Ibadah, Kesihatan

Ketahanan Badan Meningkat Dengan Mengamalkan Puasa Hari Putih

Oleh Fieyzah Lee  •  12 Jul 2019  •  4 min baca

Islam telah menganjurkan setiap umatnya untuk tidak meninggalkan amalan wajib dan memperbanyakkan ibadah sunat. Jika disingkap kehidupan Baginda SAW, banyak amalan sunat yang sentiasa dilakukannya dan ia kekal menjadi ikutan sahabat-sahabatnya serta penganut Islam sehingga ke hari ini.

Antara salah satu ibadat sunat yang setia diamalkan ialah berpuasa. Dalam Islam, banyak puasa yang telah dianjurkan selain puasa wajib di bulan Ramadan, iaitu puasa sunat Syawal, puasa hari Arafah, puasa sunat Isnin dan Khamis serta puasa Hari Putih.

Puasa bukan sahaja digalakkan oleh kaum muslim malah kepada setiap manusia yang bukan muslim juga. Hal ini kerana, amalan puasa telah dibuktikan mampu memberi seribu satu kelebihan terhadap pengamalnya.

Anjuran Berpuasa Bagi Pesakit Yang Ingin Menjalani Rawatan

Para doktor juga kebiasaannya akan menyuruh pesakitnya yang sedang menerima rawatan atau akan melakukan pembedahan untuk berpuasa beberapa jam sebelum rawatan dilakukan. Hal ini adalah untuk mengosongkan isi perut dan membantu melancarkan pencernaan sisa makanan agar proses pembedahan berjalan lancar.

Semasa dalam tempoh pembedahan, pesakit yang sedang dalam keadaan bius akan cenderung untuk mengalami muntah akibat makanan yang tidak dicerna dengan baik. Ia akan mengakibatkan makanan tersebut untuk naik ke paru-paru sekali gus akan menghalang paru-paru daripada berfungsi dengan baik.

Hal ini bermaksud, risiko paru-paru gagal berfungsi dan akan menyebabkan kematian adalah lebih tinggi berbanding keberhasilan sesebuah pembedahan.

Puasa juga dikatakan mampu untuk menggalakkan penurunan berat badan, memastikan paras insulin dalam badan berada pada tahap yang normal serta memperlahankan tanda-tanda penuaan.

Kelebihan Puasa Hari Putih

Selain puasa sunat Isnin dan Khamis, Islam juga menganjurkan puasa Hari Putih. Apa itu puasa Hari Putih serta kelebihannya?

Puasa Hari Putih merupakan puasa selama tiga hari di pertengahan bulan yang telah dianjurkan oleh sunnah sebagai suatu bentuk puasa sunat tambahan. Ia ada disebut melalui sebuah hadis yang telah diriwayatkan oleh Abu Dzar, iaitu:

يَا أَبَا ذَرٍّ إِذَا صُمْتَ مِنَ الشَّهْرِ ثَلاَثَةَ أَيَّامٍ فَصُمْ ثَلاَثَ عَشْرَةَ وَأَرْبَعَ عَشْرَةَ وَخَمْسَ عَشْرَةَ

“Wahai Abu Dzar, jika engkau ingin berpuasa tiga hari setiap bulan, maka berpuasalah pada tanggal 13, 14 dan 15 (dari bulan Hijrah).” (Hadis Riwayat Tirmidzi)

Ia digelar sebagai hari putih kerana pada tarikh ini (tarikh hijrah) bulan sedang mengambang dan cahayanya sangat cerah. Niat puasa Hari Putih adalah seperti beriku:

نَوَيْتُ صَوْمَ اَيَّامَ اْلبِيْضِ سُنَّةً لِلهِ تَعَالَى

Maksud: “Aku berniat berpuasa Hari Putih, sunat kerana Allah Ta’ala.”

Pahala puasa ini digambarkan sama jika kita berpuasa selama setahun. Ini adalah berdasarkan sebuah hadis daripada Abdullah ibn ‘Amru, iaitu:

صَوْمُ ثَلاَثَةِ أَيَّامٍ صَوْمُ الدَّهْرِ كُلِّهِ

Maksud: “Puasa pada tiga hari setiap bulannya adalah seperti puasa sepanjang tahun.” (Hadis Riwayat Bukhari)

Walau bagaimanapun, tarikh ini adalah sunat sahaja. Bagi mereka yang tidak boleh berpuasa pada tarikh tersebut, umumnya kaum hawa, maka adalah tidak mengapa untuk berpuasa pada tarikh lain dalam bulan Islam asalkan tiga hari dalam sebulan.

Rasulullah mengamalkan untuk berpuasa pada tarikh di atas, iaitu pertengahan bulan Islam dan ia telah menjadi ikutan dan sunnah yang diamalkan oleh umat Islam sehingga ke hari ini.

Walau bagaimanapun, apakah sebenarnya rahsia tersurat di sebalik amalan puasa selama tiga hari dalam sebulan ini?

Sebuah kajian telah dilakukan oleh Profesor Valter Lango di Universiti Southern California telah membentangkan sebuah hasil kajian yang cukup menarik untuk mengkaji kelebihan puasa ini.

Kajian dilakukan ke atas sekumpulan peserta yang telah diarahkan untuk berpuasa antara dua hingga empat hari dalam sebulan dan memakan tempoh selama enam bulan secara berturut-turut mendapati bahawa sistem ketahanan badan para peserta adalah lebih baik daripada sebelumnya.

Penemuan baru juga menunjukkan bahawa penurunan penghasilan enzim PKA, iaitu hormon yang telah dikaitkan dengan peningkatan risiko barah dan pertumbuhan tumor dalam badan adalah lebih baik. Hal ini bermaksud, risiko untuk mengalami penyakit berbahaya ini adalah tipis.

Sistem badan kita juga dikatakan akan cuba untuk menyimpan tenaga apabila berada dalam keadaan lapar. Keadaan ini akan menyebabkan sel-sel ketahanan badan akan dikitar semula terutamanya yang telah rosak dan tidak diperlukan lagi. Hal ini bermaksud, puasa dengan diikuti makanan yang sihat mampu untuk memulihkan sistem ketahanan badan agar menjadi lebih kuat dan tidak mudah dijangkiti penyakit.

Malah, ia dikatakan merupakan salah satu rawatan dan alternatif yang sesuai kepada pesakit yang sedang menjalani kemoterapi untuk mengembalikan semula sel-sel darah yang kurang serta membantu memberi kekuatan.

Kesimpulan

Puasa merupakan suatu amalan yang sihat dan mampu untuk membantu membaiki sistem dan daya imun dalam badan agar tidak mudah dijangkiti penyakit. Hal ini telah banyak dibuktikan oleh kajian sains dan pakar perubatan. Oleh itu, ayuhlah kita sama-sama mengamalkan sunnah kerana ia bukanlah suatu yang sia-sia, malah memberi manfaat kepada diri sendiri.

Maksud: “Allah sangat menyukai orang yang berpuasa kerana Allah, sehinggakan Allah telah menjanjikan gerbang khusus di syurga bagi yang suka berpuasa, iaitu Ar-Rayyan.” (Hadis Riwayat Muslim)


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Fieyzah Lee

Fieyzah Lee

Merupakan seorang pelajar Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Bahasa Melayu untuk Komunikasi Antarabangsa. Seorang yang suka membaca bahan bacaan dalam bidang sejarah dan motivasi

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami