi Adam tidak melanggar perintah Allah dengan memakan buah larangan itu, pasti kita sekarang sedang hidup aman damai di syurgaNya.”

Ya, satu persoalan yang tidak dapat dijawab dengan logik dan akal pemikiran sendiri, namun ada diceritakan melalui kalamNya yang berbunyi:

أَفَحَسِبْتُمْ أَنَّمَا خَلَقْنَاكُمْ عَبَثًا وَأَنَّكُمْ إِلَيْنَا لَا تُرْجَعُونَ

Mafhum: “Maka adakah patut kamu menyangka bahawa Kami hanya menciptakan kamu (dari tiada kepada ada) sahaja dengan tiada sebarang hikmat pada ciptaan itu? Dan kamu (menyangka pula) tidak akan dikembalikan kepada Kami?”

Manusia Tidak Dijadikan Sia-Sia

Allah tidak menciptakan setiap sesuatu dengan sia-sia. Apa yang kita lihat di muka bumi dan apa yang mengelilingi kita sehari-hari pasti punya manfaatnya yang tersendiri sama ada hikmahnya disedari cepat atau lambat.

Sebagai contoh, celik sahaja mata anda di waktu pagi, anda dapat melihat matahari yang tugasnya memberi sinar kepada bumi. Cahayanya terkandung vitamin C yang boleh membuatkan kulit manusia menjadi cantik dan juga terdapat kelebihan lain yang mampu membantu menyuburkan bumi.

Apabila hujan mulai reda, bumi dan tanah pula akan menyerap air-airnya dan akan membantu untuk memulihkan keadaan sekiranya berlaku banjir.

Bintang-bintang di cakerawala pula mampu dijadikan tunjuk arah buat mereka yang berada di hutan atau lautan serta cahayanya dan bulan mampu menerangkan bumi di saat gelapnya malam.

Manusia Adalah Sebaik-Baik Ciptaan

Tidak lupa juga dengan penciptaan manusia, ia adalah sebaik-baik ciptaan yang dilengkapi dengan akal untuk berfikir dan memilih jalan yang baik atau buruk di samping ditugaskan sebagai khalifah untuk memakmurkan bumi.

Allah telah menurunkan panduan melalui kalamNya dan juga pesuruhNya seperti Nabi dan Rasul untuk menunjukkan jalan kepada kita, terpulang untuk kita mengikutnya atau memilih jalan yang lain.

أَحَسِبَ النَّاسُ أَن يُتْرَكُوا أَن يَقُولُوا آمَنَّا وَهُمْ لَا يُفْتَنُونَ

Mafhum: “Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: “Kami beriman,” sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)?”

Tidak dapat disangkal lagi bahawa asal penciptaan manusia ialah dari syurga. Itulah kampung halaman manusia. Kampung yang di dalamnya tiada yang buruk-buruk, hanya kebaikan dan kecantikan sahaja. Hanya yang muda dan yang menarik mata memandang sahaja.

وَيَطُوفُ عَلَيْهِمْ وِلْدَانٌ مُّخَلَّدُونَ إِذَا رَأَيْتَهُمْ حَسِبْتَهُمْ لُؤْلُؤًا مَّنثُورًا

Mafhum: “Dan mereka dilayani oleh anak-anak muda lelaki yang tetap kekal (dalam keadaan mudanya), yang sentiasa beredar di sekitar mereka; apabila engkau melihat anak-anak muda itu, nescaya engkau menyangkanya mutiara yang bertaburan.” (Surah Al-Insan, 76:19)

Oleh itu, tugas kita ialah untuk kembali kepadanya dalam keadaan sebaik-baiknya.

Wallahu a’lam.


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Fieyzah Lee

Fieyzah Lee

Merupakan seorang pelajar Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Bahasa Melayu untuk Komunikasi Antarabangsa. Seorang yang suka membaca bahan bacaan dalam bidang sejarah dan motivasi

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami