Keluarga

“Mak, Saya Nak Kahwin” – Bagaimana Cara Yang Betul Memujuk Orang Tua Anda

Oleh Fieyzah Lee  •  17 Sep 2019  •  5 min baca

Perkahwinan bukan permainan dan boleh dilakukan secara suka-suka atau mengikut ‘trend’. Ia merupakan sebuah ibadah dan melaksanakannya mampu mendekatkan atau menjauhkan diri anda kepada tuhan, bergantung kepada siapa pasangan yang anda pilih.

Disebabkan itu, bukan mudah untuk memilih pasangan yang betul-betul menepati kriteria dan kehendak diri sendiri apatah lagi ibu bapa.

Kadang-kadang dilemanya mampu menimbulkan masalah yang besar kepada sesebuah keluarga sehinggakan ada ibu bapa yang membuat keputusan untuk menetapkan sendiri jodoh anak-anak mereka, bimbang dapat menantu yang kurang elok perangainya.

Apabila anak-anak mengutarakan niat untuk berkahwin, ibu bapa akan merasa was-was dengan kebolehupayaan mereka untuk mengemudi bahtera rumah tangga tersebut dan cenderung untuk menepis niat tersebut dengan alasan anak-anak masih muda dan belum matang untuk perkahwinan.

Antara sebab lain permintaan mereka ditolak juga kerana kurangnya kepercayaan terhadap anak-anak. Mungkin disebabkan oleh perangai anak-anak yang ditonjolkan tidak sesuai untuk menggalas tanggungjawab sebagai suami atau isteri orang.

Ibu bapa juga cenderung untuk meletakkan sendiri garis panduan yang diperlukan terhadap sesebuah perkahwinan tanpa memikirkan perasaan anak-anak sendiri kerana asam garam yang mereka lalui dalam perkahwinan menjadikan segelintir ibu bapa ingin memberikan yang terbaik untuk perkahwinan anak-anak.

Namun, jika anda sudah berjumpa dengan pasangan yang dirasakan sesuai dengan anda dengan telah meminta petunjuk dari tuhan, maka teruskanlah niat anda dengan mengatur strategi yang betul untuk memujuk ibu bapa anda.

Untuk entri kali ini, terdapat beberapa tips yang boleh digunakan berkenaan bagaimana cara yang betul untuk memujuk ibu bapa anda agar menerima calon menantu mereka dan percaya dengan keputusan besar yang anda lakukan dalam hidup.

#1 – Tunjukkan Kematangan

Antara sebab utama mengapa sukar unutk ibu bapa melepaskan anak-anaknya ialah kerana sikap dan perangai yang ditunjukkan tidak berkenan di mata mereka, baik sikap anda mahupun pasangan tersebut.

Oleh itu, mula ubah sedikit demi sedikit sikap anda. Jika anda seorang yang kurang handal dalam melakukan kerja rumah, mula ubah sikap tersebut dengan membantu mereka memasak atau berkebun.

Jika anda seorang yang sukar bangun pagi, mula ubah gaya hidup tersebut dengan bangun di awal pagi. Adalah lebih baik mengajak ibu bapa anda untuk solat bersama waktu Subuh. Ia sedikit sebanyak membuktikan bahawa anda sudah mampu menggalas tanggungjawab sebagai imam bukan sahaja dalam sembahyang namun dalam rumah tangga.

Ibu bapa sudah menjaga anda sedari kecil. Mereka tahu sejauh mana kematangan anda dan tidak akan sewenang-wenangnya melepaskan anda kepada sebuah tanggungjawab yang amat besar.

Disebabkan itu, apabila anda tidak menunjukkan usaha yang jitu dan secara konsisten, maka kepercayaan mereka kepada anda masih kurang. Terus tunjukkan usaha yang berterusan kepada mereka sebagai tanda anda sudah bersedia.

#2 – Tunjukkan Simpanan Yang Ada

Ibu bapa hanya inginkan yang terbaik untuk anak-anak mereka. Zaman sekarang, semua benda memerlukan wang apatah lagi perkahwinan. Ia memerlukan bajet yang besar.

Jika anda tidak ingin melangsungkan perkahwinan secara besar-besaran sekali pun, namun fikirkan bayaran kepada Tok Kadi atau bahan-bahan masakan yang diperlukan sekurang-kurangnya untuk menjamu keluarga anda dan bakal mertua.

Bayangkan bagaimana ibu bapa akan mengizinkan anda untuk berkahwin jika anda sendiri tidak punya wang yang cukup untuk menampung diri sendiri, bagaimana pula anda akan menampung anak orang lain.

Kumpul wang terlebih dahulu dan tunjukkan sedikit simpanan yang telah anda lakukan bagi membuktikan bahawa anda mampu untuk berdikari menampung rumah tangga anda suatu hari nanti tanpa mengharapkan duit ibu bapa anda.

Tugas mengumpul wang bukan jatuh kepada kaum lelaki sahaja, namun kepada si gadis juga. Tunjukkan usaha yang anda akan membantu pasangan anda tanpa membiarkannya mengumpul wang sendiri.

Sekurang-kurangnya di situ, ibu bapa masing-masing akan melihat bahawa kalian sudah mempunyai titik persamaan untuk saling menyokong antara satu sama lain di setiap kesusahan dan juga kesenangan.

Hari ini, kita melihat banyak kisah kejayaan dan kesungguhan mereka yang melakukan dua ke tiga kerja semata-mata untuk menghalalkan hubungan dan membuktikan kesungguhan itu kepada orang tua.

Mungkin di antara kisah yang ada boleh dijadikan inspirasi buat anda agar mampu mengejar impian tersebut.

#3 – Pujuk Dengan Konsisten

Setelah melakukan istikharah, anda boleh mula berbincang mengenai perkahwinan kepada orang tua anda dengan perbincangan yang matang dan bukan sekadar basa-basi. Kedua ini mempunyai perbezaan yang besar.

Tunjukkan kepada mereka pandangan anda mengenai perkahwinan agar ibu bapa anda faham dan boleh bersikap terbuka mengenainya. Jika mereka membantah sekali pun, jangan cepat memberontak dan terus membuat keputusan untuk berkahwin lari.

Kita hidup di zaman era 21, jadi pemikiran harus matang dan selari dengan zaman ini. Terus mengatur strategi untuk memujuk ibu bapa anda agar perbincangan mengenai perkahwinan itu terjadi secara konsisten, menunjukkan anda serius untuk melangsungkan perkahwinan.

Ustaz Ahar Idrus pernah berkongsi mengenai perkara ini melalui kuliahnya – “Pujuk dulu hari ini, cakap secara perlahan dan lembut. Jika mereka tidak bagi, sabar. Bagi peluang kepada mereka untuk hadam perkara tersebut. Kemudian, cuba pujuk lagi dan lagi, dari masa ke masa agar mereka yakin dengan keputusan anda. Mana tahu, suatu hari nanti mereka akan terbuka hati untuk menerima.”

Oleh itu, jangan berputus asa untuk terus memujuk ibu bapa anda dengan perkataan dan perbuatan yang baik-baik.

#4 – Cuba Fahami Isi Hati Mereka

Jika perkara tersebut berlarutan sehingga boleh menyebabkan hubungan tidak elok, cuba ambil sedikit ruang dan masa untuk memahami isi hati ibu bapa anda.

Kita hanya berfikir mengenai perasaan dan isi hati sendiri untuk berkahwin tanpa mengambil berat mengenai ibu bapa. Di sebalik sikapnya yang menolak perkahwinan tersebut, pasti ada alasan tersendiri.

Tanya dan faham mereka dengan melakukan perbincangan secara baik dan telus. Cuba untuk capai titik persamaan antara mereka agar semuanya boleh berjalan dengan lancar.

Kadang-kadang, kita mungkin terlepas pandang satu perkara yang dianggap kecil iaitu komunikasi sedangkan ia merupakan langkah awal untuk pembentukan persefahaman.

Kesimpulan

Yang paling penting ialah sentiasa berdoa kepada Allah agar dilembutkan hati untuk mereka menerima dan merestui setiap keputusan yang anda bakal lakukan dalam hidup.

Walau banyak usaha yang dilemparkan, namun Allah yang memegang hati hamba-hambaNya. Oleh itu doa dan tawakkal merupakan salah satu kunci utama yang perlu ada dalam setiap usaha yang diletakkan.

وَتَوَكَّلْ عَلَى الْحَيِّ الَّذِي لَا يَمُوتُ وَسَبِّحْ بِحَمْدِهِ ۚ وَكَفَىٰ بِهِ بِذُنُوبِ عِبَادِهِ خَبِيرًا

Mafhum: “Dan berserahlah kepada Allah Tuhan Yang Hidup, yang tidak mati; serta bertasbihlah dengan memujiNya; dan cukuplah Ia mengetahui secara mendalam akan dosa-dosa hambaNya.” (Surah Al-Furqan, 25:58)


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Fieyzah Lee

Fieyzah Lee

Merupakan seorang pelajar Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Bahasa Melayu untuk Komunikasi Antarabangsa. Seorang yang suka membaca bahan bacaan dalam bidang sejarah dan motivasi

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami