Gaya Hidup

Mudahnya Untuk Berbuat Kebaikan

Oleh Fizah Lee  •  4 Jun 2020  •  2 min baca

Siapa kata susah untuk berbuat baik? Siapa pula kata senang untuk buat dosa? Masing-masing yang melakukan kebaikan atau keburukan, pasti punya alasan di sebaliknya.

Mengapa mereka memilih untuk bertindak demikian. Atau apa sebab yang mendorong dan mempengaruhi tindak-tanduk mereka. Semuanya bergantung kepada keadaan psikologi seseorang tersebut.

Namun, sedarkah anda bahawa sebenarnya senang sahaja untuk berbuat baik. Malah, lebih senang daripada melakukan dosa.

Bayangkan, kita lihat satu situasi – nak masuk masjid, percuma atau kena bayar? Pasti percuma kan? Berbeza dengan orang yang masuk kelab malam, ia perlu dibayar dan kadang-kadang bayarannya melambung tinggi.

Satu lagi – kita bandingkan harga pakaian yang menutup aurat dan harga pakaian yang tidak menutup aurat. Kebanyakannya, harga yang menutup aurat dan mengikut syariah lebih rendah dan berkualiti berbanding dengan yang pakaiannya tidak cukup kain.

Itu baru sahaja dilihat berdasarkan harga. Bagaimana pula dengan niat dan pahala yang Allah ganjarkan? Pahala akan diberikan lebih besar berbanding dengan dosa.

Satu kebaikan sahaja boleh mendapat sepuluh kali ganda ganjaran pahala berbanding dengan satu keburukan yang akan diberi satu kali dosa.

Disebabkan itu kita melihat mudahnya untuk menjadi baik atau berbuat kebaikan. Kadang-kadang, minda kita sahaja yang berfikir bahawa susahnya untuk menjadi baik.

Buat Baik Pada Siapa Sahaja

Berbuat baik ini bukan terhad kepada diri sendiri atau orang Islam sahaja, namun bebas kepada sesiapa sahaja bahkan kepada semua makhluk.

Ibnu Muflih melalui Al-Adab Asy-Syar’iyyah berkata – “Lakukanlah kebaikan kepada siapa pun. Jika kita berbuat baik kepada yang layak menerimanya bermaksud kita telah meletakkan kepada tempatnya. Namun, jika bukan, kita juga tetap dikira telah melakukan kebaikan.”

Dalam pendapat ini, ia membuktikan bahawa walau kepada siapa kebaikan yang anda lakukan sama ada ia layak atau tidak, pahalanya tetap sampai kepada anda.

Jika anda memberi sedekah kepada penipu dan tidak mengetahuinya, dosa menipu itu tidak terpalit kepada anda. Namun, pahala sedekah anda tetap sampai kepada anda.

Walau kebaikan yang sedikit seperti melemparkan senyuman kepada jiran anda, ia juga dikira sebagai sebuah kebaikan.

وَلاَ تَحْقِرَنَّ شَيْئًا مِنَ الْمَعْرُوفِ وَأَنْ تُكَلِّمَ أَخَاكَ وَأَنْتَ مُنْبَسِطٌ إِلَيْهِ وَجْهُكَ إِنَّ ذَلِكَ مِنَ الْمَعْرُوفِ

Maksud: “Janganlah meremehkan kebaikan sedikit pun walau hanya berbicara kepada saudaramu dengan wajah yang tersenyum kepadanya. Amalan tersebut adalah sebahagian dari kebajikan.” (Hadis Riwayat Abu Daud, no. 4084)

Justeru, setiap hari niatkanlah untuk melakukan kebaikan walau hanya kebaikan yang kecil dan mengikut kemampuan anda.

Jika tidak mampu sedekah jumlah yang banyak, sedekahlah dengan nilai yang sedikit tetapi ikhlas. Kerana keikhlasan itulah yang menentukan kebaikan anda, bukan nilai.

Wallahu a’alam.


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Fizah Lee

Merupakan seorang graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Bahasa Melayu untuk Komunikasi Antarabangsa. Seorang yang suka membaca bahan bacaan dalam bidang sejarah dan motivasi

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami