Gaya Hidup

Memandu Secara Berbahaya Adalah Perbuatan Membunuh Diri?

Oleh Natirah Azira  •  24 Dec 2019  •  3 min baca

Peraturan jalan raya diwujudkan bertujuan untuk memelihara keselamatan para penggunanya. Ia selari dengan salah satu prinsip maqasid syariah (tujuan syariat) yang terdapat dalam Islam iaitu memelihara keselamatan nyawa.

Justeru, peraturan jalan raya yang diwujudkan perlu dipatuhi oleh setiap orang dan hukumnya dikira wajib menurut ulama’.

Namun, ada segelintir orang yang sering memandu secara berbahaya sehingga membahayakan diri sendiri dan pengguna jalan raya lain. Sedangkan Islam sangat menegah apa jua jenis perbuatan yang dapat mendatangkan bahaya dan binasa kepada diri sendiri.

Abu Hurairah RA, Rasululah SAW bersabda:

مَنْ قَتَلَ نَفْسَهُ بِحَدِيدَةٍ فَحَدِيدَتُهُ فِي يَدِهِ يَتَوَجَّأُ بِهَا فِي بَطْنِهِ فِي نَارِ جَهَنَّمَ خَالِدًا مُخَلَّدًا فِيهَا أَبَدًا، وَمَنْ شَرِبَ سُمًّا فَقَتَلَ نَفْسَهُ فَهُوَ يَتَحَسَّاهُ فِي نَارِ جَهَنَّمَ خَالِدًا مُخَلَّدًا فِيهَا أَبَدًا، وَمَنْ تَرَدَّى مِنْ جَبَلٍ فَقَتَلَ نَفْسَهُ فَهُوَ يَتَرَدَّى فِي نَارِ جَهَنَّمَ خَالِدًا مُخَلَّدًا فِيهَا أَبَدًا

Maksudnya: “Sesiapa yang membunuh diri dengan besi, maka di neraka jahanam nanti besi itu selalu di tangannya, ia menusuk-nusukkannya ke perutnya selama-lamanya. Dan barangsiapa bunuh diri dengan meminum racun, maka di neraka jahanam nanti ia akan terus meminumnya selama-lamanya. Dan barangsiapa bunuh diri dengan menjatuhkan diri dari gunung, maka di neraka jahanam nanti, ia akan menjatuhkan (dirinya) selama-lamanya.” (Sahih Muslim, no. 109)

Justeru, jika mereka yang memandu secara berbahaya akhirnya ditimpa kemalangan dan meninggal dunia, adakah mereka dikira sebagai membunuh diri?

3 Bahagian Membunuh Diri Dari Sudut Niat Orang Yang Melakukannya

1. Membunuh Diri Dengan Sengaja (القتل عمدا)

Melakukan apa-apa perbuatan yang boleh membunuh diri dengan niat membunuh diri contohnya menelan racun, mengelar tangan atau menggantung diri sendiri.

2. Membunuh Diri Dengan Separa/Hampir Sengaja (القتل شبه العمد)

Melakukan sesuatu perbuatan tanpa niat membunuh diri dengan menggunakan peralatan yang kebiasaannya tidak membunuh tetapi menyebabkan kematian, seperti memukul badan dengan kayu kecil, batu dan sebagainya.

3. Membunuh Diri Dengan Tidak Sengaja (القتل خطا)

Tidak berniat melakukan perbuatan yang boleh membunuh diri atau pembunuhan yang tersilap, seperti termasuk perangkap sendiri.

Pembahagian di atas bukan hanya untuk isu membunuh diri sahaja, namun termasuk juga dengan perbuatan membunuh yang lain.

Dalam persoalan ini, niat adalah sesuatu yang akan dinilai sebelum ditetapkan hukum dan keputusan. Bagi majoriti ahli fiqh contohnya Mazhab Hanafi, Syafie, dan Hanbali, mereka berpendapat bahawa suatu pembunuhan tidak dianggap sengaja dilakukan kecuali pembunuh berniat untuk membunuh.

Kebiasaannya, kaedah yang diguna dalam Islam bagi menentukan sama ada seseorang itu membunuh dengan niat atau tidak adalah dengan melihat kepada bukti atau fakta yang zahir, contohnya dengan melihat alatan atau cara yang digunakan yang dapat menggambarkan niatnya.

Selalunya seseorang yang ingin membunuh akan menggunakan suatu yang tajam seperti pisau untuk membunuh, namun jika dia menggunakan alatan atau cara yang kebiasaannya tidak membunuh seperti memukul menggunakan batu atau kayu, dan menyebabkan kematian, maka pembunuhan ini dianggap sebagai pembunuhan hampir sengaja.

Berbalik kepada persoalan pada awal perkongsian ini – adakah orang yang memandu dengan berbahaya, akhirnya terlibat dengan kemalangan dan meninggal dunia, turut dianggap seperti membunuh diri? Pihak Mufti telah menyimpulkan dua cara menentukan situasi ini:

1. Jika seseorang dengan sengaja memandu secara berbahaya dengan tujuan membunuh diri atau membahayakan diri sehingga boleh menyebabkan kematian, maka dia dianggap membunuh diri.

2. Jika seseorang tidak mematuhi peraturan jalan raya contohnya melebihi had laju dan melanggar lampu isyarat dan tidak ada niat untuk membunuh diri kerana merasakan keadaan masih terkawal, maka dia tidak dianggap membunuh diri sekalipun berlaku kematian.

Firman Allah SWT:

وَلَا تُلْقُوا بِأَيْدِيكُمْ إِلَى التَّهْلُكَةِ وَأَحْسِنُوا

Maksudnya: “Dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan; dan baikilah (dengan sebaik-baiknya segala usaha dan) perbuatan kamu.”(Surah Al-Baqarah 2:195)

Justeru, peliharalah diri dari bahaya dan kebinasaan tidak kira tubuh badan yang zahir, ataupun daripada aspek dalaman seperti kesihatan jiwa dan juga fikiran. Kedua-dua adalah sama pentingnya. Wallahua’lam.

Sumber:
Mufti Wilayah Persekutuan


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Natirah Azira

Natirah Azira

Beliau merupakan graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Al-Quran dan Sunnah. Sekarang sedang menyambung pengajian peringkat Ijazah Sarjana dalam bidang Psikologi di universiti yang sama. Seorang yang suka membaca pelbagai genre bahan bacaan terutama sejarah, sastera, motivasi dan psikologi.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami