Hukum

Mati Lemas, Adakah Dikira Mati Syahid?

Oleh Natirah Azira  •  10 Feb 2019  •  3 min baca

Kita sering mendengar tentang mati syahid – biasanya orang yang mati di medan perang dipanggil sebagai mati syahid. Namun adakah mati lemas atau mati terbakar juga dikira sebagai mati syahid?

Maksud Mati Syahid

Syahid dari segi bahasa berasal daripada perkataan Arab ‘sya-hi-da’ (شهد), yang bermaksud bersaksi atau hadir. Antara maksud syahid sebagaimana dikatakan oleh Ibnul Ambari ialah:

لِأَنَّ اللَّه تَعَالَى وَمَلَائِكَته عَلَيْهِمْ السَّلَام يَشْهَدُونَ لَهُ بِالْجَنَّةِ . فَمَعْنَى شَهِيد مَشْهُود لَهُ

“Kerana Allah Ta’ala dan malaikatnya ‘alaihimus salam menyaksikan orang tersebut dengan syurga. Makna syahid di sini adalah disaksikan untuknya.” (Syarh Shahih Muslim, 2/142, juga disebutkan dalam Fath Al-Bari, 6/42).

Jenis-Jenis Kematian Yang Dikira Sebagai Mati Syahid

Daripada Sa’id bin Zaid R.A, sabda Rasulullah SAW:

مَنْ قُتِلَ دُونَ مَالِهِ فَهُوَ شَهِيدٌ، وَمَنْ قُتِلَ دُونَ أَهْلِهِ فَهُوَ شَهِيدٌ، وَمَنْ قُتِلَ دُونَ دِينِهِ فَهُوَ شَهِيدٌ، وَمَنْ قُتِلَ دُونَ دَمِهِ فَهُوَ شَهِيدٌ

Maksudnya: “Siapa yang dibunuh kerana mempertahankan hartanya maka dia mati syahid. Siapa yang dibunuh kerana mempertahankan keluarganya, maka dia mati syahid. Siapa yang dibunuh kerana mempertahankan agamanya, maka dia mati syahid. Siapa yang dibunuh kerana mempertahankan dirinya, maka dia mati syahid.” Riwayat Ahmad (1652), Abu Daud (4772), al-Nasa’ie (4095) dan al-Tirmizi (1421). At- Tirmidzi berkata: Hadis hasan sahih

Imam al-Munawi dalam menjelaskan hadis di atas berkata: Syahid di sini ialah syahid akhirat, bukanlah syahid dunia (di mana ia tidak perlu dimandikan, disolatkan dan sebagainya). (Lihat Faidh al-Qadir, 6/195)

Dari Abu Hurairah R.anhu, Rasulullah SAW bersabda,

الشُّهَدَاءُ خَمْسَةٌ الْمَطْعُونُ وَالْمَبْطُونُ وَالْغَرِقُ وَصَاحِبُ الْهَدْمِ وَالشَّهِيدُ فِي سَبِيلِ اللَّهِ

“Orang yang mati syahid ada lima, yakni orang yang mati kerana tho’un (wabak), orang yang mati kerana menderita sakit perut, orang yang mati tenggelam, orang yang mati karena tertimpa reruntuhan dan orang yang mati syahid di jalan Allah.” (HR. Bukhari, no. 2829 dan Muslim, no. 1914)

Ada pula riwayat yang lain menambah bahawa mereka yang mati ketika melahirkan juga tergolong dalam mati syahid.

Dari Jabir bin ‘Atik R.anhu, Nabi SAW bersabda,

الشَّهَادَةُ سَبْعٌ سِوَى الْقَتْلِ فِى سَبِيلِ اللَّهِ الْمَطْعُونُ شَهِيدٌ وَالْغَرِقُ شَهِيدٌ وَصَاحِبُ ذَاتِ الْجَنْبِ شَهِيدٌ وَالْمَبْطُونُ شَهِيدٌ وَصَاحِبُ الْحَرِيقِ شَهِيدٌ وَالَّذِى يَمُوتُ تَحْتَ الْهَدْمِ شَهِيدٌ وَالْمَرْأَةُ تَمُوتُ بِجُمْعٍ شَهِيدٌ

“Orang-orang yang mati syahid yang selain terbunuh di jalan Allah ‘azza wa jalla itu ada tujuh orang, iaitu korban wabak adalah syahid; mati tenggelam (ketika melakukan safar dalam rangka ketaatan) adalah syahid; yang punya luka pada lambung lalu mati, matinya adalah syahid; mati kerana penyakit perut adalah syahid; korban kebakaran adalah syahid; yang mati tertimpa reruntuhan adalah syahid; dan seorang wanita yang meninggal kerana melahirkan (dalam keadaan nifas atau dalam keadaan bayi masih dalam perutnya, pen.) adalah syahid.” (HR. Abu Daud, no. 3111. Al-Hafizh Abu Thahir mengatakan bahwa sanad hadis ini sahih. Lihat keterangan ‘Aun Al-Ma’bud, 8/275)

Daripada keterangan hadis di atas dapatlah kita mengetahui bahawa jenis-jenis kematian yang dikira sebagai mati syahid antaranya:

1. Mati kerana wabak (contohnya wabak taun)
2. Mati kerana menderita sakit perut/ luka pada lambung
4. Mati ditimpa runtuhan
5. Mati lemas
6. Mati terbakar
7. Wanita yang mati kerana melahirkan
8. Mereka yang mati kerana mempertahankan agama, diri, keluarga dan harta

Ibnu Hajar membahagikan golongan yang mati syahid ini kepada dua bahagian:

1. Syahid Di Dunia Dan Di Akhirat

Iaitu mereka yang meninggal di medan perang kerana menghadapi musuh. Golongan ini jenazah mereka tidak perlu dimandikan dan boleh jika tidak disolatkan.

Anas bin Malik R.anhu menceritakan,

أنّ شهداء أُحد لم يغسّلوا، ودفنوا بدمائهم، ولم يُصَلَّ عليهم؛ غير حمزة

“Para syuhada perang Uhud tidak dimandikan, mereka dikuburkan bersama darahnya, tidak disolatkan, selain Hamzah.” (Sahih Sunan Abu Daud no. 2688).

2. Syahid Di Akhirat

Syahid di bawah kelompok ini adalah seperti yang telah diterangkan di atas (mati kerana wabak, sakit perut, lemas dan sebagainya). Syahid jenis ini disebut sebagai syahid akhirat kerana pengurusan jenazahnya masih tertakluk sebagaimana jenazah bagi kematian yang biasa di dunia. Mereka perlu dimandikan, disolatkan dan dikafankan.

Semoga penerangan ini dapat menjelaskan sedikit sebanyak tentang hal yang sangat dekat dengan kita iaitu kematian. Sesungguhnya orang yang mati syahid bukan sahaja diampunkan semua dosa mereka (kecuali hutang), malah mendapat ganjaran yang tinggi nilainya di sisi Allah.


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Natirah Azira

Natirah Azira

Beliau merupakan graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Al-Quran dan Sunnah. Sekarang sedang menyambung pengajian peringkat Ijazah Sarjana dalam bidang Psikologi di universiti yang sama. Seorang yang suka membaca pelbagai genre bahan bacaan terutama sejarah, sastera, motivasi dan psikologi.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami