Gaya Hidup

Menuju 2019: 7 Perkara Tentang Kehidupan Saya Harap Saya Pelajari 7 Tahun Yang Lalu

Oleh Natirah Azira  •  10 Dec 2018  •  4 min baca

Setiap kali menjelang tahun baru, saya suka melihat semula kepada perjalanan saya pada masa lalu. Dari mana saya bermula dan di mana telah saya tiba. Tujuh tahun yang lalu saya seorang remaja berusia 18 tahun yang baru sahaja ingin memulakan perjalanan sebagai seorang pelajar universiti.

Banyak hal yang saya pelajari dari pengalaman, dari nasihat orang dan juga dari pilihan salah yang saya lakukan. Namun, kesemuanya amat bermakna buat diri saya.

#1- Belajar Satu Perkara Baru Setiap Hari

Tujuh tahun yang lalu, saya tidak menyedari bahawa terlalu banyak perkara yang boleh dipelajari dalam dunia ini, tidak kiralah suatu yang bersifat realiti atau subjektif.

Dunia bukan hanya tentang cabaran atau kesukaran, masih ada perkara-perkara yang menarik dan menggembirakan. Ia tidak semestinya perkara yang besar. Kita boleh sahaja belajar tentang perkataan baru dalam bahasa berlainan, atau menonton dokumentari sains yang ringkas, atau mungkin belajar bahasa isyarat?

#2- Apa Sahaja Boleh Berubah Dengan Cepat, Jadi Bersedia!

Setiap perkara yang ada di sekeliling kita berubah dengan cepat baik suasana, orang atau apa sahaja. Kita tidak dapat menahan perubahan. Apa yang boleh dilakukan adalah dengan menyesuaikan diri dengan perubahan yang berlaku. Pada mulanya, proses ini mungkin terasa janggal dan sukar, tetapi bersabar dan percayalah bahawa kesemuanya akan baik-baik sahaja.

#3- Hargai Masa Bersama Keluarga

Masa akan menunjukkan siapa yang sebenarnya bernilai dalam hidup kita. Keluarga salah satunya. Merekalah yang selalunya akan ada di samping kita ketika susah dan senang. Cara mereka menunjukkan perhatian dan kasih sayang mungkin berbeza dengan rakan-rakan, namun mereka akan sentiasa ada di belakang kita.

Semakin meningkat dewasa, kita akan semakin dikejar komitmen dan urusan hidup yang lain. Hargailah setiap ruang waktu bersama mereka. Pastikan waktu tersebut benar-benar berkualiti tanpa gangguan gaget.

#4- Berani Menyatakan Pendapat

Saya membesar sebagai seorang yang tidak yakin apabila bercakap di hadapan orang. Dalam kebanyakan masa, saya hanya menyimpan pendapat dalam hati sahaja. Suatu pelajaran yang saya fahami sekarang- bahawa jika kita tidak bercakap, orang tidak akan tahu apa yang ingin kita sampaikan.

Jika kita menyatakan pendapat yang berlainan daripada pendapat umum sekalipun, itu tidak bermakna kita ingin memusuhi semua orang. Ia sekadar pendapat dan orang yang mendengar punya hak untuk menerima atau tidak. Kesimpulannya, kita tidak dapat memuaskan hati semua orang.

#5- Jangan Terlalu Keras Dengan Diri Sendiri

Usia belasan tahun adalah fasa di mana kita mula mencari identiti dan hala tuju diri sendiri.  Kita suka untuk mencuba. Memang banyak kesilapan yang akan dilakukan, namun dari situ kita akan membesar menjadi seorang yang lebih matang dan bijaksana dalam memlilih jalan kehidupan.
Kita tidak perlu pun menyalahkan diri sendiri. Maafkan diri dan majulah dengan langkah lebih yakin dan percaya diri.

#6- Pilih Rakan Yang Boleh Membantu Ke Arah Pembangunan Diri

Rakan yang baik dapat membantu ke arah pembangunan diri. Setiap orang yang datang dalam kehidupan kita ada keistimewaan yang boleh kita pelajari. Usah malu untuk bertanya dan belajar daripada mereka.

#7- Keluar Daripada Zon Selesa

Kita tidak tahu apa yang akan kita jumpa apabila keluar daripada zon selesa. Seperti apa yang berlaku kepada saya setahun yang lalu. Ia bermula dengan hanya membuat carian di Google tentang kerja separuh masa sebagai seorang penulis dan penterjemah.

Ia akhirnya membawa saya kepada Tzkrh.com dan sekarang saya seorang editor sepenuh masa. Bayangkan apa lagi yang akan saya jumpa jika saya mula keluar dari zon selesa lebih awal!

Dari semasa ke semasa, kita perlu melakukan pembaharuan diri ke arah yang lebih baik. Sekalipun ada yang berpendapat bahawa azam tidak perlu tunggu tahun baru, namun tahun baru tetap suatu saat yang istimewa. Kita tidak melaluinya setiap hari. Mungkin ada sudut baru yang boleh diperbaiki atau ruang baru yang boleh kita ceburi. Kita sebenarnya mampu jika kita mahu!


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Natirah Azira

Natirah Azira

Beliau merupakan graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Al-Quran dan Sunnah. Sekarang sedang menyambung pengajian peringkat Ijazah Sarjana dalam bidang Psikologi di universiti yang sama. Seorang yang suka membaca pelbagai genre bahan bacaan terutama sejarah, sastera, motivasi dan psikologi.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami