Gaya Hidup

Marilah Menjadi Orang Kaya Yang Bersyukur

Oleh Fazli Abdullah  •  4 Jan 2020  •  4 min baca

Setiap manusia akan diuji mengikut kemampuan dan keupayaan masing-masing. Ada yang diuji dengan kemiskinan dan ada juga yang diberi nikmat kekayaan kepadanya.

Hakikat sebenarnya kekayaan juga adalah salah satu ujian. Jangan hanya melihat kemiskinan sahaja sebagai ujian hidup.

Bagaimana orang yang diberi kelebihan dari segi harta pun dianggap sebagai satu ujian? Mereka diuji dengan harta yang dimiliki.

Adakah harta yang ada membuatkan diri semakin dekat dengan Allah atau kian jauh? Adakah harta yang dikurniakan Allah itu digunakan ke jalan kebaikan atau dibuang ke lembah kemaksiatan?

Namun ada sebahagian daripada mereka yang diberi nikmat kekayaan lalu menggunakan nikmat itu dengan sebijaknya. Mereka menjadi orang yang bersyukur dan bukan orang yang kufur.

Mereka semakin taat dan bukan semakin sesat. Sesungguhnya beruntunglah orang kaya yang bersyukur.

Walau hidup dilimpah dengan kemewahan, hati mereka masih ada secebis kesyukuran. Tidak sombong malah menjadi seorang yang merendah diri. Tidak kedekut tetapi bertambah pemurah.

Kenapa mereka hebat? Kerana mereka masih ada ketaqwaan. Mereka tetap menjadikan Allah sebagai tuhan bukan kehendak nafsu yang menjadi tujuan.

Allah Mudahkan Jalan Hidup Mereka

Allah S.W.T berfirman di dalam al-Quran yang bermaksud:

“Adapun orang yang memberikan (hartanya di jalan Allah), bertakwa, dan membenarkan kalimah yang terbaik (iaitu ‘Lailahaillallah’), maka sesungguhnya Kami akan mudahkan baginya untuk memperolehi kemudahan.”Surah al-Lail 92:5-7

Menurut Tafsir Al-Azhar karya Profesor Dr. Hamka mengulas tentang ayat di atas, mereka yang mempunyai 3 sifat di atas iaitu :

#1- Suka memberi kepada sesama manusia, suka menderma, menolong orang yang dalam kesusahan.

#2- Bertakwa selalu kepada Allah, memelihara hubungan dengan-Nya pada waktu siang dan malam.

#3- Mengakui ada nilai-nilai baik dalam dunia ini, yang terpuji oleh sesama manusia.

Jika ketiga sifat ini dipegang teguh, iaitu pemurah, bertakwa, dan menjunjung tinggi kebaikan maka Allah akan melapangkan dada mereka untuk menghadapi perjalanan hidup ini. Meskipun ada kesukaran yang terbentang di hadapan mereka, akan ada-ada sahaja petunjuk Allah untuk mengatasi kesukaran tersebut. Tafsir Al-Azhar

Sesungguhnya mereka yang mempunyai kelebihan harta amatlah beruntung kerana dapat berbakti kepada manusia lain dengan harta tersebut. Janganlah disia-siakan nikmat yang sementara itu di dunia ini. Berilah kepada mereka yang memerlukan dan yang dalam penderitaan.

Seperti yang tertulis di dalam al-Quran, mereka akan dimudahkan segalaperjalanan hidup. Subhanaallah! Daripada Abdullah bin Mas’ud R.A., beliau berkata, Rasulullah S.A.W pernah bersabda yang bermaksud:

“Tidak ada kedengkian melainkan pada dua perkara: seseorang yang dianugerahkan harta oleh Allah, lalu dia mengatasi (sifat kedekut) dirinya dengan membelanjakannya dalam perkara kebenaran, dan seseorang yang dianugerahkan ilmu oleh Allah, lalu dia mengamalkannya dan berhukum dengannya serta mengajarkannya (kepada orang lain).”Hadis Riwayat Imam al-Bukhari dan Imam Muslim

Jadilah Orang Kaya Yang Bersyukur

Jangan sekadar menjadi orang kaya tetapi jadilah orang kaya yang bersyukur. Orang kaya hanya mempunyai tetapi tidak memberi.

Jadilah orang yang suka memberi. Orang yang bersyukur tidak sesekali akan rugi. Allah S.W.T berfirman di dalam al-Quran yang bermaksud:

“Dan apa sahaja yang kalian nafkahkan, maka Allah akan menggantinya…”Surah Saba’ 34:39

Allah S.W.T tidak akan mengecewakan hambaNya. Namun, hambaNya sahaja yang melupakan dan tidak mendengar perintahNya. Jika perintah Allah dijunjung tinggi maka kehidupan akan lebih baik dan sejahtera.

Ayuh, kepada sesiapa yang membaca artikel ini tergolong dalam kalangan orang kaya maka jadilah orang kaya yang bersyukur. Bagaimana menjadi orang kaya yang bersyukur?

Orang yang bersyukur adalah mereka sedar yang kelebihan yang dikurniakan kepada mereka adalah milik Allah S.W.T lalu digunakan kepada jalan kebaikan dan kebenaran.

Bagi mereka yang bukan golongan orang kaya, janganlah kecewa kerana medan pahala kita juga masih luas. Luaskan dengan banyakkan berzikir, berpuasa sunat serta amalan-amalan yang mudah tetapi ganjarannya besar di sisi Allah.

Allah itu Maha Adil. Seperti yang disebut di permulaan artikel ini, setiap manusia akan diuji mengikut kemampuan dan keupayaan masing-masing. Waallahua’lam.

Rujukan:
1. Tafsir Al-Azhar Juzuk 30-(Karya: Hamka)
2. Ringkasan Riyadhus Shalihin Imam An-Nawawi-(Karangan: Syeikh Yusuf Bin Ismail An-Nabhani)


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Fazli Abdullah

Dilahirkan di Kedah. Hobi membaca dalam genre agama dan motivasi. Mengemari lagu nasyid. Menjadikan penulisan sebagai medan penyebaran ilmu dan kebenaran. tzkrh.com adalah ruangan penulisan pertamanya menulis dengan serius.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami