Ibadah, Inspirasi

Malaikat Bertukar ‘Syif’ Pada Dua Waktu Ini

Oleh Natirah Azira  •  7 Jan 2020  •  3 min baca

Umat Islam umumnya percaya bahawa setiap amalan yang dilakukan baik atau buruk akan dicatat oleh malaikat setiap masa. Tidak ada satu perkara pun yang akan terlepas daripada pandangan mereka. Catatan tersebut seterusnya akan ‘dilaporkan’ kepada Allah.

Adakah Allah tidak akan mengetahui jika tidak diberitahu oleh malaikat? Sudah pasti Allah Maha Mengetahui. Perkara tersebut hanyalah aturan yang telah dibuat oleh Allah dan ia merupakan tugas malaikat yang telah ditetapkan.

Dalam Keadaan Bagaimanakah Kalian Meninggalkan Hamba-Hambaku?

Adakah ada waktu yang tertentu malaikat ini melaporkan kepada Allah? Hadis sahih di bawah menyebutkan bahawa malaikat bertukar posisi pada dua waktu iaitu pada waktu Asar dan Subuh.

Telah menceritakan kepada kami ‘Abdullah bin Yusuf berkata, telah menceritakan kepada kami Malik dari Abu Az Zinad dari Al A’raj dari Abu Hurairah, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

“Para malaikat malam dan malaikat siang silih berganti mendatangi kalian. Dan mereka berkumpul pada waktu solat Fajar (Subuh) dan ‘Asar. Kemudian malaikat yang bermalam di kalangan kamu naik. Lalu Allah Ta’ala bertanya kepada mereka, dan Allah lebih mengetahui keadaan mereka itu. ‘Dalam keadaan bagaimana kalian tinggalkan hamba-hambaKu? ‘Para Malaikat menjawab, ‘Kami tinggalkan mereka dalam keadaan sedang mendirikan solat. Begitu juga saat kami mendatangi mereka, mereka sedang mendirikan solat’.”

Inilah dua waktu yang sangat sukar untuk kita mengekalkan prestasi dalam amalan dan ibadah. Kebiasaannya pada waktu Asar kita masih sedang bekerja atau sedang bersiap untuk pulang – masih di jalanan, masih di tengah-tengah kesibukan ramai orang dan dalam keadaan yang penat.

Manakala pada waktu Subuh pula, adalah waktu yang masih enak untuk tidur dan ramai yang masih lena dibuai mimpi. Walau bagaimanapun kita diingatkan tentang adab bangun daripada tidur supaya terlepas daripada ikatan syaitan.

Dosa Yang Terhapus Kerana Solat Yang Dijaga Pada Dua Waktu Ini

Selain itu kedua-dua waktu yang istimewa ini juga disebut secara jelas dalam Al-Quran. Mereka yang memelihara solat pada waktu ini juga akan mendapat kebaikan dan dosanya diampunkan.

أنَّ رَجُلًا أصَابَ مِنَ امْرَأَةٍ قُبْلَةً، فأتَى رَسولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عليه وسلَّمَ فَذَكَرَ ذلكَ له، فَأُنْزِلَتْ عليه: {وَأَقِمِ الصَّلَاةَ طَرَفَيِ النَّهَارِ، وزُلَفًا مِنَ اللَّيْلِ إنَّ الحَسَنَاتِ يُذْهِبْنَ السَّيِّئَاتِ، ذلكَ ذِكْرَى لِلذَّاكِرِينَ} قالَ الرَّجُلُ: ألِيَ هذِه؟ قالَ: لِمَن عَمِلَ بهَا مِن أُمَّتِي.

Imam al-Bukhari berkata dari Ibnu Mas’ud, bahawa seorang lelaki telah mencium seorang perempuan, maka datanglah ia kepada Nabi SAW dan memberitahu baginda perbuatannya itu. Maka Allah menurunkan ayat:

“Wa aqiimish solaata tharafayin Nahaari wa zulafam minal laili innal hasanaati yudzhibunnas sayyi-aat”

(Dan dirikanlah solat itu pada kedua tepi siang (pagi dan petang) dan pada bahagian permulaan daripada malam. Sesungguhnya perbuatan-perbuatan yang baik itu menghapuskan (dosa) perbuatan-perbuatan yang buruk.”) Maka berkatalah seorang laki-laki itu: “Wahai Rasulullah, apakah ini hanya untukku?” Beliau menjawab: “Untuk umatku semuanya.” (Sahih Bukhari, no. 4687)

Kesimpulan

Melalui firman Allah dan juga riwayat Nabi SAW yang telah sampai kepada kita, tidak terkira banyaknya ganjaran yang disediakan buat mereka yang memelihara solat dengan sebaiknya.

Jika kita berusaha menjaga setiap perkara yang berkaitan dengan solat – mengambil wuduk dengan sempurna, menjaga kebersihan pakaian, solat di awal waktu, memperelokkan bacaan, berusaha mendapatkan khusyuk dan melengkapkan dengan doa pula di hujungnya – maka pasti tidak mustahil solat akan menjadi pencegah kepada kita daripada melakukan keburukan yang lain. Dan bayangkan jika malaikat bertemu dengan Allah lalu berkata:

“Aku meninggalkan hambaMu dalam keadaan dia melakukan solat dengan sempurna”.


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Natirah Azira

Beliau merupakan graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Al-Quran dan Sunnah. Pernah mendalami bidang Psikologi selama dua tahun dan sekarang sedang menyambung pengajian peringkat Ijazah Sarjana dalam bidang Kaunseling di Universiti Sains Malaysia.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami