Kesihatan

Lihat Apa Yang Islam Ajar Sebagai Adab Ketika Menguap

Oleh Fieyzah Lee  •  24 Sep 2019  •  4 min baca

Menguap merupakan satu aktiviti normal yang berlaku kepada manusia dan mamalia lain. Ia merupakan sebagai sebuah isyarat yang dihantar oleh otak menandakan bahawa anda sedang dalam keadaan mengantuk atau penat.

Menurut sebuah kajian yang dilakukan oleh Dr. Andrew C. Gallup dan kumpulan penyelidikannya dari State University of New York melaporkan bahawa menguap mampu mengawal suhu otak.

Regangan yang berlaku di sekitar rahang mampu meningkatkan alirah darah di leher, muka dan kepala serta boleh menggerakkan cairan tulang belakang dan darah dari otak ke bawah.

Keletihan dan kurang tidur akan mengakibatkan kenaikan suhu otak sehingga tubuh akan bertindak balas secara refleks untuk menggerakkan saraf-saraf otak.

Ia sekali gus boleh menyebabkan berlakunya aktiviti menguap berkali-kali untuk menyejukkan suhu otak. Disebabkan itu, melalui aktiviti menguap, ia mampu menyedut udara sejuk untuk menyejukkan cairan ini.

Ia juga boleh terjadi secara tanpa sengaja, iaitu aktiviti yang involunteer. Namun, buat mereka yang menguap secara berlebihan, ia mungkin adalah disebabkan oleh beberapa faktor antaranya gangguan tidur seperti narkolepsi, kesan sampingan daripada ubat-ubatan atau juga pendarahan di sekitar jantung.

Adab Ketika Menguap

إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الْعُطَاسَ ، وَيَكْرَهُ التَّثَاؤُبَ ، فَإِذَا عَطَسَ فَحَمِدَ اللَّهَ فَحَقٌّ عَلَى كُلِّ مُسْلِمٍ سَمِعَهُ أَنْ يُشَمِّتَهُ ، وَأَمَّا التَّثَاؤُبُ فَإِنَّمَا هُوَ مِنْ الشَّيْطَانِ فَلْيَرُدَّهُ مَا اسْتَطَاعَ فَإِذَا قَالَ : هَا ضَحِكَ مِنْهُ الشَّيْطَانُ

Maksud: “Sesungguhnya Allah menyukai bersin dan tidak menyukai tasa’ub (menguap). Jika seseorang bersin maka ucapkanlah hamdallah dan merupakan hak baginya terhadap setiap muslim yang mendengarnya untuk ber-tasymit. Namun, menguap itu adalah dari syaitan. Maka, hendaklah ia menahan seboleh mungkin. Jika ia menguap sehingga mengeluarkan suara ‘hah’ maka syaitan pun akan turut tertawa.” (Hadis Riwayat Bukhari, no. 6223 dan Muslim, no. 2994)

Manguap itu merupakan sebuah amalan yang tidak disukai kerana ia merupakan salah satu cara untuk syaitan masuk ke dalam badan manusia.

Syaitan itu merupakan makhluk yang tanpa jasad dan boleh masuk ke dalam badan manusia melalui angin dan salah satunya melalui aktiviti menguap.

Oleh itu, Islam mengajarkan seluruh manusia untuk beradab walau dalam keadaan menguap. Ini bukan sahaja untuk mengelakkan menguap itu daripada berjangkit, malah sekali gus boleh mengangkat aktiviti itu sebagai salah satu ibadah apabila kita mengikut sunah yang diamalkan Baginda.

#1 – Menutup Mulut Ketika Menguap

Menutup mulut dengan tangan kanan. Itu merupakan sunnah yang dilakukan oleh Baginda ketika menguap. Namun, ada dalam kalangan ulama’ yang berpendapat bahawa perkara yang buruk perlu dimulakan dengan sebelah kiri seperti masuk ke tandas dan sebagainya.

Walau Bagaimanapun, dalam mengikut sunnah Baginda SAW ketika menguap, ia hendaklah ditutup dengan tapak tangan kanan manakala jika hendak menggunakan tangan kiri, maka hendaklah ditutup dengan bahagian belakang tapak tangan kiri.

Ini ada dibahaskan oleh Al-Munawi RA dalam kitabnya yang berbunyi:

(فليضع يده) أي ظهر كف يسراه كما ذكره جمع ، ويتجه أنه للأكمل وأن أصل السنة يحصل بوضع اليمين . قيل : لكنه يجعل بطنها على فيه عكس اليسرى

Maksud: “Menutup dengan meletakkan belakang telapak tangan kiri sebagaimana yang dilakukan oleh sebahagian ulama’ dan mereka berpandangan bahawa itu lebih sempurna. Walau pada asalnya yang lebih sesuai sunnah adalah dengan meletakkan tangan kanan sebagaimana dalam hadis disebutkan ‘maka letakkanlah tangannya …” namun (jika dengan tangan kanan) maka dengan meletakkan telapaknya, tidak sebagaimana jika menggunakan tangan kiri.” (Kitab Faidhul Qadir)

#2 – Menguap Tanpa Mengeluarkan Bunyi

Sebolehnya dielakkan mengeluarkan bunyi ketika menguap sama ada ‘hah’ di akhirnya atau sepanjang mulut dingangakan.

Menurut Kitab Riyadhus Salihin, makruh hukumnya orang yang mengeluarkan bunyi ketika menguap kerana ia dikatakan merupakan satu perbuatan yang tidak beradab.

فَإِذَا قَالَ هَا ضَحِكَ مِنْهُ الشَّيْطَانُ

Maksud: “Jika seseorang mengucapkan ‘hah’, maka syaitan akan mentertawakannya.” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

#3 – Berusaha Menahannya

Menguap sama ada di dalam solat atau tidak perlu berusaha untuk menahannya dengan mengetap bibir. Jika tidak mampu, maka tahanlah ia dengan meletakkan tangan di mulut.

إِذَا تَثَاوَبَ أَحَدُكُمْ فِي الصَّلَاةِ فَلْيَكْظِمْ مَا اسْتَطَاعَ

Maksud: “Jika kamu menguap di dalam solat, maka tahanlah seboleh yang mungkin.” (Hadis Riwayat Muslim, no. 2995)

Kesimpulan

Antara cara yang diajarkan oleh beberapa pakar kesihatan mengenai bagaimana untuk menahan menguap adalah dengan mengambil nafas dalam-dalam, iaitu hirup udara dari hidung dan keluarkannya melalui mulut atau boleh juga dilakukan sedikit regangan ringkas untuk membantu anda mengembalikan semangat dan fokus.

Menguap merupakan sistem semula jadi yang berlaku kepada tubuh anda sebagai tanda dan isyarat bahawa anda perlukan rehat.

Namun, jika ia terjadi secara berlebihan dan membuatkan anda risau dengan keadaan kesihatan kerana terlalu kerap menguap, maka disarankan oleh pakar-pakar perubatan untuk melakukan pemeriksaan lanjut di hospital.

Rujukan:
Medival News Today – What Causes Excessive Yawning
Adab Menguap Dalam Islam


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Fieyzah Lee

Fieyzah Lee

Merupakan seorang pelajar Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Bahasa Melayu untuk Komunikasi Antarabangsa. Seorang yang suka membaca bahan bacaan dalam bidang sejarah dan motivasi

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami