Oleh Natirah Azira • 13 Oct 2018 • 3 min baca
Kyoichiro Sugimoto berasal dari Seki, Gifu, sebuah bandar yang sangat terkenal dengan pembuatan pedang samurai lebih 800 tahun. Beliau sekarang tinggal di Chiba, di bandar metropolitan Tokyo.
Penghijrahannya kepada Islam bermula apabila beliau mengunjungi Bangladesh pada tahun 1996. Apabila beliau melihat kemelaratan hidup rakyat Bangladesh, beliau berasa sangat tidak selesa.
Kata beliau, manusia tidak dapat memilih tempat lahir, jadi adalah tidak adil sekiranya anak-anak kecil di Bangladesh hidup dalam kemiskinan hanya kerana mereka lahir di Bangladesh sedangkan bangsanya di Jepun dapat hidup selesa kerana lahir di Jepun.
Fikir beliau, kekusutan ini perlu diselesaikan dengan suatu ‘sistem’. Ketika itulah beliau mula membaca al-Quran yang telah diterjemahkan maksudnya ke dalam bahasa Jepun dan menemui ayat yang menyebut tentang akhirat.
“Wahai kaumku! Sesungguhnya kehidupan dunia ini hanyalah kesenangan (untuk sementara waktu sahaja), dan sesungguhnya hari akhirat itulah sahaja negeri yang kekal”(Surah al-Ghafir 40:39)
Dari situ beliau menyedari bahawa Islamlah ‘sistem’ yang terbaik untuk menyelesaikan masalah tersebut. Ia perlu dilihat dari sudut pandang yang berbeza. Dalam ayat tersebut Allah menyatakan bahawa semua perkara tidak hanya berakhir di dunia kerana adanya akhirat.
Sebab itu tempat lahir bukanlah suatu yang penting. Yang paling penting adalah bagaimana kita melalui kehidupan. Itulah yang akan menentukan destinasi terakhir kita, syurga atau neraka. Dengan adanya sistem ini (kehidupan selepas mati), barulah ada keadilan yang sebenar. Kesedaran inilah yang membuatkan beliau akhirnya memeluk Islam pada tahun 1997.
Beliau kini aktif melakukan kerjasama dengan pertubuhan ‘non-profit’ iERA sebagai ‘International Outreach Specialist’ untuk menyebarkan dakwah Islam kepada lebih ramai rakyat Jepun.
Objektif beliau dalam aktiviti tersebut ada tiga iaitu:
1. Menyampaikan dakwah kepada rakyat Jepun melalui pendidikan, ceramah motivasi dan membina hubungan silaturahim yang erat.
2. Memberdayakan golongan yang baru memeluk Islam dan juga golongan muda Islam melalui pendidikan dan latihan supaya mereka dapat meneruskan misi dakwah Rasulullah SAW di dalam dan luar Jepun.
3. Mempromosikan perpaduan dan kepelbagaian budaya antara golongan Muslim Jepun dan golongan bukan Islam melalui aktiviti rakyat setempat, kempen dan kerjasama.
Kata beliau, bilangan rakyat Islam di dunia ini melebihi 1 bilion, namun usaha dakwah kita masih lagi kecil. Setiap orang perlu ada keinginan untuk menyebarkan Islam walaupun hanya dengan sepatah perkataan.
Semoga kesungguhan yang ditunjukkan oleh Kyoichiro ini mampu menyuntik semangat dalam diri kita untuk juga berdakwah kepada masyarakat Islam dan bukan Islam yang ada di Malaysia.
Jika anda berminat untuk menyumbang kepada pertubuhan yang diusahakan oleh beliau, boleh tekan link di bawah:
donate.iera.org
Sumbangan anda bukan hanya akan membantu gerak kerja dakwah di Jepun, malah akan disalurkan ke tempat-tempat lain seperti Amerika Selatan, Eropah, Asia dan lain-lain.
Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.
Kempen Dakwah Digital
Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.