Gaya Hidup

Nikmat Sakit Yang Jarang Kita Syukuri

Oleh Nor Khairiah  •  24 Sep 2018  •  4 min baca

Berbicara tentang sakit, pastinya semua daripada kita pernah mengalaminya. Tidak kira sakit itu ringan ataupun berat, sekejap ataupun lama, setiap orang tidak akan terlepas daripada ujian kesakitan.

#1- Mengapa Sakit Itu Sering Kali Dianggap Sebagai Musibah?

Kerana setiap kali sakit, kita dalam keadaan lemah dan tidak berupaya berbuat sesuatu dengan kudrat sendiri. Kita menangis, mengeluh dan sedih kerana setiap pergerakan memerlukan bantuan orang lain. kita tidak bebas melakukan perkara yang disukai.

Terasa seakan lumpuh separuh badan. Ketika sakit, manusia mampu melupakan segala bentuk kenikmatan dunia, yang dipinta hanyalah dikembalikan semula kesihatan seperti sediakala.

Kadang kala manusia terlalu mengagungkan dunia. mereka melakukan kemungkaran, kezaliman, menindas orang yang lemah dan langsung tidak pernah mengingati Allah. Manusia sering alpa dan lupa untuk bersyukur dengan segala nikmat pemberian Allah S.W.T.

Oleh sebab itu, Allah mendidik hambaNYA untuk sentiasa bersyukur dan mengingati DIA dengan pelbagai cara. Allah menetapkan manusia supaya solat 5 waktu sehari semalam bertujuan untuk ingat padaNYA, tetapi manusia tetap juga masih ingkar.

Allah berfirman di dalam Al-Quran tentang sifat dan kebesaranNYA, tetapi manusia tidak menyentuh apatah lagi membaca kalamNYA.

Allah hantarkan alim ulama untuk mendekati manusia supaya beroleh kefahaman tentang zat dan hukumNYA.

Namun, mereka mengatakan alim ulama itu juga manusia biasa dan tidak boleh dipercayai sepenuhnya. Lalu Allah hantarkan ujian sakit, segera sahaja mereka menyebut;

“Ya Allah, ampunkan dosaku. sembuhkanlah aku!”

Dikala sakit, di mana pakar atau ubatan tidak juga mampu menyembuhkan, maka manusia tiada pilihan lain, selain daripada meminta dan berharap kepadaNYA.

Benarlah, ujian sakit merupakan salah satu cara Allah memberitahu kita, bahawa nikmat sihat begitu berharga melebihi segala bentuk harta dan kesenangan dunia.

Perhatikanlah dalam setahun, Allah mengurniakan nikmat kesihatan yang berpanjangan dan selitkan beberapa kali ujian kesakitan.

Cuba kita imbas kembali, sepanjang Allah beri nikmat sihat, pernah tak kita bersyukur? Dan bila Allah uji dengan kesakitan, pernahkah kita sabar dan reda? Jarang-jarang sekali bukan?

Pernah atau tidak kita berfikir, mengapa Allah datangkan ujian sakit? Adakah kerana kita yang tidak pandai menjaga kesihatan diri ataupun kerana kita memang sudah ditakdirkan mempunyai metabolisma badan yang lemah?

Jawapan tersebut mungkin ada betulnya. Tapi itu hanyalah penyebab, sebaliknya jawapan yang tersirat adalah, kerana Allah ingin kita ingat kepadaNYA.

#2- Kenapa Dengan Musibah, Bukan Berupa Nikmat?

Siapa kata sakit itu musibah? Sakit itu sebenarnya merupakan nikmat. Nikmat hidayah Allah S.W.T. Ini kerana, ketika sakit, kenikmatan dunia sudah beransur pergi meninggalkan kita.

Anggota badan lemah, ingin melayan facebook pun tidak terdaya, makan tidak berselera, tidur tak lena. Nah! Pada saat itulah manusia mulai mengingati Allah.

Bermula dengan terdetiknya bibit penyesalan. Baru terasa betapa banyaknya dosa. Baru sedar rupanya dah lama tak solat, tak baca Al Quran dan tak berzikir.

Perlahan-lahan air mata mengalir. Hati dan bibir akhirnya beristighfar tanpa henti. Menyebut dan menyeru nama Allah dengan penuh ikhlas. Terasa betapa lemah dan kerdilnya diri. Ya, begitulah indahnya hidayah Allah!

Maka boleh kita simpulkan bahawa, sakit itu bukanlah musibah bahkan merupakan satu nikmat. Nikmat sakit yang Allah beri itu sebenarnya sekadar mahu menguji tahap kesabaran dan keimanan manusia, bahkan mahu hambanya kembali mengingatiNYA serta memohon pertolongan hanya kepada DIA.

Sakit juga merupakan salah satu cara Allah menghapuskan dosa hambaNYA. Buktinya, Nabi S.A.W pernah bersabda yang bermaksud;

“Tidak ada seorang muslim pun yang tertusuk duri, atau yang lebih berat dari itu, melainkan ditulis untuknya, satu darjat dan dihapus darinya satu kesalahan.”Riwayat Muslim no.2572

Justeru itu, jika kita sakit janganlah segera meminta sembuh! kerana disebalik kesakitan itu, ada dosa yang diampuni Allah.

Percayalah, Allah sangat sayang dengan hambaNYA. Yakinlah, apa sahaja yang Allah takdirkan pastinya tidak sia-sia. Sihat ataupun sakit, kedua-duanya merupakan nikmat yang perlu kita bersyukur padaNYA.

Hayatilah kata-kata Syaikhul islam Ibnu Taimiyah rahimahullah berkata;

“Musibah kesakitan yang engkau terima itu lebih baik bagimu berbanding dengan nikmat kesihatan yang membuatmu lupa untuk berzikir mengingatiNYA.”


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Nor Khairiah

Nor Khairiah

Pemegang Diploma jurusan Fashion on Art&Design Department dan sekarang bekerja dalam bidang yang sama. Suka membaca, menulis dan melancong. Pernah beberapa kali memenangi pertandingan menulis cerpen dan novel. Merupakan team leader facebook page Jodoh itu Rahsia Allah Official.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami