Gaya Hidup

Maafkan Diri Sendiri Dan Beri Ruang Pembaikan Buat Diri

Oleh Fizah Lee  •  13 Jan 2021  •  2 min baca

Tiada siapa yang pernah lari dari kesilapan sama ada silap mengatur langkah, silap dalam berkata-kata atau silap dari membuat keputusan.

Apabila perkara tersebut berlaku, mulalah fasa menyalahkan diri sendiri terutamanya jika ia memberi impak yang sangat besar kepada diri.

Manusia cenderung untuk mengingati kesilapan berbanding dengan perkara betul yang dilakukan sama ada ia berkait dengan diri sendiri atau juga dengan orang lain.

Disebabkan itulah, wujudnya fasa-fasa yang sukar untuk move on akibat dari kesilapan ini. Dan dengan itu jugalah kita melihat banyak tips move on atau melupakan yang muncul bagi membantu insan yang terkandas dalam kehidupan mereka.

Belajar Memaafkan Diri

Sebenarnya, bukan mudah untuk terus melangkah terutamanya jika kesannya mendalam buat diri anda. Namun, perkara yang paling utama untuk dilakukan adalah dengan memaafkan diri sendiri.

Tidak kiralah kemaafan itu untuk diri anda atau orang lain, ia adalah langkah pertama yang sepatutnya diberikan. Jika anda mencari kesalahan diri sendiri secara terus-terusan atau meletakkan kesalahan terhadap orang lain, ia akan membuatkan anda tersekat pada zon tersebut.

Perkara inilah yang merisaukan kerana ia boleh memberikan kesan yang negatif kepada emosi dan minda anda.

Memaafkan bukan bermaksud anda melupakannya dengan sewenang-wenangnya, namun cara yang betul adalah dengan lihat sejenak kepada perkara yang berlaku dari setiap sudut.

Mengapa ia berlaku? Apa kesannya kepada diri anda? Bagaimana penerimaan orang sekeliling dan sebagainya.

Dengan penilaian inilah anda boleh belajar sesuatu dan menjadikannya sebagai suatu pengalaman hidup agar perkara yang sama tidak akan berulang lagi.

Beri Ruang Baiki Diri

Setiap manusia sentiasa ada peluang untuk membaiki diri. Selagi kita diberi nafas untuk bangkit dari tidur setiap hari, selagi itulah kita masih diberi peluang untuk menjadi lebih baik.

Justeru, langkah terpenting selepas memaafkan adalah dengan melangkah ke arah yang lebih baik.

Anda sudah membuat penilaian terhadap masalah atau kesilapan yang berlaku. Justeru, fikir penyelesaian yang terbaik terhadap masalah tersebut.

Kata kepada diri anda – “Aku boleh menjadi lebih baik. Kesilapan semalam adalah pengajaran untuk aku.”

Jika anda sendiri telah menetapkan minda anda untuk memberi ruang kepada diri, maka anda pasti boleh melakukannya.

Sebagaimana manusia yang sentiasa meminta peluang kedua apabila mereka melakukan kesilapan kepada orang yang tersayang, begitulah kita yang sentiasa mempunyai peluang dari Allah untuk menjadi hamba yang lebih baik.

Jadi teruskan melangkah dan belajar memaafkan diri anda di setiap perkara yang berlaku.


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Fizah Lee

Merupakan seorang graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Bahasa Melayu untuk Komunikasi Antarabangsa. Seorang yang suka membaca bahan bacaan dalam bidang sejarah dan motivasi

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami