Ibadah

Mengapa Jumaat Digelar Penghulu Segala Hari

Oleh Fieyzah Lee  •  27 Sep 2019  •  4 min baca

Jumaat merupakan penghulu segala hari.

Kata-kata ini sangat sinonim dengan umat Islam kerana ia menunjukkan kebesaran Allah dalam memberi ganjaran kepada hambaNya serta makhluk yang diingini seperti hari Jumaat.

Banyak kelebihan yang boleh diperoleh oleh mereka yang menyedari atau tidak hakikat dan kebesaran hari Jumaat ini.

Seperti yang kita sedia maklum, Islam akan memberi ganjaran dalam bentuk yang sesuai dengan apa yang diusahakan oleh umatnya.

Jika kita percaya dan yakin bahawa rahsia dan hikmah di sebalik mengapa Allah menetapkan sesuatu itu secara lebih atau kurang, pasti kita akan beribadah sesuai dengan apa yang diberitakan sejak dari zaman Rasulullah SAW.

Kadang-kadang, seseorang hamba itu tahu akan ganjaran yang dikurniakan, tetapi disebabkan tiada kesedaran atau mungkin juga kepercayaan terhadapnya, maka ia akan disia-siakan begitu sahaja.

Contoh yang paling dekat ialah – semua tahu bahawa doa itu merupakan senjata mukmin. Namun berapa ramai di kalangan kita yang berdoa dan merintih kepadaNya sebelum meletakkan ikhtiar kepada makhlukNya?

Begitu juga dengan hari Jumaat. Ramai yang mengetahui kelebihan dan ganjaran yang diberikan olehNya kepada hambaNya yang bersungguh melakukan amal pada hari ini, namun berapa ramai sahaja yang beramal?

Umum mengetahui, hari Jumaat mempunyai kelebihannya yang tersendiri, ketua kepada hari-hari lain dan ada amalan tersendiri yang jika dilakukan pada hari ini, maka pahalanya berlipat kali ganda.

Walau bagaimanapun, mengapa ia digelar sebagai penghulu kepada segala hari? Mengapa hari Jumaat ini dikatakan istimewa berbanding hari-hari lain?

أَضَلَّ اللهُ عَنِ الْجُمُعَةِ مَنْ كَانَ قَبْلَنَا، فَكَانَ لِلْيَهُوْدِ يَوْمُ السَّبْتِ وَكَانَ لِلنَّصَارَى يَوْمُ اْلأَحَدِ، فَجَاءَ اللهُ بِنَا فَهَدَانَا اللهُ لِيَوْمِ الْجُمُعَةِ فَجَعَلَ الْجُمُعَةَ وَالسَّبْتَ وَاْلأَحَدَ، وَكَذَلِكَ هُمْ تَبَعٌ لَنَا يَوْمَ الْقِيَامَةِ، نَحْنُ اْلآخِرُوْنَ مِنْ أَهْلِ الدُّنْيَا وَاْلأَوَّلُوْنَ يَوْمَ الْقِيَامَةِ الْمَقْضِيَّ لَهُمْ قَبْلَ الْخَلاَئِقِ.

Maksud: “Allah telah menyesatkan orang-orang sebelum kita dari hari Jumaat, maka umat Yahudi memperoleh hari Sabtu, umat Nasrani memperoleh hari Ahad. Lalu Allah mendatangkan kita dan memberi kita hidayah untuk memperoleh hari Jumaat. Maka, Allah menjadikan hari Jumaat, Sabtu dan Ahad dan mereka (umat sebelum kita) berada di belakang kita pada hari kiamat. Kita datang paling akhir di dunia, tetapi paling awal di hari kiamat yang telah ditetapkan untuk mereka sebelum diciptakan seluruh makhluk.” (Hadis Riwayat Muslim, no. 856 – Hadis Sahih

Bulan Ramadan dipilih sebagai bulan yang mulia kerana ia merupakan bulan yang turunnya kalam Allah, bulan yang telah dijadikan Kota Mekah dan Madinah sebagai kota suci serta bulan yang menjadikan Masjidil Haram, Masjid Nabawi dan Masjidil Aqsa sebagai masjid utama.

Hari Jumaat pula telah Allah pilih sebagai Sayyidul Ayyam , iaitu hari yang paling utama kerana mempunyai kelebihannya yang tersendiri seperti hari yang diceritakan sebagai penciptaan Nabi Adam dan juga yang bakal terjadinya kiamat. Berikut adalah merupakan keunikan hari Jumaat.

#1 – Hari Orang Mukmin

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِذَا نُودِيَ لِلصَّلَاةِ مِن يَوْمِ الْجُمُعَةِ فَاسْعَوْا إِلَىٰ ذِكْرِ اللَّـهِ وَذَرُوا الْبَيْعَ ۚ ذَٰلِكُمْ خَيْرٌ لَّكُمْ إِن كُنتُمْ تَعْلَمُونَ

Mafhum: “Wahai orang-orang beriman! Apabila diserukan azan
untuk mengerjakan sembahyang pada hari Jumaat, maka segeralah kamu pergi (ke masjid) untuk mengingati Allah (dengan mengerjakan sembahyang Jumaat) dan tinggalkanlah berjual-beli (pada saat itu); yang demikian adalah baik bagi kamu, jika kamu mengetahui (hakikat yang sebenarnya).” (Surah Al-Jumu’a, 62:9)

#2 – Doa Dimakbulkan

إِنَّ فِي الْجُمُعَةِ سَاعَةً لَا يُوَافِقُهَا عَبْدٌ مُسْلِمٌ يَسْأَلُ اللهَ عَزَّ وَجَلَّ فِيهَا خَيْرًا إِلَّا أَعْطَاهُ إِيَّاهُ، وَهِيَ بَعْدَ الْعَصْرِ

Maksud: “Sesungguhnya terdapat satu waktu pada hari Jumaat apabila seorang hamba Muslim meminta kepada Allah SWT akan perkara kebaikan pada waktu tersebut melainkan Allah akan memberinya apa yang dimintanya itu, waktu tersebut adalah selepas Asar.” (Hadis Riwayat Ahmad, no. 108)

#3 – Hari Tiupan Sangkakala

إِنَّ مِنْ أَفْضَلِ أَيَّامِكُمْ يَوْمَ الْجُمُعَةِ فِيهِ خُلِقَ آدَمُ وَفِيهِ قُبِضَ وَفِيهِ النَّفْخَةُ وَفِيهِ الصَّعْقَةُ

Maksud: “Sesungguhnya di antara hari kalian yang paling utama adalah hari Jumaat. Di hari itu, Adam diciptakan, pada hari itu Adam meninggal, pada hari itu berlaku tiupan sangkakala pertama dan pada hari itu pula berlaku tiupan yang kedua.” (Hadis Riwayat Uwais bin Aus, no. 910)

#4 – Penduduk Syurga Dapat Melihat Allah

لَهُم مَّا يَشَاءُونَ فِيهَا وَلَدَيْنَا مَزِيدٌ

Mafhum: “Mereka beroleh apa yang mereka kehendaki di situ, dan di sisi Kami ada lagi tambahan (limpah kurnia yang tidak terlintas di hari mereka).” (Surah Qaf, 50:35)

#5 – Hari Yang Afdal

ويسن كثرة الصدقة وفعل الخير في يومها وليلتها، ويكثر من الصلاة على رسول الله صلى الله عليه وسلم في يومها وليلتها لخبر: إن من أفضل أيامكم يوم الجمعة، فأكثروا علي من الصلاة فيه، فإن صلاتكم معروضة علي

Maksud: “Sesungguhnya hari yang paling afdal adalah hari Jumaat. Kerana itu, perbanyakkanlah membaca selawat ke atasku kerana selawat kalian akan diperlihatkan kepadaku.” (Hadis Riwayat Bukhari, no. 2688)

Kesimpulan

Berbuat amal ibadah bukan hanya pada hari Jumaat, namun juga perlu dilakukan pada hari-hari lain. Walau bagaimanapun, lebihkan amalan sunat dan juga sunnah-sunnah yang ditekankan oleh Baginda SAW kerana pada hari ini ialah hari umat Islam bersatu.

Wallahu a’lam.


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Fieyzah Lee

Fieyzah Lee

Merupakan seorang pelajar Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Bahasa Melayu untuk Komunikasi Antarabangsa. Seorang yang suka membaca bahan bacaan dalam bidang sejarah dan motivasi

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami