Hukum

Lihat Perbahasan Ulama Mengenai Hukum Mendengar Muzik

Oleh Fizah Lee  •  11 Dec 2019  •  3 min baca

Jika ditanya berkenaan hukum mendengar muzik atau bermain alatan muzik, para ulama membahaskan ia dalam pelbagai cabang dengan beberapa pendapat yang berbeza.

Bagi penulis, selagi mana sesebuah perbuatan itu tiada dalil haram mahupun perkara yang boleh mengharamkannya, maka adalah tidak mengapa dilakukan.

Malah, Islam sendiri tidak pernah menghalang umatnya untuk berhibur seketika dengan syarat tidak melampaui batas dan melalaikan.

يَا حَنْظَلَةُ سَاعَةً وَسَاعَةً وَلَوْ كَانَتْ تَكُونُ قُلُوبُكُمْ كَمَا تَكُونُ عِنْدَ الذِّكْرِ لَصَافَحَتْكُمُ الْمَلاَئِكَةُ حَتَّى تُسَلِّمَ عَلَيْكُمْ فِي الطُّرُقِ

Maksud: “Wahai Hanzalah! Ada masa untuk urusan keduniaan, ada masa untuk beribadah. Dan jika hati kamu sentiasa sama seperti kamu sedang mengingati Allah SWT, para malaikat akan bersalam denganmu dan memberi salam kepadamu di pertengahan jalan.” (Hadis Riwayat Muslim, no. 2750)

Baginda SAW juga telah menjelaskan bahawa, hiburan itu selagi mana ia tidak melalaikan dan mengandungi unsur yang boleh melanggar akidah, maka adalah tidak mengapa melakukannya.

Perbahasan Ulama Mengenai Muzik

Ramai ulama yang berbeza pendapat mengenai alat muzik dan juga nyanyian. Ada yang mengeluarkan pandangan yang mengharuskan dan ada juga yang mengatakan bahawa ia adalah perkara yang haram dilakukan secara total.

#1 – Ulama Yang Mengharamkan

Imam Malik, Syeikh Al-Islam Ibnu Taimiyah, Imam Al-Nawawi, Imam Ibn Hajar Al-Haitami, Ibn Qudamah dan Imam Al-Qurtubi adalah antara ulama yang berpegang kepada haramnya muzik.

Mereka berpegang kepada beberapa hadis Nabi SAW yang menunjukkan kepada pengharamannya dan salah satunya ialah:

لَيَشْرَبَنَّ نَاسٌ مِنْ أُمَّتِي الْخَمْرَ يُسَمُّونَهَا بِغَيْرِ اسْمِهَا يُعْزَفُ عَلَى رُءُوسِهِمْ بِالْمَعَازِفِ وَالْمُغَنِّيَاتِ يَخْسِفُ اللَّهُ بِهِمُ الأَرْضَ وَيَجْعَلُ مِنْهُمُ الْقِرَدَةَ وَالْخَنَازِيرَ

Maksud: “Manusia daripada kalangan umatku akan meminum arak dan menamakannya dengan nama selain arak, alat muzik akan dimainkan untuk mereka dan penyanyi wanita menyanyi untuk mereka. Allah SWT akan menjadikan bumi menelan mereka dan menukar mereka menjadi monyet dan babi.” (Hadis Riwayat Ibn Majah, no. 4020)

Antara jawapan lain para ulama ini apabila ditanyakan mengenai muzik dan nyanyian, mereka berpendapat bahawa perkara seperti ini boleh menimbulkan mudarat terhadap agama.

Malah, para agamawan lain juga berpendapat bahawa, hiburan berbentuk nyanyian boleh mengasyikkan sesiapa yang mendengarnya dan menjadi lebih teruk apabila mendengar lagu yang tidak diketahui maksudnya atau mempunyai lirik yang berbentuk tidak senonoh.

#2 – Ulama Yang Mengharuskan

Abu Bakar Ibnu Al-Arabi, Ibnu Hazm, pandangan dalam Mazhab Syafi’e, Imam Al-Syaukani dan beberapa ulama lain meletakkan hukum harus kepada muzik dan nyanyian dan ia perlulah dilakukan dalam keadaan besederhana serta mengikut syarat dan garis panduan yang ditetapkan.

Mereka berpendapat sedemikian kerana tiada dalil yang mengharamkan nyanyian malah apabila dilihat pada sirah Nabi SAW, Baginda juga dikatakan pernah menghadiri majlis yang terdapat unsur-unsur sedemikian dan tidak pula melarangnya.

أَنَّهَا زَفَّتِ امْرَأَةً إِلَى رَجُلٍ مِنَ الأَنْصَارِ فَقَالَ نَبِيُّ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم ‏ “‏ يَا عَائِشَةُ مَا كَانَ مَعَكُمْ لَهْوٌ فَإِنَّ الأَنْصَارَ يُعْجِبُهُمُ اللَّهْوُ

Maksud: “‘Aisyah RA mempersiapkan seorang wanita untuk dinikahi dengan lelaki. Rasulullah SAW bersabda: “Wahai Aisyah, tiadakah sebarang hiburan dalam majlis perkahwinan ini? Sesungguhnya kaum Ansar amat menyukai hiburan.” (Hadis Riwayat Bukhari, no. 5162)

Tambah lagi, niat dan situasi mendengar muzik itu perlu selari. Jika muzik itu dimainkan dalam keadaan untuk bermaksiat kepada Allah, maka hukumnya adalah haram.

Walau bagaimanapun, jika muzik tersebut dimainkan untuk tujuan menyampaikan dakwah melalui liriknya atau menambah semangat seperti ketika belajar dan sebagainya, maka ia adalah tidak mengapa.

Malah, menurut golongan agamawan lagi, muzik itu berbentuk komunikasi dan susunan perkataan. Perkataan yang baik, maka ia adalah baik dan perkataan yang buruk maka buruklah jadinya.

Oleh itu, jika mendengar muzik yang mengandungi lirik yang tidak keterlaluan dan bebas dari unsur lucah atau tidak mempunyai unsur agama lain, maka ia adalah tidak mengapa. Cukup didengar sebagai hiburan seketika dan bukannya untuk melalaikan.

Sebaiknya juga mendengar muzik yang boleh menambah kecintaan kepada Allah dan agama sendiri serta mempunyai lirik yang boleh membina jiwa dan jati diri berbanding dengan lagu-lagu yang tidak membawa apa-apa maksud.

Wallahu a’alam.

Rujukan:
Mufti Wilayah


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Fizah Lee

Merupakan seorang graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Bahasa Melayu untuk Komunikasi Antarabangsa. Seorang yang suka membaca bahan bacaan dalam bidang sejarah dan motivasi

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami