Sejarah

Larangan Umrah dan Haji – Kaabah Pernah Ditutup Lebih 40 Kali

Oleh Natirah Azira  •  9 Mar 2020  •  3 min baca

Seluruh dunia masih belum reda dengan wabak Coronavirus COVID-19, malah angka kes dan juga kematian semakin bertambah dari semasa ke semasa.

Minggu lalu, pihak Kerajaan Arab Saudi mengambil langkah menghalang jemaah dari negara yang terjejas memasuki Mekah dan Madinah bagi tujuan mengerjakan umrah.

Manakala kawasan Mataf (kawasan tawaf di sekeliling Kaabah) beberapa hari lalu ditutup untuk kerja-kerja pembersihan selepas waktu Isya’ sehingga Subuh. Walau bagaimanapun, kawasan tawaf di tingkat satu, dua dan kawasan bumbung masih dibuka.

Sebenarnya, peristiwa sebegini bukan pertama kali berlaku malah disebutkan bahawa Mekah pernah ditutup lebih 40 kali. Ia juga bukan tanda-tanda kiamat seperti yang digembar-gemburkan sesetengah pihak di media sosial.

Berikut antara peristiwa-peristiwa yang pernah membawa kepada larangan Umrah dan Haji serta penutupan Mekah:

865 Masihi – Seorang lelaki bernama Ismail ibn Yusuf Al-Alawi membunuh ribuan jemaah beramai-ramai dan membawa kepada penutupan kawasan Mekah dan Madinah.

930 Masihi – Abu Thahir al-Qaramithi dari golongan Syiah Ismailiyyah datang ke Mekah dan membunuh jemaah haji yang sedang beribadah. Batu hajarul aswad juga dicuri dan dikembalikan semula setelah 22 tahun disimpan di daerah Hajr.

983 Masihi – Berlaku perselisihan Bani Abbas dan Bani ‘Abid. Selama 8 tahun Muslimin dari Irak dilarang melaksanakan ibadah Haji.

1257 Masihi – Pada tahun ini semua penduduk Hijaz tidak dibenarkan mengerjakan Haji.

1258 Masihi – Berlaku serangan oleh tentera Mongolia di pusat pemerintahan Islam di Baghdad. Mereka membunuh 2 juta orang, membuang banyak buku ke dalam sungai serta membunuh khalifah. Kekacauan tersebut menyebabkan umat Islam takut untuk keluar mengerjakan Haji kerana takut dibunuh.

1814 Masihi – Kawasan Mekah pernah ditutup kerana wabak taun. Lebih kurang 8000 orang meninggal dunia kerana wabak ini.

1831 Masihi – Terjadi wabak Hindi yang dipercayai berpunca dari India yang akhirnya membunuh 3/4 jemaah Haji pada tahun ini.

1837 Masihi – Kawasan Mekah ditutup dan Haji tidak dijalankan sehingga tiga tahun seterusnya kerana penyakit berjangkit/epidemik.

1846 Masihi – Wabak Kolera menyerang pada tahun ini. Ibadah haji dan umrah dihentikan.

1858 Masihi – Berlaku penyebaran penyakit berjangkit yang teruk sehingga penduduk Hijaz berhijrah ke Mesir untuk menyelamatkan diri. Pusat kuarantin dibangunkan di Bi’r Anbar bagi mengawal jangkitan.

1864 Masihi – Lebih kurang 1000 orang jemaah haji meninggal setiap hari kerana wabak. Kerajaan Mesir bertungkus lumus menghantar doktor ke sana dan membangunkan pusat kuarantin di sekitar Mekah dan Madinah bagi membendungnya.

1892 Masihi – Wabak kolera menyerang dan menyebabkan kematian ribuan jemaah haji. Kematian bertambah di Arafah dan Mina. Dilaporkan sehingga mayat-mayat bertimbun sebelum dapat ditanam.

1987 Masihi – Lebih 10,000 orang terkena jangkitan Meningitis pada tahun ini dan memberi kesan kepada ibadah umrah dan haji.

Rujukan:
IlmFeed dan Jejak Imani


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Natirah Azira

Beliau merupakan graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Al-Quran dan Sunnah. Pernah mendalami bidang Psikologi selama dua tahun dan sekarang sedang menyambung pengajian peringkat Ijazah Sarjana dalam bidang Kaunseling di Universiti Sains Malaysia.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami