Gaya Hidup

Konsep Jiran Tetangga Di Dalam Islam

Oleh Rabiatul Adaweeyah  •  19 Jan 2017  •  3 min baca

Berdasarkan kamus dewan, jiran adalah orang yang berada dekat dengan rumah yang lain. Jiran juga bermaksud tetangga, orang sebelah, orang sekampung, teman; berjiran: bertetangga, berhampiran, sebelah-menyebelah, berdekatan, sekampung, sedesa, setempat; kejiranan: kemuafakatan, kerjasama, kesepakatan.

Menurut Ali Ibn Talhah daripada Ibnu Abbas, jiran membawa pengertian hubungan kekeluargaan atau pertalian darah.

Seperti sabda Rasulullah SAW;

“Empat puluh buah rumah tetap sebagai jiran tetangga.”

Hadis Riwayat Daud

Ini menunjukkan bahawa walaupun jarak dari rumah seseorang diselangi 40 buah rumah, tetap dikira sebagai jiran tetangga. Dengan itu, setiap individu perlu memelihara hak-hak jiran demi memenuhi tuntutan agama, selain menjaga hubungan silaturahim dan ketenteraman sejagat.

Jadi, bagaimana adab berjiran menurut Islam?

1# Tidak Menyakiti Jiran

Sebagai jiran, seseorang itu mestilah menjauhi segala perbuatan yang tidak disenangi oleh jiran tetangganya. Perbuatan tersebut seperti mencuri, membuat bising, memfitnah, membuang sampah berdekatan dengan rumah jiran sehingga menimbulkan bau busuk.

Sabda Rasulullah SAW;

“Tidaklah masuk syurga orang yang tetangganya tidak aman kerana gangguannya.”

Hadis Riwayat Muslim

Dengan itu, sangatlah rugi bagi golongan yang beriman kepada Allah tetapi bersikap buruk terhadap jirannya. Jadi, berlemah-lembutlah terhadap jiran, jangan meninggikan suara, menegur jiran-jiran dengan ucapan salam dan senyuman, sentiasa bersangka baik, menerima teguran jiran atas kesilapan sendiri dan lain-lain hal yang menjaga ketenteraman kejiranan.

2# Menjaga dan Mengambil-berat Terhadap Jiran

Lebih bertanggungjawab jika seseorang itu menjaga kepentingan jiran-jirannya dengan ikhlas tanpa mengharapkan ganjaran dan perhatian. Bermula dari amalan ni akan melahirkan masyarakat yang berkasih-sayang.

Rasulullah SAW mengingatkan umatnya agar sentiasa mengambil-berat sesama saudara seislamnya.

“Barang siapa yang menolong saudaranya yang lain maka Allah akan menuliskan baginya tujuh kebaikan bagi setiap langkah yang dilakukannya.”

Hadis Riwayat Thabrani

Jika terdapat jiran yang sakit atau ditimpa ujian, ziarahlah mereka dan hulurkanlah bantuan mengikut kemampuan. Selain itu, selalu bertanya khabar akan kesihatan jiran-jiran.

Oleh itu, sedikit sebanyak, seseorang itu perlu mengetahui akan pekerjaan dan cara kehidupan jiran-jirannya. Ini bukanlah untuk ‘menjaga tepi kain orang’ tetapi sebagai seorang ahli masyarakat yang bertanggungjawab dan benar-benar mengenali jirannya.

3# Berbuat Baik Dan Memelihara Keamanan Dengan Jiran

Melakukan kebaikan terhadap jiran termasuklah dengan memberi buah tangan atau bertukar pemberian, sehinggalah kepada ucapan takziah atau tahniah atas apa-apa berita berkaitan.

Lakukanlah perkara dan usaha selagi tidak melanggar akidah dalam berbuat baik kepada jiran tetangga. Jika setiap jiran berusaha untuk menjaga hati jiran masing-masing, pasti kawasan kejiranan tersebut sentiasa aman dan tenang menjalani kehidupan seharian.

Sesungguhnya sesiapa yang mengembirakan jirannya akan digembirakan pula oleh Allah SWT.

“Barang siapa memberikan kegembiraan kepada seorang mukmin, maka Allah akan memberikan kegembiraan kepadanya pada hari kiamat.”

Hadis Riwayat Ibnu Mubarak

Oleh itu, Muslim yang menyedari serta memahami hukum-hukum agama, pasti orang yang paling baik dalam menjaga hubungannya dengan jiran-jirannya. Bahkan akan sentiasa menghormati dan menimbulkan ihsan apabila berinterasi.

#4 Memuliakan Jiran

Nabi Muhammad SAW mengingatkan umatnya agar memulia dan menghormati jiran seperti melayan kaum keluarga sendiri. Sabda Baginda;

“Jibril sentiasa mewasiatkan kepadaku supaya berbuat baik kepada jiran sehinggalah aku merasakan jiran itu kerabatku.”

Hadis Riwayat al-Bukhari

Perbuatan memuliakan jiran ini termasuklah mengurus dan mengiringi jiran yang meninggal dunia sehingga ke tanah perkuburan.

Islam adalah agama yang sangat menitikberatkan hubungan silaturahim dan pertalian sesama manusia, selain menuntut umatnya bercampur gaul dan bermasyarakat. Dengan itu, menghormati jiran adalah penting demi kebaikan dan persaudaraan.

Ini termasuklah jiran yang bukan beragama Islam; sebagai cabang dakwah bahawa Islam adalah agama yang menganjurkan kemesraan dan tidak gemarkan perpecahan.

Sesungguhnya umat Islam yang menyedari dan memahami hukum-hukum agama adalah yang paling baik hubungannya terhadap jiran-jirannya.


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Rabiatul Adaweeyah

Rabiatul Adaweeyah

Berkelulusan Ijazah Sarjana Muda dari Universiti Malaya dalam Pengkhususan Pengajian Media Dan Sejarah. Sekarang bertugas sebagai Editor di sebuah syarikat penerbitan buku.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami